Angkara tamak bekas jutawan CEO Thailand jatuh muflis, mujur ada isteri setia bantu ubah hidup 360 darjah lepas jadi 'Sandwich Man'


  • Bizz
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Sirivat menjual sandwic buatan sendiri di luar ibu pejabat Bangkok Bank pada 1997. — Agensi

BETULLAH kata orang, hidup ini berputar ibarat roda. Kadang kita di atas, kadang kita di bawah.

Pepatah itu sesuai menggambarkan perjalanan kehidupan seorang bekas konglomerat berasal dari Thailand, Sirivat Voravetvuthikun yang kini menjalani hidup sebagai penjual roti.

Berdasarkan perkongsian Bangkok Post pada 2020, Sirivat pernah menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat pelaburan Asia Securities selepas menamatkan pengajian di University of Texas di Austin, Amerika Syarikat (AS) pada 1974.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Perak dilanda 'demam' Ayam Goreng Furaido, hampir 3,000 ketul terjual setiap hari

BACA LAGI: [VIDEO] Anak murid Sang Tukang, Jassica permata Sabah dalam dunia ultra marathon, pewaris seni perhiasan tembaga

=WhatsApp Image 2024-09-25 at 16.45.06 (3)

Sirivat dan isterinya bangun seawal pukul 3 pagi untuk menyiapkan roti sandwic segar. — Agensi

Selama hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia pelaburan, figura itu berjaya mengumpul kekayaan yang besar, malah pernah diiktiraf sebagai salah seorang jutawan Thailand.

Berada di era kegemilangan menjengah usia 30 tahun, lelaki itu berjaya memperoleh keuntungan jutaan baht sebagai seorang pengurus dana swasta sebelum menubuhkan syarikat pembangunan hartanah, Tong Gween.

Namun malang buat Sirivat apabila kejayaan yang dicipta tidak mampu bertahan lama.

Hutang

Zaman kejatuhan bermula selepas pasaran saham Thailand jatuh pada 1994, menyebabkan dirinya kehilangan sebahagian besar harta.

Keadaan semakin memburuk pada 1997 apabila krisis kewangan global melanda dan menjejaskan kebanyakan saham miliknya.

Selain kejatuhan pelaburan, menurut laporan VOA, Sirivat turut menanggung hutang sebanyak USD30.4 juta (lebih RM125.5 juta).

8

Usahawan itu memutuskan untuk menjual roti sandwic di tepi jalan sekitar Bangkok. — Agensi

Ironinya, dia yang terkenal dengan jolokan The Phantom atas kemahiran memilih stok saham yang menguntungkan, diisytiharkan muflis gara-gara spekulasi harga saham di pasaran.

Dia dalam pada itu juga meminjam sejumlah wang yang banyak untuk membangunkan resort mewah di taman negara di timur Bangkok, Thailand.

Sirivat mengakui pada waktu itu dirinya tamak. Dia mempunyai 100 juta baht dan mahukan 1 billion pula.

Jadi dia terpaksa membuat pinjaman sehinggalah tidak mampu membayarnya semula dengan kadar bunga setinggi 17 peratus.

7

Sirivat menjual roti sandwic dengan produk yang lebih premium berbanding pesaingnya. — Agensi

Jual sandwic

Hidup Sirivat berubah 360 darjah!

"Hidup saya berubah sepenuhnya daripada menjalani gaya hidup mewah kepada kehidupan yang biasa-biasa sahaja," katanya kepada VOA.

Terpaksa mengetepikan ego, lelaki itu akhirnya memutuskan untuk menjual roti sandwic di tepi jalan sekitar Bangkok, selepas disarankan si isteri, Vilailuk.

Dia bersyukur isterinya setia di sisi menjalani kehidupan 'dunia' baharu bersama dan wanita itu jugalah menjadi pendorong utama untuk dia melupakan perkara lalu dan teruskan hidup.

Sirivat dan Vilailuk bangun seawal pukul 3 pagi untuk menyiapkan roti sandwic segar.

Pada hari pertama berniaga, dia hanya mampu membawa pulang USD14 atau kira-kira RM58.

Walaupun bermula dengan perlahan, berputus asa bukanlah pilihannya. Dia sedar jika menyerah, tiada siapa yang akan membantunya.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 16.45.06 (2)

Pada hari pertama berniaga, dia hanya mampu membawa pulang USD14. — Agensi

"Saya menyedari bahawa jika kami menyerah, tiada siapa pun yang akan membantu kami. Apa jua yang terjadi, saya dan isteri perlu saling membantu. Walaupun kecewa, kami harus terus berjuang," luahnya.

Keesokan harinya, dia mula meraih hasil jualan mencecah beberapa ratus baht dan dalam tempoh 10 tahun, dia berjaya membina sebuah bisnes katering berskala kecil.

Pada lima tahun pertama, hampir setiap hari dia menjual roti sandwic di jalanan, sehinggalah bisnesnya berkembang dan berupaya menggajikan 14 pekerja untuk membantu melancarkan operasi perniagaan.

Selepas sedekad, dia berhasil menubuhkan beberapa premis perniagaan kedai kopi dan perkhidmatan katering kopi dan roti sandwic sendiri.

Kedai-kedainya terletak di stesen transit yang sibuk, pusat membeli-belah dan hospital.

Di samping itu, usahawan tersebut masih cuba melabur dalam pasaran saham sebagai pekerjaan sampingan.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang pelaburan, Sirivat masih yakin untuk melabur di Bursa Saham Thailand, walaupun dengan modal yang jauh lebih kecil berbanding dahulu.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 16.45.06 (4)

Sirivat berhasil menubuhkan beberapa premis perniagaan kedai kopi selepas 10 tahun. — Agensi

Kualiti premium

Di saat penjual jalanan lain sering dimomokkan dengan stigma makanan yang dijual tidak berkualiti dan tidak sihat, situasi berbeza bagi Sirivat.

Meskipun di jalanan, Sirivat menawarkan roti sandwic dengan produk yang lebih premium berbanding pesaing-pesaingnya, sekali gus berjaya mencuri perhatian pelanggan.

Jenama Sirivat Sandwich menjadi satu jenama yang dikenali saban hari. Kini lelaki yang kemudian menerima jolokan sebagai The Sandwic Man Of Thailand itu kembali menjadi jutawan.

Tidak mudah sebenarnya untuk individu yang mengalami nasib sama sepertinya bangkit meneruskan kehidupan.

Yang penting, haspuskan segala rasa malu dan buang ego untuk menyesuaikan diri dengan realiti semasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram