Terpaksa tidur 12 jam dalam lokap gara-gara Old Trafford antara pahit manis Abdul Mu'az bergelar ejen pelancongan


  • Bizz
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Bagi anak kelahiran Jasin, Melaka ini, mengembara mencambahkan satu kepuasan dan nikmat yang tak tergambar.

BAGI Abdul Mu'az Ab Aziz, dia sama sekali tidak pernah terdetik untuk berkecimpung dalam industri pelancongan, jauh sekali membayangkan dirinya sebagai ejen yang membawa individu lain mengembara ke serata dunia.

Katanya, ada sesetengah orang kegembiraan mereka terletak pada wang ringgit, namun bagi anak kelahiran Jasin, Melaka ini, mengembara mencambahkan satu kepuasan dan nikmat yang tak tergambar.

Abdul Mu'az memulakan langkah dalam bidang pelancongan ketika berkhidmat sebagai sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kembara Amal.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

3

Abdul Mu'az membawa rombongan dari Malaysia ke Engelberg Switzerland.

"NGO berkenaan menjalankan program kembara amal, seperti overland dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan Kuala Lumpur ke Phnom Penh, Kemboja untuk tujuan kemanusiaan.

"Dari situ, minat saya terhadap pelancongan mula berkembang. Pengalaman bersama NGO tersebut membawa saya kepada individu yang terlibat dalam industri ini. Dari situ saya mula membawa trip pelancongan sendiri," katanya kepada Majoriti.

Turut menyediakan pakej perjalanan yang berkonsepkan tertutup, Abdul Mu'az berkata, setiap perjalanan disusun berdasarkan keperluan dan permintaan khusus daripada pelanggan.

Ujarnya, ia meliputi pelbagai destinasi yang ingin dikunjungi mereka terutamanya di Eropah Barat seperti United Kingdom (UK) Amsterdam, Belgium dan Jerman.

1

Abdul Mu'az berkata, setiap perjalanan disusun berdasarkan keperluan dan permintaan khusus daripada pelanggan.

"Selain itu, kami juga menawarkan pengalaman perjalanan ke Balkan, yang merangkumi negara-negara seperti Bosnia, Montenegro dan Macedonia.

"Kebiasaan trip akan bawa anda ke sembilan negara, tetapi jika klien mahu mengunjungi tiga negara sahaja, kita pergi tiga sahajalah.

"Kami boleh mencadangkan Bosnia selama tiga hari, Croatiatiga tiga hari dan Montenegro selama empat hari tiga malam. Semuanya disesuaikan mengikut cita rasa dan minat pelanggan.

"Kita juga susun jadual perjalanan mengikut permintaan mereka, misalnya nak fokus lebih pada lawatan ke laut, gunung atau aktiviti tertentu sahaja, kami akan uruskan," jelasnya yang sudah mengunjungi lebih 40 negara, termasuk melancong sendiri mahupun bersama kumpulan rombongan.

Kata anak ketiga daripada tujuh beradik ini lagi, selain Eropah, melancong ke New Zealand juga menjadi destinasi yang agak popular ketika ini.

Sambutan melancong ke negara itu semakin hangat selepas pempengaruh terkemuka, Khairul Aming berkongsi video masakan dan bercuti ke negara pulau yang terletak di bahagian barat daya Lautan Pasifik itu pada Julai lalu.

Dengan peningkatan populariti itu, termasuk pengaruh daripada video travelog Khairul Aming, ramai yang mula merisik tentang perjalanan ke New Zealand.

"Kami juga menyediakan trip peribadi ke sana (New Zealand), dengan sekurang-kurangnya lapan orang sudah boleh memulakan perjalanan," katanya yang memulakan karier sebagai ejen pelancongan pada 2017, sebelum bergerak secara bebas pada 2021.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 22.40.32

Abdul Mu'az bergambar ketika melancong ke Sepanyol.

Hadap perangai pelanggan

Bercerita tentang cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar ejen pelancongan, bapa kepada tiga cahaya mata tersebut berkata, menguruskan pelbagai jenis pelanggan menjadi antara dugaan terbesarnya.

Bagaimanapun akuinya, setiap perjalanan membawa pengalaman baharu dalam memahami dan menyesuaikan diri dengan keperluan serta keperibadian pelanggan.

"Orang kata nak kenal peribadi manusia kena mengembara atau bermusafir dengan orang tersebut, barulah keluar 'warna' sebenar dia. Jadi sebenarnya hendak mengendalikan klien memang agak mencabar.

"Namun tidaklah semua, mungkin daripada 10 orang, hanya seorang yang tidak okay," ujarnya sambil tertawa kecil.

Kata orang, semakin jauh perjalanan, semakin luaslah pemandangannya.

4

Ejen pelancongan itu mendapat kepuasan daripada mengembara dan membantu orang lain menikmati perjalanan mereka.

Tidak lari daripada berdepan pengalaman menakutkan, Abdul Mu'az berkongsi, tidak pernah terbayang olehnya, dia akan bermalam di pusat tahanan sementara.

Ceritanya lagi, kejadian pada 2019 itu berlaku ketika dia bersama-sama tiga lagi lelaki yang juga merupakan rakan-rakan ejen pelancongan untuk mengadakan lawatan ke Brussel, Belgium.

Dalam perjalanan ke Brussel, mereka berhasrat untuk singgah ke United Kingdom (UK) bagi mengunjungi Stadium Old Trafford di Manchester United.

"Syarat nak masuk ke UK agak ketat. Pada masa itu, pihak imigresen berasa curiga dengan kumpulan kami dan walaupun sudah disoal jawab, mereka masih tidak berpuas hati.

"Akhirnya kami semua ditahan dalam lokap imigresen. Namun syukur layanan yang diberi masih baik, mungkin disebabkan mereka jenis yang menjaga hak asasi manusia.

"Permintaan kami seperti mahukan air coklat panas dan kopi dituruti dengan baik, malah makanan juga diberikan secara percuma," ujarnya sambil memberitahu mereka dilepaskan selepas 12 jam berada dalam tahanan.

2

Abdul Mu'az membawa rombongan dari Malaysia bermain salji di Gunung Titlis, Switzerland.

Penguasaan bahasa

Berbicara soal bahasa pula, Abdul Mu'az mengakui, bahasa bukanlah halangan utama, meskipun wujud tanggapan bahawa penguasaan dalam bahasa Inggeris diperlukan untuk mengembara.

Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS) itu, pelbagai alternatif boleh digunakan untuk berkomunikasi di rantau orang, termasuk bahasa isyarat dan bantuan teknologi seperti Google Translate.

"Dulu saya beranggapan jika tidak mahir berbahasa Inggeris, tidak boleh mengembara, tapi sebenarnya tidak.

"Kemahiran dalam bahasa Inggeris ini sumbangan sekitar 40 peratus sahaja, selebihnya kalau masing-masing berkomunikasi menggunakan bahasa ibunda pun boleh faham.

"Contohnya, kita cakap bahasa Melayu, mereka cakap Perancis, guna bahasa isyarat pun boleh. Maksudnya kalau tak fasih bahasa Inggeris pun boleh saja nak mengembara," katanya yang turut boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Arab.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 17.31.30

Abdul Mu'az berhasrat untuk menerokai lebih banyak trip unik yang menarik dengan pengalaman berbeza.

Ujar lelaki itu lagi, sebagai ejen pelancongan bebas, dirinya mendapat kepuasan daripada mengembara dan membantu orang lain menikmati perjalanan mereka.

Melihat ke hadapan, Abdul Mu'az turut menyuarakan hasrat untuk menerokai lebih banyak trip unik yang jarang ditawarkan oleh ejen pelancongan yang lain.

Meskipun akan berdepan cabaran tertentu, dia tahu, setiap perjalanan membawa pengalaman yang berharga, baik dari segi kerja mahupun hubungan dengan pelanggan.

"Saya percaya bahawa terdapat banyak lagi aktiviti menarik yang boleh diterokai oleh para pelancong yang inginkan pengalaman berbeza," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram