Ringgit mampu cecah RM3.55 berbanding dolar AS hujung tahun depan


  • Massa
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Nilai ringgit dijangka mencecah RM3.55 pada hujung tahun hadapan.

BMI Country Risk & Industry Research (BMI) menjangkakan nilai ringgit akan mencecah RM4.00 pada hujung tahun ini dan RM3.55 akhir tahun hadapan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Jangkaan itu dibuat selepas firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions itu menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 daripada RM4.55 sebelum ini.

Menurut BMI, dalam tempoh jangka pertengahan, ia kekal positif terhadap ringgit susulan perbezaan hasil yang mengecil dengan AS selain aliran masuk dana portfolio yang agak berdaya tahan, seterusnya menyuntik petanda baik untuk unit tempatan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pameran 15,000 'teddy bear' karya Bachir Mohammad lambang nyawa kanak-kanak melayang di Gaza

BACA LAGI: Pengerusi Eksekutif GISBH dan isteri antara 19 ditahan bantu siasatan

pelabur

Ringgit menjadi mata wang pasaran yang sedang pesat membangun dengan prestasi terbaik di rantau ini.

"Risiko terhadap unjuran kami adalah kelemahan ringgit dengan sebahagian besarnya bergantung kepada trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS dan pertumbuhan China," katanya.

Menyentuh prospek jangka pendek selama enam bulan, BMI berkata, ringgit terbukti dapat menyanggah trend penyusutan ketaranya sejak awal 2024 untuk naik 12.1 peratus pada suku ketiga 2024, sekali gus menjadikannya mata wang pasaran sedang pesat membangun dengan prestasi terbaik rantau ini.

Sejajar dengan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam suku ketiga 2024, BMI bertindak menyemak naik unjurannya pada purata RM4.35 berbanding dolar AS daripada RM4.55, sebelum ini.

Ringgit juga secara teknikalnya mencecah paras rintangan aliran pelbagai tahun pada paras RM4.20 bagi setiap dolar AS pada 23 September 2024.

"Kami melihat skop ringgit untuk mencecah paras rintangan seterusnya pada RM4.00/dolar AS menjelang akhir 2024, walaupun indeks kekukuhan relatif yang dilihat terlebih jualan masih berlaku dan boleh menjurus kepada penyusutan nilai dalam tempoh singkat.

"Unjuran kami juga lebih realistik daripada Bloomberg yang mengunjurkan RM4.30," jelasnya.

Sementara itu, Fitch Solutions menambah, lebihan akaun semasa yang berterusan pada tahun hadapan menjadi faktor yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara diramal sedikit mengecil daripada jangkaan, iaitu sebanyak 2.6 peratus pada 2024 kepada 2.4 peratus pada 2025.

"Jangkaan ini bergantung kepada ramalan kami bahawa aktiviti ekonomi akan perlahan di AS dan tanah besar China pada separuh kedua 2024.

"Kami menjangkakan kelemahan ini akan memberi kesan kepada eksport barangan Malaysia," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram