Nizam Abdullah 'redah' kedai besi buruk sekitar Lembah Klang demi beri peluang kedua buat logam terbuang


  • Bizz
  • Rabu, 25 Sep 2024

Setiap karya kreatif yang dipamerkan Nizam menerusi arca-arca menceritakan kisah transformasi yang unik.

UNTUK mentransformasikan bahan terbuang menjadi sebuah karya seni, Nizam Abdullah, 43, seorang pengukir seni arca yang tersohor, sentiasa mencari barangan yang boleh diguna semula di tempat buangan atau kedai besi buruk di sekitar Lembah Klang.

Pengukir yang pernah merangkul anugerah seni arca ini percaya setiap barang yang dibuang mempunyai potensi untuk diberi kehidupan baharu.

"Seni kitar semula bukan hanya melibatkan aktiviti mengitar kertas atau sisa untuk manfaat alam sekitar.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

take photos of award-winning sculptor Nizam Abdullah at his studio.  — AZLINA ABDULLAH/The Star

Nizam menghidupkan semula besi buruk dengan menghasilkan karya seni yang memukau.

"Ia juga merangkumi penggunaan objek daripada kedai besi buruk untuk menghasilkan karya seni yang unik, mengubah barang buangan menjadi karya seni yang penuh ekspresi.

"Setiap bahan yang dikitar semula melalui proses pemilihan yang teliti, dengan mengambil kira ciri uniknya dan bagaimana ia mempengaruhi proses kreatif. Idea utamanya adalah memberikan kehidupan kedua kepada logam terbuang," kata Nizam ketika ditemui di studionya di Shah Alam, Selangor.

Nizam, yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records 2022 untuk Arca Gantung Tertinggi (150 meter tinggi, 2,000 kilogram berat) dalam bangunan kediaman, menggalakkan perubahan ke arah kelestarian dalam industri.

Beliau begitu menekankan pentingnya tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar, dengan berusaha untuk mencapai keseimbangan antara ekspresi seni dan kesedaran ekologi.

"Kelestarian adalah aspek penting dalam proses seni saya. Motivasi datang daripada keinginan untuk menyumbang secara positif kepada alam sekitar," jelas Nizam, yang pernah bekerjasama dengan sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menukar bahan terbuang menjadi arca.

take photos of award-winning sculptor Nizam Abdullah at his studio.  — AZLINA ABDULLAH/The Star

Nizam berkata, kelestarian adalah aspek penting dalam proses seninya.

Nizam turut menyertai beberapa artis tempatan lain yang juga berusaha meminimumkan jejak karbon mereka.

Di Klang, Selangor, terdapat seorang pengukir seni arca, William Koong yang juga menggunakan besi terbuang untuk mencipta karya seni.

Di utara, di Pulau Pinang, seorang penggiat seni dalam pemasangan, Tan Lay Heong, menggunakan bahan-bahan daripada sisa yang boleh dikitar semula seperti kadbod terpakai, beg plastik dan kipas untuk projeknya.

Pupuk kelestarian

Terletak di kawasan perindustrian Kampung Subang di Shah Alam, Selangor, Nizamsculpture Studio ditubuhkan oleh Nizam sejak 12 tahun lalu.

Lokasinya agak tersembunyi kerana terselindung di antara kedai perabot dan kedai kimpalan.

Namun, sebaik sahaja melangkah masuk, ruang itu berubah menjadi sebuah gudang kreativiti.

take photos of award-winning sculptor Nizam Abdullah at his studio.  — AZLINA ABDULLAH/The Star

Struktur orkid yang dihasilkan daripada besi kitar semula memberi gambaran pancaran keindahan yang halus.

Di pintu masuk sahaja, terdapat sebuah arca besar berupa semut dan patung yang menyambut pengunjung tiba.

Terdapat juga banyak karya yang ditempah oleh pengumpul peribadi, membuktikan kemahiran seni Nizam berada di tahap yang luar biasa.

Di dalam studio pula dipenuhi dengan pelbagai karya seni menakjubkan yang dibuat daripada bahan kitar semula.

Struktur bunga orkid yang dibentuk daripada besi terbuang menonjolkan keindahan yang halus, sementara ikan logam yang diperbuat daripada mesin pencuci pakaian memang menarik perhatian.

Pintu gudang menuju ke pejabatnya diperbuat daripada barangan kitar semula seperti mesin pencuci, jaring besi dan gril besi tuang, disusun menjadi karya seni yang menyerupai cakera brek.

Dalam menghasilkan karyanya, Nizam menggunakan 60 peratus besi kitar semula dan 40 peratus barang dibeli di kedai. Barang buangan termasuk baut (skru atau besi penyambung kayu) lama, paku dan cakera besi.

take photos of award-winning sculptor Nizam Abdullah at his studio.  — AZLINA ABDULLAH/The Star

Nizam menemui kepuasan dan keseronokan ketika menghasilkan arca.

"Di tempat besi buruk, saya memilih barang-barang yang memberi inspirasi dan mengelak mengambil besi yang biasa.

"Saya mula dengan membuat lakaran idea, kemudian mengumpul bahan dari tempat buangan dan kedai perkakasan.

"Saya bereksperimen dengan pelbagai bahan. Cabarannya adalah mencari bahan yang mempunyai makna yang mendalam," kata penerima Anugerah Perniagaan Nasional Malaysia 2022 bagi kategori Seni dan Gaya Hidup.

Besi menjadi bahan pilihan pemegang diploma Seni Halus dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya, Selangor itu kerana ketahanannya, kepelbagaian dan keunikan estetik.

Menggabungkan alat-alat industri menambah lagi lapisan nilai seni pada ciptaannya, menceritakan kisah penggunaan semula dan transformasi.

"Kadang-kadang kita tidak nampak keindahan sesuatu barang sehinggalah kita menyusunnya menjadi karya seni yang padu.

"Dengan memberikan kehidupan baharu kepada barang-barang buangan, kita boleh meningkatkan nilai objek biasa," kata Nizam.

take photos of award-winning sculptor Nizam Abdullah at his studio.  — AZLINA ABDULLAH/The Star

Nizam menjalankan kerjanya di Nizamsculpture Studio yang terletak di Kampung Subang, Shah Alam.

Minat anak seni itu terhadap ukiran arca bermula sejak kecil, apabila beliau gemar membongkar dan memasang semula barangan permainan.

Minat awal ini akhirnya membawa Nizam untuk menceburi seni halus, dengan pengkhususan dalam seni arca besi dan juga seni lukisan sebagai bidang sampingan.

"Menghasilkan arca menjadi pilihan kerjaya kerana saya menemui kepuasan dan keseronokan apabila menggunakan bahan logam, mengekspresikan kreativiti saya melalui bentuk tiga dimensi,” kata bapa kepada enam anak itu.

Nizam telah bekerja dengan bahan logam selama lebih 20 tahun. Selain gangsa dan keluli tahan karat, beliau juga menggunakan kaca gentian.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan pelbagai arca menarik yang dipamerkan di ruang awam, termasuk Arca Kinetik di Educity, Iskandar Puteri, Johor; Arca Kuda Laut di Queensbay, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Escofet Xurret di Sungai Kehidupan, Kuala Lumpur.

take photos of award-winning sculptor Nizam Abdullah at his studio.  — AZLINA ABDULLAH/The Star

Nizam (kanan) menyatakan dedikasi untuk mengubah besi buruk dan objek terbuang menjadi karya seni yang diperbaharui.

Melalui kepelbagaian hasil ciptaan buatan tangan, termasuk barangan logam kitar semula, beliau menyuarakan hasrat untuk memperluas penghargaan terhadap seni tempatan.

"Menghasilkan karya seni peribadi adalah cabaran tetapi ia memerlukan kajian dan keaslian, melampaui jangkaan umum.

"Saya gemar akan kebebasan kreatif dalam seni, tidak seperti kekangan dalam reka bentuk grafik.

"Seni halus menawarkan platform tanpa sempadan untuk menyelesaikan masalah dan mengekspresikan gaya hidup, yang memupuk inovasi.

"Saya menjelajah kawasan untuk mencari bahan kitar semula yang dibuang, mengubah besi buruk menjadi bentuk baharu. Ia satu proses bertujuan menghidupkan kembali objek buangan, di samping mempromosikan kelestarian," ungkap beliau.

Nizam menambah, kecantikan adalah subjektif dan dalam proses kitaran semula, seni menemukan kecantikan dan kelestarian dalam bahan yang dipulihkan.

"Saya berharap dapat meninggalkan legasi yang melampaui impak seni, menyumbang kepada penghargaan lebih luas terhadap seni, terutamanya seni yang lestari di Malaysia," bicaranya. — The Star/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram