[VIDEO] Kejadian paling buruk dalam tempoh 15 tahun, lebih 100 rumah di Mantin rosak dibadai ribut


  • Massa
  • Selasa, 24 Sep 2024

J ARUL Kumar ke lokasi kejadian ribut yang menyebabkan bumbung di kira-kira 100 rumah di sekitar Mantin diterbangkan angin kuat lewat petang Isnin. — Facebook/ J Arul Kumar

SEKURANG-KURANGNYA 100 rumah di sekitar Mantin dekat Nilai, Negeri Sembilan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung susulan hujan lebat berserta angin kuat petang Isnin.

Dalam insiden yang berlaku pada pukul 6 petang itu turut menyebabkan lebih 20 pokok tumbang ke jalan raya, malah ada yang terkena pada rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, antara kawasan yang terjejas dalam kejadian berkenaan adalah Taman Sri Damar, Taman Desa Mantin, Kampung Baru Mantin, Taman Andalas dan Pekan Mantin.

BACA LAGI: Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

"Kawasan yang paling terjejas adalah Taman Desa Mantin kerana ada lebih 50 buah rumah dilaporkan rosak.

"Saya dapati ada rumah yang separuh daripada bumbungnya telah diterbangkan angin dan seingat saya ini kejadian paling teruk berlaku dalam tempoh 15 tahun ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau turut meluahkan rasa bersyukur kerana tiada perkara buruk berlaku kepada orang awam.

"Kita bersyukur tiada yang dilaporkan cedera, cuma ada sebuah kereta yang rosak terkena pokok tumbang.

"Saya sudah mengarahkan kerja pembaikan segera dilakukan kepada rumah penduduk yang terbabit bermula pagi ini (Selasa), manakala pokok tumbang pula dibersihkan bomba, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Skuad Pantas.

"Lima kontraktor sudah dilantik bagi tujuan pembaikan bumbung dengan peruntukan daripada pejabat ADUN Nilai dan Ahli Parlimen Seremban.

"Saya minta supaya kerja pembaikan bumbung ini dapat disiapkan hari ini (Selasa) juga memandangkan keadaan cuaca hujan ketika ini, jadi kita tidak tak boleh tunggu," katanya.

Pada Isnin, tular satu video memaparkan kejadian ribut dan pokok tumbang di kawasan Mantin sehingga mengundang kerisauan penduduk setempat.

Beberapa buah rumah juga kelihatan mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram