Pengerusi Eksekutif GISBH dan isteri antara 19 ditahan bantu siasatan


  • 112
  • Khamis, 19 Sep 2024

Ibu pejabat GISBH di Rawang, Selangor. — Reuters

SERAMAI 19 orang termasuk Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya ditahan dalam operasi khas awal pagi Khamis (19 September).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, 19 individu itu ditahan susulan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ke atas empat unit kediaman di Jalan Imbi, Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.40 pagi Khamis.

“Kami menahan 12 lelaki dan tujuh wanita dalam serbuan itu. Kami sedang menyiasat mereka di bawah beberapa seksyen termasuk Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

BACA LAGI: Disiasat sebagai sindiket jenayah terancang, polis panggil CEO GISBH bantu siasatan

BACA LAGI: Cuba rasuah polis bantuan RM500 di George Town sebab tiada permit kerja, 2 sub kontraktor warga asing direman

Razarudin berkata, proses dokumentasi masih dijalankan.

Pada Rabu, lima lelaki termasuk anak seorang pemimpin GISB telah ditahan berhampiran pos pemeriksaan sempadan Bukit Kayu Hitam dan telah direman selama tujuh hari.

Pada 11 September, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan, berusia antara satu hingga 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi menyelamat dalam Op Global.

Terdapat dakwaan bahawa kanak-kanak itu didera, dieksploitasi dan menerima serangan seksual.

Seramai 171 suspek berusia antara 17 dan 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram