'Seorang lagi ikon Kedah', mula-mula jual kereta terpakai, turuti kisah Syed Azman bina empayar bisnes hingga masuk senarai orang terkaya


  • Bizz
  • Ahad, 29 Sep 2024

Nilai kekayaan milik Syed Azman kini mencecah AS$765 juta (RM4.78 bilion). — Agensi

TAN Sri Syed Azman Syed Ibrahim merupakan salah satu nama besar dalam dunia perniagaan di Malaysia.

Anak jati Sungai Petani, Kedah ini turut tersenarai sebagai 50 individu Terkaya di Malaysia yang dikeluarkan Forbes pada 2024 apabila berada di tangga ke-28 dalam carta tersebut.

Dalam kalangan hartawan Bumiputera, beliau yang kini memiliki kekayaan mencecah AS$765 juta (RM4.78 bilion) berada di kedudukan kedua di belakang Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Pada hari ini, syarikatnya, Weststar Aviation mengendalikan armada helikopter terbesar di Asia Tenggara mengikut saiz untuk sektor minyak dan gas di samping turut mempunyai perniagaan menyewa jet peribadi kepada eksekutif.

Secara keseluruhan, Weststar Aviation mempunyai armada 34 helikopter yang beroperasi di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Bagaimanapun, di sebalik statusnya yang bergelar bilionair, Syed Azman yang juga Pengarah Urusan Weststar Group dilihat lebih selesa kekal dengan imej sederhana dan menjauhkan diri daripada sebarang kontroversi mahupun publisiti.

Disebabkan itu juga, ramai daripada rakyat Malaysia tidak begitu mengenalinya dan bagaimana beliau membentuk diri daripada seorang penjual kereta kepada membina empayar perniagaan yang meletakkan menjadi antara orang terkaya di Malaysia.

Permulaan perjalanan dalam perniagaan

6318887020272926010

Syed Azman memulakan perjalanan perniagaannya dengan menjual kereta terpakai. — Weststar

Kisah permulaan Syed Azman dalam dunia perniagaan bermula selepas beliau memanfaatkan peluang disediakan Kerajaan terhadap ahli perniagaan bumiputera yang ingin menceburi bidang automotif.

Selepas meninggalkan bidang ketenteraan, beliau menubuhkan sebuah syarikat pada 1994 dengan bermodalkan RM200,000 daripada wang simpanan dikumpul bersama isterinya untuk menceburi perniagaan kereta.

Minatnya terhadap kereta sememangnya sesuatu yang sudah dipupuk sejak kecil, yang menyaksikan dia bermula dengan menjual kereta terpakai.

Apabila perniagaan dan keuntungan berkembang, Azman kemudiannya memperoleh permit import (AP) daripada rakan-rakannya dan mula membawa masuk lebih banyak kereta dari Britain untuk dijual di Malaysia.

6321138820086614602

Di sebalik kekayaan dimilikinya, Syed Azman (dua dari kanan) dikenali sebagah hartawan yang cukup bersederhana.

Bagaimanapun, peluang untuk menembusi pasaran lebih besar hadir pada 2002 selepas Weststar memperoleh hak untuk menjual kereta Honda daripada Honda Motor Co dari Jepun.

Perjanjian yang menamatkan kerjasama 30 tahun Kah Motor terhadap pengedaran jenama Honda di Malaysia berjaya dimuktamadkan selepas dua tahun beliau melakukan rundingan.

Perjanjian itu turut menyaksikan nilai kekayaan Syed Azman meningkat sehingga mencecah ratusan juta ringgit.

Syed Azman seterusnya mengembangkan operasi menerusi kerjasama apabila syarikatnya Auto Pacific Star mula mengimport kereta Chevrolet dan menjualnya kepada anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Hicomobil Sdn Bhd.

Dia juga mempunyai hak pengedaran kenderaan jenama lain seperti Suzuki dan kereta pintar.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun menjadi pengimport kereta, beliau menyedari bahawa pasaran kereta penumpang tempatan mempunyai hadnya.

Pada masa sama, Dasar Automotif Negara (NAP) Mac 2006 turut menamatkan polisi penganugerahan "AP francais" kepada individu.

Permulaan dalam industri penerbangan helikopter

6318887020272926009

Syed Azman mula menceburi industri penerbangan pada 2003. — Agensi

Situasi itu menjadi antara punca menyebabkan Syed Azman mula meneroka potensi perniagaan yang wujud dalam perkhidmatan penerbangan pada 2003.

Penglibatannya dalam industri tersebut juga berlaku secara tidak sengaja.

Syed Azman berkata, pada awalnya, beliau berkongsikan kepada kenalannya mengenai cabaran dihadapinya yang perlu berpenat lelah menempuh perjalanan jauh ke seluruh negara dalam usaha mengembangkan perniagaan jualan kereta mewahnya.

Ekoran daripada itu, dia yang juga bekas pegawai risikan tentera dinasihatkan untuk membeli helikopter.

Syed Azman seterusnya bertindak mengikut nasihat tersebut yang kemudiannya menjadikan beliau sebagai antara orang terkaya di Malaysia.

Pada 2003, dia membayar AS$1.5 juta untuk membeli sebuah helikopter terpakai bagi membantu perjalanannya.

Ketika beliau tidak menggunakan kenderaan udara tersebut, Syed Azman akan memajakkannya kepada pihak lain.

Pada ketika itu, beliau baru mual sedar mengenai permintaan besar terhadap untuk perkhidmatan penerbangan berasaskan helikopter di Malaysia.

Lima tahun kemudian Syed Azman berjaya memenangi kontrak pertamanya untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan luar pesisir kepada industri sektor minyak dan gas.

Beliau seterusnya turut terlibat antara lain dalam pengedaran van komersial dan pembekalan kenderaan tentera.

Dalam pada itu, Syed Azman turut membina kekayaan di dalam bidang hartana menerusi syarikat Weststar Construction yang ditubuhkan pada 1984.

Meskipun dianggap sebagai syarikat hartanah berskala kecil, ia juga terlibat dalam beberapa projek pembangunan di sekitar Lembah Klang antaranya perumahan Taman Indah Jaya di Hulu Langat dan Taman Titiwangsa Ukay di Ampang.

Jawapan Syed Azman terhadap pengkritik mengenai kejayaannya

6318887020272926003

Westsar turut menyediakan perkhidmatan jet peribadi. — Agensi

Sementara itu, kejayaan diperolehi Syed Azman turut menimbulkan rasa skeptikal dalam kalangan sesetengah pemerhati yang dicapainya bukanlah disebabkan kebolehannya tetapi sebaliknya kerana hubungan yang dimiliknya bersama pemimpin kerajaan.

Malah, beliau turut pernah mendapat gelaran sebagai 'Raja AP'.

Pada masa sama, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa beliau hanya bertindak sebagai 'muka depan' syarikat tersebut dengan operasinya diuruskan oleh individu atau entiti lain.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual bersama The Star, Syed Azman menafikan dakwaan tersebut.

"Ia adalah syarikat saya dan saya bukan 'front man' untuk sesiapa. Orang boleh berkata apa yang mereka mahu tetapi saya adalah orang yang telah melakukan semua kerja keras dan pelaburan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa kejayaan yang dicapainya itu bergantung semata-mata kepada AP yang diberikan kepada syarikatnya.

"Dalam tahun-tahun awal ketika saya bermula, saya adalah pengimport kereta dan saya menggunakan 'AP terbuka' yang dipinjamkan daripada rakan saya. Dalam perniagaan automotif, AP diperlukan dan kita tidak boleh menjual AP.

"Ia hanya bertujuan untuk membawa masuk kereta. Saya kemudian pergi ke Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan memohon AP dan pada masa itu mereka hanya memberikan 'AP francais.'

"Itu berbeza daripada 'AP terbuka.' Kami menjual 5,000 hingga 6,000 kereta setahun, itulah sebab (sebenar) kami mempunyai begitu banyak AP," katanya.

Mengulas mengenai cara bagaimana beliau boleh beralih daripada perniagaan kereta kepada industri penerbangan yang memerlukan pelaburan cukup besar, Syed Azman berkata, beliau dibantu dengan keuntungan yang diperolehinya daripada pasaran saham.

Pengalaman sebagai tentera

441932322_18439083292021700_6445222870260449825_n

Syed Azman (tiga dari kiri) ketika bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu acara pada tahun ini. — The Weststar Group

Pada masa sama, Syed Azman berkata, pengalamannya dalam ketenteraan selama 13 tahun turut berjaya membantu bagi menyediakan menempuhi alam perniagaan.

"Saya berkhidmat di Kor Perisikan Diraja. Kekuatan saya untuk menilai dan cuba memahami masa depan kerana dalam dunia perisikan, anda perlu menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Anda juga perlu menilai lawan anda.

"Dengan asas itu, saya hanya perlu menyesuaikan aspek keselamatan ke dalam situasi komersial dam perniagaan. Apabila saya memberi arahan kepada mereka yang bekerja di Weststar, mereka jelas kerana saya menetapkan arahan supaya mereka boleh melaksanakannya dengan mudah.

"Saya bukan ahli ekonomi, tetapi saya mempunyai kepintaran ketenteraan dan teknik peperangan taktikal. Dalam tentera, mereka mengajar anda segala-galanya dan saya telah menghadiri banyak kursus tentang cara menilai lawan anda. Saya hanya menggunakan apa yang saya pelajari dan ia berkesan untuk saya," ujarnya.

Sementara itu, Syed Azman berkata, beliau turut mengakui bernasib baik kerana dibantu oleh penasihat dan pembantu perniagaan yang baik.

"Sama seperti membeli pesawat, saya akan bertanya kepada penasihat saya dan mereka memberi pandangan mereka.

"Tetapi saya yang akan membuat keputusan muktamad sama ada untuk melabur atau tidak. Walaupun mereka kadang-kadang memberitahu saya sesuatu yang tidak baik, saya tetap akan menilai sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram