Komander bawa pulang kapal selam pertama Malaysia dilantik Panglima Tentera Laut ke-19


  • 112
  • Isnin, 23 Sep 2024

Khaled Nordin (kiri) menyempurnakan pemakaian pangkat Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain sebagai Panglima Tentera Laut ke 19 pada majlis pemakaian pangkat Panglima Temtera Laut ke 19 di Wisma Pertahanan pada Isnin.

PEMANGKU Panglima Tentera Laut (TLDM), Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain secara rasmi memegang jawatan Panglima Tentera Laut ke-19 selepas dinaikkan pangkat Laksamana pada Isnin.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang bersara pada 2 Disember depan.

Majlis pemakaian pangkat Zulhelmy disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

BACA LAGI : 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI : Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

Majlis tersebut turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

Dilahirkan pada 2 Januari 1968 di Dato Keramat di ibu negara, Zulhelmy menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja pada 1981 hingga 1985, sebelum mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1986, seterusnya ditauliahkan sebagai Left Muda dalam cawangan Eksekutif dua tahun kemudian.

"Kerjaya Zulhelmy sebagai Submariner bermula pada 1993, apabila memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia seterusnya, menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta.

"Sejarah turut tercipta apabila beliau berjaya membawa pulang KD Tunku Abdul Rahman dari Perancis yang mengambil masa selama dua bulan, dalam pelayaran sulung yang bersejarah menuju ke Malaysia pada 10 Julai 2009,” menurut kenyataan itu.

Antara jawatan penting yang pernah disandang sepanjang perkhidmatan ialah Panglima Angkatan Kapal Selam, Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut, Panglima Wilayah Laut 1, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional dan Timbalan Panglima Tentera Laut.

Zulhelmy merupakan pemegang Ijazah Sarjana National Security Administration dan menerima The Outstanding Alumni Award daripada National Defence College of the Philippines, selain merupakan alumni United States Naval War College, Rhode Island dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram