[VIDEO] Bekas komando dedah bahayanya peluru, roket, misil yang sudah 'expired'


  • 112
  • Isnin, 23 Sep 2024

Mohd Noor menerangkan sesuatu kepada Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddien pada sebuah program ATM baru-baru ini. — Facebook/ 9 Skn RAJD - Rasmi

DALAM setiap detik aman yang kita nikmati, pasti ada seorang wira yang berada di sebalik tabir, bekerja tanpa mengenal lelah demi memastikan keselamatan negara terjamin.

Salah seorang daripada mereka ialah Leftenan Kolonel Mohd Noor Mohamed, seorang Ketua Pegawai Teknikal Peluru di Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur yang telah mengabdikan lebih dua dekad hidupnya dalam perkhidmatan kepada Tentera Darat Malaysia.

Lebih menarik lagi, perjalanan Mohd Noor untuk berada di tahap pegawai dalam angkatan tentera bukanlah seperti yang disangkakan.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

Ia sekali gus boleh dijadikan sumber inspirasi buat anak muda di luar sana untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menamatkan persekolahan.

Melalui satu perkongsian di laman media Kementerian Pertahanan (Mindef), Mohd Noor memaklumkan dia menyertai pasukan ATM hanya menggunakan 'tiket' Sijil Pelajaran Malaysia pada 26 tahun yang lalu.

"Pada 2012, saya telah mengikuti Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) dalam bidang Diploma Strategik," ujarnya.

Jelas beliau lagi, sebagai Ketua Teknikal Peluru dia bertanggungjawab melaporkan secara langsung kepada Pucuk Pimpinan Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddien Jantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dalam hal-hal berkaitan teknikal peluru dari segi penyimpanan, spesifikasi dan sebagainya yang melibatkan peluru.

Sebagai pakar dalam bidang tersebut, beliau turut ditugaskan untuk memastikan kesemua peluru yang disimpan berada dalam keadaan terbaik dan sedia digunakan pada bila-bila masa.

"Sebarang peluru, roket, atau misil yang tamat tempoh atau berbahaya perlu dimusnahkan segera untuk mengelakkan risiko kepada pengguna," kata Mohd Noor ketika menceritakan cabaran utama tugasnya.

Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika bertugas, Mohd Noor pernah berdepan dengan detik cemas berlaku semasa latihan menembak menggunakan misil Igla.

Menurutnya, misil itu hanya 'keluar' kira-kira 100 meter dari penembak sebelum ia masuk ke dalam pasir tanpa meletup.

"Sebagai langkah keselamatan, saya pegawai teknikal ketika itu terpaksa menggali pasir dengan berhati-hati untuk memusnahkannya dan memastikan latihan dapat diteruskan,” ujar beliau.

Insiden tersebut sekali gus menunjukkan pentingnya aspek keselamatan dalam pengendalian bahan letupan.

457590976_519429134107353_4648365529915309472_n

Mohd Noor pernah berdepan dengan detik cemas berlaku semasa latihan menembak menggunakan misil Igla. —Facebook/ 9 Skn RAJD - Rasmi

Sebagai ketua anggota 40 Markas Kejuruteraan Peluru (MKP 40), beliau juga bertanggungjawab dalam Pengurusan Pemusnahan Bahan Letupan atau Explosive Ordnance Disposal (EOD), termasuk bom-bom yang dijumpai serta Unexploded Ordnance (UXO).

"Pasukan kami bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dalam misi Counter Improvised Explosive Device (IED) yang semakin penting dalam mencegah ancaman moden.

"Kami menggunakan teknologi seperti Remote Explosive Ordnance Disposal Vehicle (REODV) untuk melaksanakan pemusnahan IED, dengan kaedah manual hanya digunakan jika teknologi tidak mampu menyelesaikan tugas tersebut.

"Bidang ini memerlukan komitmen, disiplin, dan dedikasi yang tinggi. Minat sahaja tidak cukup tanpa kesungguhan," ujar beliau, menggariskan cabaran terlibat secara terus dalam mengendalikan senjata.

Bidang teknikal peluru mungkin kurang diketahui ramai, namun seperti yang ditegaskan oleh Mohd Noor, ia adalah satu tugas yang amat penting dalam memastikan keselamatan negara terus terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram