Legasi Raja Ular Malaysia, perkenal 'petting zoo' pupuk kesedaran haiwan berbisa


  • 112
  • Rabu, 18 Sep 2024

Azman menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk membantu komuniti di kawasan kejiranannya menangkap ular yang tersesat di kawasan perumahan, sekiranya diperlukan.

NAMA Ali Khan Samsuddin atau lebih dikenali sebagai Raja Ular Malaysia, telah lama menjadi ikon dalam dunia hiburan dan pertunjukan yang berkaitan dengan reptilia, terutamanya ular berbisa.

Keberanian, kemahiran dan kepakaran luar biasanya dalam mengendalikan haiwan berbisa menjadikan beliau diangkat sebagai legenda baik dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Namun, setelah pemergian beliau, persoalan timbul: Adakah legasi Raja Ular akan berakhir di situ?

BACA LAGI : Enggan tragedi menimpa ayah sebelum Zuhur berulang, Azizul nekad buka akademi tawar latihan CPR, AED

BACA LAGI : 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

Jawapannya tidak. Anaknya, Azman Khan Ali Khan yang turut terlibat dalam dunia reptilia sejak kecil, kini meneruskan warisan ayahnya, menyambung kehebatan yang telah lama tersemat dalam keluarga mereka.

photo_6287502659153935685_x

Azman (kanan) ketika kecil bersama bapanya, Raja Ular Malaysia, Ali Khan Samsuddin

Walaupun namanya tidak segah Allahyarham Ali Khan yang maut akibat terkena patukan ular tedung selar ketika membuat persembahan pada 2006, namun ia tidak menghalang Azman untuk menyambung legasi tersebut.

Menurutnya, ia bukanlah tugas yang mudah kerana bapanya merupakan satu figura yang sememangnya sudah dikenali mengendalikan haiwan dan reptilia berbahaya.

"Kalau sebut sahaja nama arwah ayah, mesti orang ingat saya akan bermain dengan ular berbisa atau kala jengking.

"Namun saya sendiri sebenarnya mengambil pendekatan berbeza dengan tidak hanya memfokuskan ular berbisa, tetapi turut mengetengahkan konsep pendidikan mengenai haiwan eksotik.

"Fokus saya lebih kepada petting zoo (zoo haiwan jinak), AK Snake Legend Worldwide yang berlokasi di Gombak dekat Batu Caves, Selangor. Untuk generasi sekarang, kita lebih kepada mendidik masyarakat, terutamanya anak-anak," katanya kepada Majoriti.

Jelas anak ketiga daripada lima beradik itu, tujuannya membuat petting zoo berkenaan untuk memberi nafas baharu kepada industri tersebut.

"Dengan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, anak Ali Khan kini memainkan peranan yang lebih besar dalam pendidikan awam.

"Pelbagai program kolaborasi dengan institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meneruskan usaha untuk melindungi spesies reptilia yang kian terancam.

"Kami ingin mereka tahu bahawa tidak semua ular itu berbahaya untuk dipegang. Dalam petting zoo ini, anak-anak boleh pegang ular dan rasa sendiri pengalaman tersebut.

"Bukan ular sahaja, kami juga membawa haiwan eksotik dari luar negara. Contohnya, dari Afrika, kami ada meerkat sementara kami ada Holland Duck dari Belanda. Banyak lagi haiwan eksotik menarik yang kami pamerkan," ujarnya.

photo_6287502659153935689_y

Azman (kanan) menerangkan sesuatu kepada Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri (kiri) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dekat Serdang, Selangor.

Selain mengadakan pameran, dia turut menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk membantu komuniti di kawasan kejiranannya, iaitu di Batu Caves, Selangor menangkap ular yang tersesat di kawasan perumahan, sekiranya diperlukan.

"Saya juga pernah membantu komuniti menangkap ular. Biasanya, jika ular berada di kawasan sekitar rumah saya, saya akan turun membantu. Untuk kawasan yang jauh, saya akan serahkan kepada pihak bomba atau Jabatan Pertahanan Awam. Saya lebih fokus kepada komuniti tempatan, membantu jiran-jiran yang memerlukan.

"Kebanyakan ular yang saya tangkap di kawasan rumah adalah ular sawa dan ular senduk. Saya akan tangkap dan lepaskan jauh dari kawasan perumahan, seperti di hutan Gombak atau hutan Rawang.

"Tujuannya adalah untuk melindungi ular itu daripada dibunuh atau dilanggar kenderaan. Manusia sering anggap ular sebagai ancaman, tetapi hakikatnya ular hanya cuba melindungi diri. Mereka akan gigit jika merasa terancam," katanya.

156128254_3738689199520231_7811516601745301932_n

Azman Khan

Menjawab pertanyaan cabaran menangkap ular berbisa, Azman berkata, dia sebelum menangkap ular, saya biasanya akan mengkaji gerak-geri ular tersebut.

"Sebagai contoh, ular tedung akan menegakkan badannya sebelum menyerang, dan dari situ saya tahu bagaimana cara untuk mendekatinya tanpa membuat pergerakan yang ketara. Setiap jenis ular ada cara tersendiri.

"Salah satu pengalaman mencabar saya adalah ketika menangkap ular sawa yang besar. Orang sekeliling tidak berani membantu, jadi saya terpaksa melakukannya sendiri. Ular sawa biasanya akan melilit kaki dan tangan kita, jadi kita perlu gunakan tenaga yang betul untuk mengawalnya," tegas Azman.

Bercerita lanjut, Azman sangat menghargai segala ilmu yang telah diajar oleh arwah ayahnya.

"Ilmu menangkap ular ini sebenarnya saya warisi daripada arwah ayah. Sejak umur tiga tahun, saya sudah bermain dengan ular berbisa dan ikut ayah ke mana sahaja dia pergi.

"Setiap persembahan yang ayah buat, saya ada bersama dia. Hinggalah usia saya 14 atau 15 tahun, saya sentiasa belajar dari dia. Ayah adalah idola saya, dan setiap ilmu yang saya ada sekarang ini adalah daripada dia," luahnya dengan nada sayu.

photo_6287502659153935687_x

Allahyarham Ali Khan ketika membuat pertunjukan bersama ular berbisa pada suatu ketika dahulu.

Mengimbau kembali kenangan bersama ayahnya, Azman berkata, Allahyarham Ali Khan meninggal dunia ketika baru berusia 15 tahun.

"Kematian ayah memang sukar diterima kerana ayah sudah banyak kali dipatuk ular sebelum kejadian itu, tetapi dia selamat.

"Malangnya, penyakit kencing manis yang ayah hadapi membuatkan luka patukan terakhir itu tidak sembuh sehingga dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Aman juga bercita-cita untuk menjadi terkenal seperti ayahnya, namun dengan konsep yang berbeza.

"Arwah ayah memegang rekod dunia dengan tidur dalam sebuah gelanggang kaca bersama 6,000 ekor ular tedung selama 21 hari.

"Hingga kini, tiada siapa yang dapat memecahkan rekod itu. Saya sendiri tidak bercadang untuk memecahkan rekod yang sama, tetapi mungkin suatu hari nanti saya akan cuba memecahkan rekod dalam bidang lain, mungkin dalam pengurusan petting zoo," katanya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram