SEJAK sekian lama, pasar awam merupakan sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia.
Ia bukan sahaja tempat bagi para peniaga tempatan menjual produk segar seperti ikan, sayur-sayuran, dan buah-buahan, tetapi juga berfungsi sebagai pusat komuniti bagi membolehkan masyarakat setempat berkumpul dan berinteraksi.
Dalam konteks pergerakan aktiviti ekonomi, pasar awam menyumbang kepada kelestarian perniagaan kecil, menjana pendapatan untuk peniaga kecil dan mikro serta menyokong ekosistem ekonomi tempatan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagaimanapun, pusat perniagaan tersebut kini berdepan pelbagai cabaran untuk kekal relevan dalam era moden yang dipenuhi dengan persaingan daripada pasar raya besar dan platform e-dagang.
Impak daripada perkembangan tersebut, banyak daripada pasar awam di seluruh negara berdepan dengan isu ketiadaan penyewa.
Malah, lebih menyedihkan, di sesetengah bandar atau daerah, pasar awam yang dulunya meriah dengan pengunjung kini sudah bertukar menjadi bangunan terbiar yang langsung tidak berpenghuni.
Sementara itu, bagi pasar awam masih beroperasi pula, lazimnya, premis tersebut dilihat seakan-akan tidak terurus dan usang dengan tahap penyelenggaraan tidak memuaskan untuk menjadikannya sebagai tempat tarikan dan aktiviti ekonomi
Isu sama turut dihadapi oleh Pasar Awam Kluang di Johor.
Amirul (kiri) dan Gin Yih Cheong merupakan antara penggerak inisiatif PAK.
Penyelidik arkitek perbandaran, Amirul Hakim berkata, sebelum ini, 80 peratus daripada unit kedai di pasar awam itu berada dalam keadaan terbiar dan tidak berpenghuni.
Malah, peniaga pasar terbabit terpaksa menjadikan kawasan luar premis berkenaan untuk berjual beli pada waktu pagi sementara unit yang disewa di bahagian dalam hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan barangan jualan.
Pada masa sama, ruang dewan di bahagian tingkat dua bangunan terbabit yang terletak di lokasi strategik bandar Kluang itu juga terbiar tidak digunakan.
Amirul merupakan salah seorang penggerak utama inisiatif Pusat Komuniti Pasar Awam Kluang atau lebih dikenali sebagai PAK.
Projek ini merupakan inisiatif berterusan untuk menghidupkan semula bangunan awam pasar tersebut yang berusia kini dianggarkan sudah berusia sekurang-kurangnya lebih dua dekad.
Peniaga pasar terbabit menjadikan kawasan luar premis berkenaan untuk berjual beli pada waktu pagi sementara unit yang disewa di bahagian dalam hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan barangan jualan. — PAK
Menurut Amirul, idea untuk menjalankan PAK didorong oleh keinginan untuk memulihkan mercu tanda komuniti dan memastikan tahap relevannya untuk generasi akan datang.
"Pasar ini sebenarnya sangat istimewa kerana dia ada aktiviti jualan pasar pagi di bahagian luar (kawasan luar tepi bangunan) dari pukul 3 pagi hingga 9 pagi. Tapi selepas itu, ia sudah tidak digunakan.
"Jadi dengan ruang kosong yang ada di dalam premis, ia sebenarnya sangat berpotensi untuk dijadikan sebagai ruang yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti lain," ujarnya.
PAK mula digerakkan pada November 2023 dengan kolaborasi dan dana daripada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) - Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
PAK turut menjalankan pengurusan sisa jualan sayuran bersama peniaga di Pasar Awam Kluang. — PAK
Bagi menghidupkan semula premis tersebut, PAK menjalankan aktiviti berasaskan komuniti untuk mengaktifkan semula ruang di dalam premis berkenaan.
Antaranya program penempatan artis, pameran seni, bengkel pengurusan sisa makanan, acara kebudayaan dan tayangan filem.
Dalam pada itu, Amirul berkata, sejak mula digerakkan pada penghujung tahun lalu, pihaknya menerima banyak permintaan antaranya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan termasuk pihak universiti bagi menjalankan program di PAK.
"Sekarang kita banyak dapat permohonan untuk buat program. Contohnya bulan depan (Oktober), ada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) nak buat studio dekat situ.
"Kemudian kita juga memiliki kelengkapan seperti speaker, projektor, kipas dan kerusi yang dah tersedia untuk sebarang aktiviti," ujarnya yang memaklumkan mendapat pengecualian sewa daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) bagi program terbabit.
Ditanya mengenai reaksi peniaga di pasar tersebut berhubung inisiatif dijalankan, Amirul berkata, program tersebut secara umumnya mendapat respons agak positif daripada kumpulan tersebut.
Malah menurutnya, tahap kemeriahan aktiviti di pasar tersebut juga meningkat dua hingga tiga kali ganda lebih meriah berbanding sebelum ini dengan penggunaan ruang lebih sihat dan berdaya huni.
Keadaan di bahagian dewan di tingkat dua Pasar Awam Kluang (gambar kiri) sebelum ia ditransformasikan menjadi tempat acara yang lebih berdaya huni. — PAK
Pada masa sama, PAK turut terlibat secara langsung bersama peniaga pasar pagi dalam menguruskan sisa jualan seperti sayuran menerusi projek pengurusan sisa kompos yang dijalankannya.
Ujarnya, ketika ini, MPK juga menyewakan lima daripada keseluruhan kira-kira 18 unit kedai di pasar awam pada harga rendah kepada PAK termasuk untuk tujuan kewujudan Pusat Komuniti Karyasama.
Pembukaan pusat komuniti tersebut merupakan fasa kedua daripada keseluruhan perancangan untuk mengadakan dan mengendalikan 'Pasar Buku' pelan pembangunan dan tindakan program 'Peremajaan fungsi Pasar Awam Kluang Johor'.
Ujarnya, pelan berkenaan berada di bawah pengawasan MPK dan APPGM-SDG dengan kerjasama strategik, antara kolektif seni dan pereka bandar, NGO sosial serta pendidikan di Johor.
Tidak perlu jutaan ringgit untuk pulih bangunan terbiar
Amirul berkata, dianggarkan sebanyak RM100,000 dibelanjakan bagi menjalankan inisiatif tersebut dalam tempoh hampir setahun ia dilaksanakan, di samping penglibatan MPK dalam menaik taraf infrastruktur di premis tersebut.
"Selain daripada APPGM-SDG, kita juga dapat dana daripada beberapa NGO lain untuk menaikkan tempat ini dengan kesemua penganjuran program yang dijalankan," ujarnya.
Pembukaan Pusat Komuniti Karyasama di Pasar Awam Kluang yang dilancarkan pada tahun ini. — Karyasama
Amirul berkata, untuk mengoptimumkan perbelanjaan tersebut, pihaknya banyak menggunakan dan mengitar semula barangan terbuang termasuk besi buruk untuk dijadikan sebagai instalasi seni supaya dapat mencantikkan kawasan tersebut.
"Antaranya kami juga ada yang jadikan besi-besi lama, dan perabot lama sebagai instalasi seni yang lebih cantik. Kalau pemikiran lama, biasanya mereka akan cakap kalau nak cantik kena cat semua baru.
"Tapi sebenarnya sampah pun boleh jadi cantik kalau kita tahu macam mana nak susun. Contoh pameran seni pertama yang kita jalankan, kita ambil tong sampah jenis roro untuk jadikan sebagai arca.
"Kemudian polistirena yang dibuang oleh peniaga pun kita ambil untuk ubah jadi seni," katanya.
Instalasi yang dibangunkan itu turut menggabungkan elemen praktikal dari bangunan dengan kreativiti seni.
Sebagai contoh menurut Amirul, kebocoran bumbung yang berlaku pada bangunan tersebut diadaptasi menjadi sumber inspirasi apabila air yang menitis dialirkan kepada instalasi seni hidroponik hijau bagi menggambarkan kesinambungan hidup.
"Fabrik kanvas, yang pada asalnya digunakan untuk menutup kebocoran, dikibarkan dan ditampilkan sebagai instalasi bagi mencerminkan perubahan fungsi objek dalam ruang seni.
"Besi gril (pengadang), yang biasanya berfungsi sebagai pelindung kecurian untuk unit kedai, digantung di dewan sebagai objek seni untuk menjemput pengunjung menghayati peranan dan nilai perlindungan dalam konteks ruang bangunan," kongsinya.
Bergerak ke depan, Amirul berkata terdapat beberapa lagi perancangan pembangunan yang dijangka dilaksanakan di Pasar Awam tersebut menerusi Pertandingan Reka Bentuk Pasar Awam Kluang yang dimulakan Pertubuhan Arkitek Malaysia dan MPK pada 2019.
Instalasi yang dibangunkan itu turut menggabungkan elemen praktikal dari bangunan dengan kreativiti seni. — PAK
Ujarnya, projek itu antara lain akan melibatkan proses ubah suai terhadap struktur bangunan pasar awam terbabit khususnya di bahagian dinding hadapan binaan tersebut yang menyebabkan aktiviti perniagaan di dalamnya tertutup daripada pandangan orang dari luar.
"Jadi kita kena buka, supaya nampak aktiviti yang berlaku di dalam pasar. Pada waktu ini premis ini dilihat tidak dapat menarik aktiviti ekonomi. Sekarang ini orang meniaga pun semua dekat luar. Jadi dia lebih kepada konsep pasar tani atau pasar malam.
"Bangunan ini hanya dijadikan sebagai tempat simpanan barang jualan seperti sayur," katanya.
Aktiviti tayangan filem yang diadakan di Pasar Awam Kluang. — PAK
Pada masa sama, Amirul berkata, selain menjadi tempat aktiviti ekonomi, pihaknya berharap agar Pasar Awam Kluang di waktu-waktu akan datang dapat menjalankan empat lagi fungsi lain.
Antaranya sebagai pasar kerja untuk dijadikan sebagai ruang kerja bersama, pasar seni (tempat jual beli produk dan aktiviti seni tempatan), pasar buku (aktiviti buku jalanan dan terpakai dan tempat perbincangan) serta pasar alam (aktiviti pertanian komuniti).
Antara NGO yang bekerjasama di bawah inisiatif PAK adalah Brandbutter Studi, Rejoin Collective, Pasar Lab, Kiantan Studio, Karyasama, City.ex Studio dan Design Studio. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram