"WAKTU umur saya 9 tahun, saya nampak mak saya cuci loyang sebab waktu itu mak bekerja di kedai kek.
"Setiap kali saya balik sekolah, saya dengan adik akan tolong mak dan sejak itulah saya dah berazam suatu hari nanti saya akan bantu mak saya dan Insya-ALLAH akan ada kedai kek," katanya.
Melihat keperitan hidup si ibu, usahawan terkenal Anne Idris nekad bangkit dari lorong kemiskinan dan mahu mengubah hidup mereka sekeluarga.
Berperwatakan wanita aktif, Anne atau nama sebenarnya Siti Saleha Idris ini tidak segan silu berkongsi kisah hidupnya sebelum bergelar usahawan berjaya.
"Masa tu umur saya 20-an, saya pernah berjalan kaki 6 kilometer (km) bersama ibu sebab tak bayar hutang kereta. Saya juga pernah ketuk rumah orang meminta beras," katanya kepada Majoriti.
Kini, wanita berjaya itu mampu tersenyum lebar apabila segala keringat yang dicurahkan selama 17 tahun dalam dunia perniagaan terbayar.
BACA LAGI: Marry Me Hari Ini, naskah Aman Aziz untuk Nisha Haque
Anne Idris turut terpilih membuat kek istimewa untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Memiliki sebuah kedai kek, My Mum’s Bakery di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam, Selangor, anak kelahiran Taiping, Perak ini secara jujur mendedahkan beliau pernah mengalami kerugian dan diisytiharkan bankrap.
Bukan mudah untuk senang, Anne mengambil langkah mendalami ilmu perniagaan dengan menyambung pengajian dalam bidang Diploma Antarabangsa Sugarcraft dan Dekorasi Kek di Square Kitchen yang menggunakan tenaga pengajar dari United Kingdom.
"Guru saya ialah ibu saya sendiri dan seterusnya saya melayari YouTube untuk dapatkan idea-idea baharu," katanya.
Meskipun popular sebagai pencipta kek termahal di Malaysia, Anne berkata, kek yang dibuat sebenarnya mengikut bajet pelanggan.
"Kek saya bermula RM5 sehinggalah ratusan ribu ringgit, kalau pelanggan kata bajet RM100 saya buat berdasarkan bajet mereka.
"Sebenarnya kek bernilai tinggi ini jarang orang tempah, tetapi kalau ada orang tempah Insya-ALLAH memang saya buat," katanya.
Bagi mendapatkan sentuhan berprestij, pelanggan perlu menempah tiga minggu sebelum tarikh pengambil kek.
Kek yang benar-benar menguji kretiviti beliau ialah penghasilan kek harimau seberat 18 kilogram menggunakan teknik semburan warna.
Kek yang memaparkan objek harimau itu bernilai RM15,000 dan mengambil masa empat jam untuk menyiapkan lakaran asas haiwan tersebut.
"Waktu saya dapat tempahan kek harimau, saya Google, tengok di Youtube macam mana karaktor harimau itu dan cari idea," katanya.
Namun itu hanya sebahagian kecil pengalaman yang melonjakkan namanya dalam indusri kulinari.
BACA LAGI: Anisha Rosnah jadi pilihan hati Putera Mateen
Anne Idris berpeluang mencipta kek khas untuk Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz.
Apa yang lebih membanggakan, apabila beliau diberi peluang menyediakan kek istimewa buat Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz tujuh tahun lalu dan juga terpilih untuk menyediakan kek Bawal Exclusive yang bernilai RM15,900.
Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, begitu juga dengan wanita ini.
Segala jerih perihnya terbayar apabila pada 2019, beliau dianugerahkan Ikon Usahawan oleh Bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan sebelum itu, beliau dinobatkan sebagai menerima Anugerah Usahawan Cemerlang Tekun Nasional 2017.
My Mum’s Bakery turut membuat pastri, roti bandung bakar dan roti kukus.
Berkongsi kejayaan, Anne berkata, bidang ini mempunyai potensi yang luas untuk berjaya terutamanya buat golongan belia.
"Kena tanya dahulu diri, kepakaran dalam bidang apa, sekarang ini zaman digital, kalau tak masuk dunia digital akan ketinggalan, bila dah ada ilmu, asahlah bakat yang ada," katanya.
Jadi, buat anda jangan lupa saksikan video penuh kisah Anne dalam segmen Wanita Inspirasi di semua platform digital Majoriti Online. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram