[VIDEO] 'Sampai kiamat kita sendiri', bapa terkorban nahas pesawat terhempas tidak lemahkan semangat Perajurit Muda Indiran


  • 112
  • Ahad, 22 Sep 2024

Indiran menghidupkan semula legasi bapanya, mendiang Leftenan Kolonel C. Kayamboo dalam ATM.

TRAGEDI ada kalanya boleh menjadi hikmah sebagai satu permulaan sebuah cerita yang lebih besar.

Bagi Perajurit Muda K. Indiran, kisah duka yang melanda keluarganya lapan tahun lalu bukanlah titik noktah, tetapi menjadi permulaan kepada cita-cita untuk menghidupkan semula legasi bapanya, mendiang Leftenan Kolonel C. Kayamboo.

Peribahasa mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi membawa makna yang lebih mendalam dalam konteks tersebut kerana pemuda berusia 20 tahun itu mengikut jejak langkah bapanya dengan menyertai tentera.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Terpaksa menyelam seawal Subuh di Semporna, kesan tapak kaki dekat dinding jerat penjenayah 'wanted' di P.Pinang

Bahkan tragedi berdarah meragut ayahnya dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mencapai impian yang sama iaitu menjadi juruterbang tentera.

Melalui satu temu bual yang dikongsikan di laman Facebook Air Times News Network Indiran memaklumkan pada mulanya dia ingin menyertai Pasukan Udara Tentera Darat.

"Sebelum ini saya nak masuk Air Force (Pasukan Udara Tentera Darat) tetapi tidak berjaya tetapi saya tetap memasuki Tentera Darat kerana ia masih di bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Uniformnya sama, walaupun tugasnya berbeza," katanya dalam satu temu bual selepas menamatkan sesi latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 200/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada Ahad lalu.

Screenshot 2024-09-19 193138

Perajurit Muda K. Indiran.

Indiran merupakan salah seorang daripada 1,144 perajurit muda berjaya menamatkan sesi latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 200/2024.

Jelas anak sulung daripada empat beradik itu lagi, dia juga menyimpan hasrat menjadi perwira seperti ayahnya.

"Saya masih teringat pesan ayah, jangan fikir kata-kata orang lain, ikut hati dan diri sendiri kerana sampai kiamat kita sendiri," katanya mengimbau kembali pesanan bapanya.

Bercerita lanjut, Indiran memaklumkan ayahnya terkorban akibat nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang, Selangor sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.

"Walaupun peristiwa itu menyedihkan, saya sebagai anak sulung perlu kuat dari segi mental kerana saya rasa bertanggungjawab untuk membawa keluarga saya maju ke hadapan.

"Ibu juga memainkan peranan memberikan saya kata-kata semangat untuk terus berjuang hingga ke saat ini," ujarnya.

Video kredit: Air Times News Network

Indiran juga menyampaikan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk menjadi seorang pegawai tentera seperti bapanya selain memasang impian menyertai Pasukan Udara Tentera Darat.

"Saya ingin menjadi seperti ayah, seorang yang cekap dan tepat dalam tindakan dan bercita-cita untuk menjadi pegawai, seperti ayah saya.

"Saya berharap dapat melanjutkan pelajaran dan menjadikan impian ini satu kenyataan. Ayah saya dahulu juga seorang Air Force, dan beliau terlibat dalam kemalangan kapal terbang yang terhempas di Butterworth. Walaupun itu satu tragedi, saya bangga dengan pencapaian dan perjuangannya.

"Sebelum ayah meninggal dunia, saya sering merasa ragu-ragu dengan pilihan hidup saya. Tetapi kini, saya semakin yakin bahawa menjadi tentera adalah pilihan yang tepat. Minat ini sudah ada sejak kecil, dan walaupun ayah sudah tiada, saya terus bersemangat untuk meneruskan impian saya," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram