Hak kanak-kanak, sistem keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak masih lagi lemah — Suhakam


  • Primer
  • Isnin, 23 Sep 2024

Kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap perkara berkenaan masih lagi belum memuaskan berbanding di negara luar. — Gambar Hiasan/ Agensi

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memainkan peranan penting dalam memastikan hak kanak-kanak, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara sentiasa terpelihara.

Dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-kanak bagi menganggotai Suhakam untuk tempoh tiga tahun yang berkuat kuasa 8 Mac 2023 lalu, Dr. Farah Nini Dusuki mengakui ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Malaya (UM) berkata, kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap perkara berkenaan masih lagi belum memuaskan berbanding di negara luar.

BACA LAGI : Pendekatan kekerasan bukanlah kaedah terbaik dalam mendidik generasi akan datang — Suhakam

BACA LAGI : Jangan tambah trauma, pasca nasib kanak-kanak di rumah amal GISB perlu dibela — Suhakam

Katanya, cabaran utama dalam menegakkan hak kanak-kanak di Malaysia ialah sistem perlindungan kanak-kanak di negara ini yang belum begitu kukuh.

"Kita masih berpaksikan kepada individu tertentu atau 'seorang juara' untuk memperjuangkan hak kanak-kanak. Kita ada banyak undang-undang dan institusi berkaitan dengan kanak-kanak tetapi persoalannya adakah ia benar-benar memihak kepada hak kanak-kanak atau berjaya menegakkan hak kanak-kanak?

"Jawapan sebenarnya bergantung kepada siapa yang menjadi 'juara', siapa yang menjadi ketua. Kalau ketua itu atau individu di institusi tersebut seorang yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap hak kanak-kanak, insya-ALLAH hak kanak-kanak tersebut akan terjaga dengan baik," katanya kepada Majoriti.

Children’s Commssioner Dr Farah Nini Dusuki—SHAARI CHEMAT / THESTAR

Dr. Farah Nini Dusuki

Tambah beliau lagi, kurangnya kesedaran hak kanak-kanak dalam kalangan masyarakat turut menyukarkan aspek perlindungan kanak-kanak di negara.

"Sebagai contoh kes yang memaparkan video kanak-kanak di dalam bas baru-baru ini, ia sebenarnya sesuatu yang perlu dipandang serius.

"Masyarakat perlu sedar bahawa kanak- kanak ada hak untuk gambar dan identiti mereka tidak didedahkan sesuka hati oleh mana-mana pihak sekalipun.

"Selain itu, dalam sistem keadilan bagi kanak-kanak pula, terlalu banyak kes yang mana kanak-kanak diperlakukan seperti orang dewasa walaupun Akta Kanak-Kanak 2001 jelas mewujudkan mekanisme bersifat mesra kanak-kanak (child-friendly).

"Terdapat kes yang mana kanak-kanak tidak diwakili peguam, ibu bapa atau pegawai akhlak tidak dimaklumkan apabila kanak-kanak ditangkap," ujarnya.

Beliau turut menekankan pentingnya agensi yang terlibat dalam mengendalikan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan meletakkan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai pertimbangan utama.

BlobServlet

Di Malaysia, sekiranya seseorang individu belum mencapai ulang tahun kelahirannya yang ke-18, dia dianggap sebagai seorang kanak-kanak. — Gambar Hiasan/Agensi

Farah Nini berkata, menurut undang-undang, definisi kanak-kanak adalah mana-mana individu yang berusia di bawah 18 tahun.

"Ini diperuntukkan oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang telah dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations).

"Malaysia telah menjadi negara pihak kepada Konvensyen ini sejak 17 Februari 1995. Tafsiran kanak-kanak di Malaysia juga menggunakan piawaian yang sama dan dikuatkuasakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

"Di Malaysia, sekiranya seseorang individu belum mencapai ulang tahun kelahirannya yang ke-18, dia dianggap sebagai seorang kanak-kanak dan dengan itu, dia layak untuk diberi perlindungan sebagai seorang kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

"Ini merupakan satu cabaran yang getir, kerana pada masa kini, kita berdepan dengan situasi yang mana hal-hal yang dahulunya dianggap tidak normal semakin diterima sebagai perkara biasa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram