"SAYA akan cuba layan mereka macam anak saya, tak perlu ada stigma walaupun mereka ketagih dengan bahan terlarang," itulah jawapan Pengarah Puspen Seri Iskandar, Nur Alisa Alia ketika ditanya tentang klien kanak-kanak bawah umur di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dekat Seri Iskandar, Perak.
Kenyataan dibuat oleh wanita itu bukanlah bermaksud tidak tegas terhadap klien di bawah umur itu tetapi lebih kepada mendisiplinkan dengan cara yang lembut.
Katanya, beliau lebih suka menggunakan pendekatan secara psikologi memandangkan klien adalah dari golongan bawah umur.
BACA LAGI: Dadah tak kenal mangsa, ayuh bangkit 'merdekakan' Malaysia
BACA LAGI: Budak taska tiru aksi guna picagari, pernah lihat bapa suntik dadah — AADK
"Ada dalam kalangan klien ini muda dan terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Sama ada dia bermula daripada rumah atau bermula daripada persekitaran dan sebagainya.
"Kita kena tanya kenapa perkara ini berlaku daripada usia muda. Kita sendiri tak tahu apa yang mereka alami dan tak boleh terus pandang serong. Setiap klien ada cerita mereka yang tersendiri," katanya kepada Majoriti.
Nur Alisa Alia
Nur Alisa turut memberi contoh, seorang klien bernama Isham (Bukan nama sebenar) yang terjebak dengan dadah sejak usia 12 tahun.
Menurutnya, kanak-kanak malang itu terdorong mengambil dadah disebabkan masalah keluarga dan didorong oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
"Individu itu licik, dia tahu Isham bermasalah dan dia gunakan keadaan itu. Dia bagi Isham 'barang' dan jadikan anak malang itu sehingga menjadi 'runner' menghantar syabu ke penagih di sekitar Pulau Pinang.
"Sebab itu pentingnya pendekatan secara psikologi, mereka ini masih di bawah umur dan mudah terpengaruh. Kita juga banyak bermain dengan emosi," ujarnya lagi.
Antara pengalaman yang beliau tidak boleh lupakan sepanjang bertugas di Puspen Seri Iskandar, beliau menceritakan pernah berlaku kemalangan melibatkan seorang klien di tandas asrama.
Katanya, klien tersebut tergelincir pada awal pagi dan mengalami pendarahan teruk pada kaki.
"Kejadian berlaku pada pukul 3 pagi dan saya berada di rumah Ipoh, Perak. Waktu itu, saya terus bangun dan memandu ke Seri Iskandar walaupun saya tahu ada kakitangan yang lain berada di sana.
"Ini adalah satu tanggungjawab saya sebagai 'ketua' di Puspen, mereka (klien) ibarat anak," katanya.
Puspen Seri Iskandar merupakan satu-satunya tempat di Semenanjung yang menawarkan program pembelajaran khusus untuk klien mengambil SPM.
Nur Alisa juga selalu menasihatkan klien-klien di Puspen untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Jelas beliau, Puspen Seri Iskandar merupakan satu-satunya tempat di Semenanjung yang menawarkan program pembelajaran khusus untuk klien mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya selalu berpesan kepada mereka untuk mengambil SPM. Tak ada istilah kalau masuk sini akan di senarai hitamkan.
"Mereka masih ada masa depan dan ada dalam kalangan bekas klien di sini yang berjaya sehingga menjadi penjawat awam dan membuka perniagaan sendiri," katanya menutup bicara.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram