Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis


  • 112
  • Selasa, 24 Sep 2024

Kisah Boon Chin dan Ben ini mengingatkan kita tentang pengorbanan bukan sahaja askar manusia, tetapi juga anjing-anjing perang yang berkhidmat tanpa mengenal erti gentar.

DI saat Tanah Melayu berdepan ancaman pemberontakan komunis, tidak pernah terlintas di fikiran bekas askar, Leftenan Kung Boon Chin, bahawa dirinya akan memulakan tugas dalam pasukan khas bersama anjing perang.

Jauh sekali membayangkan salah seekor anjing kacukan yang ditinggalkan oleh seorang askar lain, akan mengubah perjalanan hidup bekas tentera yang ditugaskan di kem tentera di Kota Belud, Sabah pada 1970 itu.

Menurut Boon Chin, anjing yang ditinggalkan itu kemudian terus menjadi teman rapatnya setelah beliau memutuskan untuk menjaganya.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Legasi Raja Ular Malaysia, perkenal 'petting zoo' pupuk kesedaran haiwan berbisa

Malah, hubungan erat bersama haiwan tersebut turut menarik perhatian pihak atasan tentera sehinggakan beliau diarahkan menjadi jurulatih anjing perang pertama Malaysia pada 1971.

Ia juga merupakan tahun yang sama tentera British menyerahkan anjing perang mereka kepada pihak tentera negara.

Mengimbau kembali kenangan bersama haiwan pertama kesayangan itu, Boon Chin berkata, beliau hanya berusia 22 tahun selepas menamatkan pengajian di sekolah tentera dan ditempatkan di rejimen kereta perisai di kem tentera Kota Belud di Sabah sebagai leftenan dua pada 1970.

“Anjing tersebut comel dan disayangi semua orang, termasuk rakan sekerja saya yang berbangsa Melayu.

"Malah dia juga sering membawa makanan dan menyuap anjing tersebut semasa ketiadaan saya atau ketika saya sedang menjalankan rondaan di dalam kereta perisai,” katanya kepada The Star dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

War Dog unit commander Malaysian army veteran Capt Kung Boon Chin

Leftenan Kung Boon Chin

Bercerita lanjut, Boon Chin yang kini berusi 76 tahun berkata, selang beberapa bulan kemudian, beliau dihantar untuk mengikuti kursus di Sekolah Perang Hutan British yang kini dikenali sebagai Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.

"Semasa menghadiri kursus tersebut, mendiang Mejar Jeneral Lai Chung Wah yang juga kolonel di kem tersebut telah memanggil saya.

"Pada ketika itulah mendiang telah mengarahkan saya untuk menjalani latihan sebagai jurulatih anjing perang.

"Saya ingat lagi pesanan mendiang Chung Wah, 'Hei, Boon Chin. Saya dengar awak suka anjing. Okay, awak akan mulakan latihan sebagai jurulatih anjing perang'," katanya menceritakan pesanan Chung Wah.

Namun, Boon Chin menjelaskan kepada kepada pegawai kanan itu bahawa dia hanya mengambil anjing tersebut kerana ia dibuang dan memerlukan penjagaan yang rapi.

Beliau malah memaklumkan bahawa dirinya gembira untuk kekal dalam rejimen kereta perisai.

Namun, jawapan yang diterima tidak seperti yang diharapkan dan mendiang bertegas dengan pendiriannya.

"Mulakan latihan. Awak akan menjadi jurulatih anjing, jadi cepatlah," jerit Chung Wah kepada Boon Chin.

photo_2024-09-22_01-48-36

Anjing perang baka German Shepard (kiri) dan Labrador menjalani latihan ketat dan agak meletihkan seperti askar, supaya haiwan berkenaan bersiap sedia menghadapi situasi sebenar di medan perang. — Agensi

Kisah ini bukan sekadar tentang persahabatan antara manusia dan haiwan, tetapi juga tentang pengorbanan dalam medan perang yang jarang diketahui ramai.

Akur dengan arahan mendiang, selepas menamatkan latihan dengan askar British di dalam dan luar negara, Boon Chin memulakan peranan baharunya.

Malah, pada ketika itu, dia bukan sahaja melatih anjing tetapi turut mengajar askar lain untuk menjadi jurulatih anjing tempur.

Beliau berkata, anjing-anjing itu, yang kebanyakannya jenis baka Labrador dan German Shepard menjalani latihan ketat dan agak meletihkan seperti askar, supaya haiwan berkenaan bersiap sedia menghadapi situasi sebenar di medan perang.

"Ia adalah apa yang kita panggil inokulasi pertempuran. Mereka dilatih untuk bertenang terhadap bunyi tembakan dan melompat dari helikopter.

"Kesemua anjing perang yang dilatih turut membantu anggota tentera mengesan musuh serta bom jerangkap samar dengan satu tujuan, iaitu melindungi rakan sepasukan mereka daripada ancaman musuh," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua misi berakhir dengan selamat. Dalam salah satu operasi yang mencatat sejarah, seekor anjing bernama Ben menemui ajalnya dengan penuh keberanian.

Menceritakan semula tragedi itu, Boon Chin berkata, ketika bertugas bersama Sarjan Chandren, Ben berjaya mengesan serangan hendap komunis yang bakal dilancarkan.

Kongsinya lagi, sejurus memberi isyarat kepada rakan sepasukannya untuk berlindung, Ben ditembak ketika cuba kembali kepada Chandren.

"Walaupun cedera parah dan dalam kesakitan, Ben tetap merangkak hingga akhirnya tiba di sisi Chandren, lalu mengangkat kaki kanannya seolah-olah memberi salam terakhir, satu penghormatan terakhir seorang wira," tutur Boon Chin dalam nada sebak.

Tindakan anjing perang bernama Ben yang penuh kesetiaan dan keberanian itu bukan sahaja menyelamatkan nyawa rakan sepasukannya tetapi juga meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah tentera Malaysia.

Boon Chin berkata, anjing perang adalah anjing yang hebat dan telah terbukti bukan sahaja kawan baik manusia tetapi juga penjaganya.

"Seperti kata pepatah, anjing bercakap tetapi hanya kepada mereka yang mengambil berat untuk mendengar," ujarnya.

Ben ditanam dengan penghormatan tentera dan sebuah memorial didirikan di Pulada, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanannya.

Menjawab pertanyaan mengapa beliau mendaftar untuk berkhidmat dalam tentera pada ketika itu, Boon Chin memaklumkan dirinya memang menyimpan hasrat untuk berkhidmat pada negara.

“Tentera terdiri daripada pelbagai kaum dan saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka," katanya yang kini merupakan ahli perniagaan.

Kisah Boon Chin dan Ben ini mengingatkan kita tentang pengorbanan bukan sahaja askar manusia, tetapi juga anjing-anjing perang yang berkhidmat tanpa mengenal erti gentar.

Dalam setiap misi yang dilalui, mereka bukan sahaja sahabat setia tetapi juga wira yang tidak akan dilupakan dalam mempertahankan tanah air. —The Star/CHARLES RAMENDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram