Pengalaman belajar cetus idea usahawan lulusan universiti Scotland hasilkan pakaian sukan mesra Muslimah


  • Bizz
  • Khamis, 26 Sep 2024

Pengalaman belajar banyak memberi pendedahan buat Sumayyah melakukan penelitian tentang Islam dan fesyen. — Instagram/olloum.official

KEGAGALAN mengekalkan perusahaan dalam sektor perancang perkahwinan sama sekali tidak memalingkan minat Sumayyah Nasaruddin terhadap dunia perniagaan.

Berbekalkan semangat juang yang tidak pernah pudar untuk terus bergelar usahawan, wanita berusia 42 tahun itu bangkit dan membuat kemunculan semula, dengan memulakan bisnes berkonsepkan pakaian senam Muslimah jenama Olloum.

Perniagaan itu bagaimanapun, disifatkan Sumayyah sebagai perjalanan yang terjadi tanpa dirancang.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Biarpun pernah gagal sekali, wanita tersebut menjadikan pengalaman itu sebagai penyuntik semangat baharu untuk dirinya. Tentunya 'kekalahan' sementara itu juga berhasil mendidiknya untuk mempersiapkan strategi, kemahiran, pengetahuan dan perancangan terbaik supaya tidak tersasar lagi dari landasan.

Graduan Ijazah Undang-Undang dan Sarjana Pendidikan Muslim dan Globalisasi dari Universiti Abeerdin, Scotland itu, kemudiannya memutuskan untuk kembali semula kepada minat asal melibatkan fesyen dan pakaian.

Mula bereksperimen, melukis dan memilih fabrik bersesuaian, Sumayyah terus mendapatkan pandangan telus daripada keluarga dan sahabat handai mengenai idea rekaan pakaian konsep Muslimah.

Ketika itu ujarnya, dia aktif dalam mengendalikan kelas bacaan al-Quran secara sambilan di sebuah sekolah sementara menunggu kelulusan permohonan tajaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke Aberdeen, Scotland.

Snapinsta.app_436235346_18398930116076794_8185966367269468167_n_1080

Rekaan diterapkan bukan sahaja menutup aurat, tetapi juga selesa digayakan kaum Hawa. — Instagram/olloum.official

Sokongan

Ternyata rezeki berpihak kepadanya apabila usahawan tersebut berjaya melanjutkan pengajian pada usia 31 tahun, tanpa perlu melupakan hasrat untuk mengeluarkan pakaian jenama sendiri.

Tiga tahun kemudian lahirlah Love to Dress, sebuah jenama yang dibina dengan bermodalkan RM60,000 yang dipinjamkan oleh suaminya, Mohammad Rizal Yatim merangkap rakan kongsinya dalam bisnes.

“Pengalaman belajar banyak memberi pendedahan buat saya melakukan penelitian tentang Islam dan fesyen. Keutamaan lebih cenderung pada pemilihan potongan dan fabrik ideal.

“Koleksi pakaian Muslimah menjadi pilihan kerana ketika itu (sekitar 2013) konsep dan gaya sedemikian tidak banyak diketengahkan di pasaran,” kata anak kedua daripada lima beradik perempuan itu.

Komited dalam mengetengahkan rekaan konsep Muslimah, Sumayyah mula menerapkan mekanisme baharu dalam perusahaannya apabila memperkenalkan jenama Olloum pada 2017.

Snapinsta.app_443944182_18399842782076794_7917886888307246476_n_1080

Selain seluar, Olloum turut menampilkan koleksi baju dan helaian tudung merangkumi semua saiz. — Instagram/olloum.official

Rekaan diterapkan bukan sahaja menutup aurat, tetapi juga selesa digayakan berikutan ia terhasil berasaskan material berkualiti, sesuai untuk golongan Hawa yang menjalani rutin harian secara aktif.

Sama seperti dirinya yang gemar mengembara dan menjalani gaya hidup sihat termasuk melakukan kalistenik, iaitu senaman intensiti tinggi yang memerlukan individu berpaut lalu berpusing di palang dan melayangkan tubuh ke udara.

Tutur Sumayyah lanjut, selain seluar, Olloum turut menampilkan koleksi baju dan helaian tudung merangkumi semua saiz.

“Keutamaan saya adalah menggabungkan rekaan sopan dan selesa serta menggunakan warna-warna lembut agar wanita sentiasa berasa yakin ketika menggayakannya,” jelasnya.

Snapinsta.app_425369392_18379841452076794_6410140940058116044_n_1080

Antara koleksi pakaian sukan berkonsepkan Muslimah yang ditawarkan jenama Olloum. — Instagram/olloum.official

Ketenangan

Berkongsi tentang rutin hariannya, Sumayyah memberitahu, aktiviti bersenam dan memasak untuk keluarga memberikan ketenangan untuk dirinya.

Akuinya, dalam kesibukan sebagai usahawan, dia perlu bijak mencari keseimbangan antara kerja, keluarga dan diri sendiri.

Menyifatkan dirinya sebagai individu yang sentiasa terbuka dengan pembaharuan, Sumayyah berkata, sistem sokongan adalah antara aspek penting untuk sesebuah perniagaan itu kekal bertahan.

Selain kuat mengharungi cabaran bisnes berbekalkan sokongan daripada suami dan ahli keluarga, wanita berperwatakan ceria itu lebih selesa menghabiskan banyak masa berbicara dengan ALLAH SWT, terutamanya ketika berdepan cabaran untuk mendapatkan ketenangan dan ilham.

Berbicara lanjut, tutur Sumayyah, fokus utamanya kini adalah untuk memastikan pergerakan saham dan aliran tunai berjalan baik agar operasi syarikat terus bertahan dalam mendepani tahun-tahun yang mencabar.

“Selain itu, saya berharap dapat memberikan perkhidmatan dan produk terbaik buat para pelanggan. Kegembiraan mereka amat bermakna buat saya.

“Pada masa sama, saya perlu komited dalam menyediakan platform ideal bagi memudahkan mereka (pelanggan) terus menjalani hidup sihat dalam persalinan sukan yang sopan,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram