[VIDEO] Hezbollah lancar lebih 100 roket, tembusi pertahanan udara Israel


  • Benua
  • Selasa, 24 Sep 2024

Pasukan pejuang Hezbollah melancarkan lebih 100 peluru roket ke kawasan utara Israel. — Agensi

PEPERANGAN kian memuncak selepas pejuang Hezbollah melancarkan lebih 100 roket ke kawasan utara Israel hingga menembusi sistem pertahanan udara Iron Dome.

Tentera Israel mengesahkan serangan roket itu mengenai kawasan awam, sekali gus memberi amaran bahawa perang berskala besar akan berlaku antara rejim Zionis dengan Hezbollah.

Serangan roket itu dilancarkan secara berterusan sejak Sabtu hingga Ahad itu juga menyebabkan beberapa bangunan serta kenderaan di Haifa terbakar.

BACA LAGI: Yemen diserang, pelabuhan penting jadi sasaran

BACA LAGI: Perang Israel-Iran-Hizbullah dijangka meletus seawal Isnin

Tentera Israel turut mendakwa, terdapat serangan roket yang mencapai lebih jauh daripada serangan sebelumnya, menyebabkan lebih 300,000 warga Israel terpaksa mencari tempat perlindungan di Pusat Perlindungan Bom.

Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu pada Ahad berkata, Israel akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk memulihkan keselamatan dan mengembalikan orang ramai ke rumah mereka di sepanjang sempadan Israel-Lubnan, dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Hezbollah, Naim Qassem dalam kenyataan terbaharunya berkata, kumpulannya telah memasuki 'fasa baharu' dalam pertempuran menentang Israel, dengan mengatakan peperangan terbuka sudah pun bermula.

"Kami telah memasuki fasa baharu yang dipanggil Pertempuran Dendam," katanya.

Israel sebelum ini melancarkan serangan ke atas sasaran di selatan Lubnan, yang memusnahkan beribu-ribu pelancar roket Hezbollah.

Jurucakap tentera Israel berkata, sekurang-kurangnya 16 pejuang Hezbollah terbunuh dalam serangan tersebut.

Hezbollah dalam pada itu turut mengesahkan bahawa dua komander tertingginya, Ibrahim Aqil dan Ahmad Mahmoud Wahabi, bersama 12 lagi anggota lain telah terbunuh.

Pada Julai lalu, serangan udara Israel telah membunuh Fuad Shukr, komander tentera tertinggi kumpulan itu.

Serangan roket terbaharu itu dipercayai sebagai respons susulan siri letupan terancang alat telekomunikasi seperti alat kelui dan walkie talkie yang menyebabkan lebih 3,000 rakyat Lubnan cedera termasuk anggota Hezbollah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram