SEPERTI penjajah yang datang ke tanah air dan menguasai sumber-sumber tempatan, ikan bandaraya yang asalnya dari Amerika Selatan kini mendominasi sungai-sungai Malaysia.
Kehadiran mereka membawa kesan besar terhadap populasi ikan tempatan, sama seperti bagaimana penjajahan memusnahkan budaya dan ekonomi asal sesuatu negara.
Diperkenalkan sebagai ikan pembersih akuarium, ikan bandaraya, atau nama saintifiknya Hypostomus Plecostomus, pada mulanya dipelihara oleh peminat ikan hiasan di seluruh negara.
Namun, apabila ikan ini dilepaskan ke dalam sungai oleh pemilik yang tidak lagi mahu memeliharanya, ia mula membiak dan menjajah kawasan air tawar di Malaysia.
Walaupun kelihatan seperti ikan hiasan biasa, sifatnya yang invasif membuatkan ia berupaya mengancam keseimbangan ekosistem sungai.
BACA LAGI: Legasi Raja Ular Malaysia, perkenal 'petting zoo' pupuk kesedaran haiwan berbisa
BACA LAGI: Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis
Sehubungan itu, kebanjiran ikan bandaraya yang kini mendominasi sungai terutama sekitar Lembah Klang, perlu dilihat sebagai ancaman kritikal kerana bukan setakat menyebabkan kepupusan ikan tempatan, malah merosakkan ekosistem saliran sungai negara ini.
Mohamad Haziq A Rahman
Menurut pengasas Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Mohamad Haziq A Rahman, lambakan ikan bandaraya atau turut dikenali dengan nama ikan Tombot ini tidak boleh dipandang enteng.
"Saya mula nampak ancaman ikan bandaraya ini kepada ekosistem sungai kita sejak 2021 ketika itu saya banyak memancing sendiri dan selalunya balik dengan tangan kosong kerana kebanyakan hasil tangkapan adalah ikan bandaraya.
"Bayangkan setiap kali memancing atau menjala, hanya ikan bandaraya yang berjaya di tangkap sedangkan kawasan itu dahulu 'meriah' dengan ikan tempatan.
"Susulan dari itu, saya telah mengambil inisiatif 'berperang' menghapuskan ikan tersebut," katanya kepada Majoriti.
Jelas Mohamad Haziq lagi, kewujudan spesies ikan itu tak ubah seperti 'pendatang asing' dan sangat berbahaya kepada ekosistem sungai.
"Ikan bandaraya mempunyai tabiat untuk membuat lubang sarang telur di kawasan sungai, di mana mereka membiak dan memakan telur ikan tempatan.
"Ini menyebabkan populasi ikan tempatan semakin merosot, kerana telur dan larva ikan tempatan sering kali menjadi mangsa ikan bandaraya yang tidak berpindah dari kawasan sungai yang sama.
"Di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, Sungai Klang, Sungai Kuyoh di Bukit Jalil, anak sungai Ayer Hitam (Puchong) dan Sungai Semenyih antara sungai yang 'ditawan' ikan tersebut," ujarnya.
Anak jati Banting, Selangor itu turut menjelaskan lambakan ikan bandaraya mengundang bahaya yang lain seperti tanah runtuh di tebing sungai.
"Lubang-lubang yang dibuat oleh ikan ini boleh mengakibatkan hakisan tebing dan runtuhan yang berbahaya.
"Pernah sekali ketika aktiviti menangkap ikan bandaraya, saya menemui lubang-lubang ikan bandaraya di tebing sungai yang menyerupai gua kecil, dengan kedalaman kira-kira satu meter.
"Saya sendiri nak masuk lubang itu pun dah takut, bayangkan kalau hujan lebat yang berterusan, sudah pasti akan berlaku tanah runtuh di kawasan itu," ujarnya.
Walaupun kelihatan seperti ikan hiasan biasa, sifat ikan bandaraya yang invasif membuatkan ia berupaya mengancam keseimbangan ekosistem sungai.
Sehubungan itu, katanya, usaha menangkap ikan bandaraya daripada sungai tempatan perlu dipergiatkan kerana ia turut memberi impak kepada nelayan sungai.
"Walaupun ikan bandar raya tak makan ikan asal, tetapi sifatnya yang menguasai sesuatu kawasan, menyebabkan ikan tempatan tidak dapat bertahan.
"Selalunya, aktiviti menangkap ikan ini biasanya dilakukan dalam kumpulan yang melibatkan antara 20 hingga 30 orang, menggunakan 10 jala.
"Hasil tangkapan terbesar dalam satu sesi boleh mencapai sehingga satu tan ikan bandaraya dalam tempoh dua hingga tiga jam. Semua hasil tangkapan ini dijadikan baja atau produk makanan ikan, seperti pelet dan dedak ikan," kata Mohamad Haziq yang juga merupakan seorang nelayan.
Mohamad Haziq bersama rakan-rakannya yang lain turut bekerjasama dengan agensi yang berkaitan bagi menangkap ikan bandaraya.
Selain itu, Mohamad Haziq turut menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan kerajaan negeri Selangor dalam melaksanakan program berkala untuk membasmi ikan bandaraya.
Pada masa sama, inisiatif memberikan ganjaran RM1 bagi setiap kilogram ikan bandaraya yang ditangkap turut diperkenalkan sebagai galakan kepada orang ramai untuk terlibat sama dalam usaha ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram