SETIAUSAHA negara Amerika Syarikat, Antony Blinken memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari negara G7 (Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom) bahawa serangan Iran dan tentera Hizbullah terhadap Israel bakal tercetus seawal Isnin.
Walau bagaimanapun, pemimpinnya, Benjamin Netanyahu difahamkan bersetuju untuk melancarkan serangan awal ke atas Iran bagi menghalang sebarang keganasan berlaku ke atas Israel.
Menurut laporan media antarabangsa, agensi perisikan terkemuka Israel, Mossad dan Shin Bet serta ketua masing-masing David Barnea dan Ronen Bar, merupakan sebahagian daripada anggota mesyuarat yang dipanggil Netanyahu, selain turut dihadiri Menteri Pertahanan Yoav Gallant dan Ketua Staf Angkatan Pertahanan, Herzi Halevi.
BACA LAGI: Yemen diserang, pelabuhan penting jadi sasaran
BACA LAGI: Tak mampu tanggung kos sendiri, kakak rayu kerajaan bawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh
Iran pada Sabtu berkata bahawa tentera Lubnan, Hizbullah akan meningkatkan serangan yang lebih dahsyat ke atas wilayah Israel.
Konflik peperangan itu berlaku susulan pembunuhan komander kanan tentera Hizbullah, Fuad Shukr oleh rejim Zionis baru-baru ini.
Terdahulu, pada 30 Julai lalu, tentera Israel dilaporkan melancarkan serangan bom ke kawasan perumahan yang padat penduduk di selatan Beirut, sekali gus mengakibatkan kematian Fuad Shukr dan lima orang awam.
Situasi bertambah rumit apabila pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan maut terbunuh di Tehran, dipercayai angkara Israel walaupun ia belum disahkan oleh pihak terbabit.
Sehubungan itu, kebimbangan masyarakat Iran kini semakin mendadak dengan konflik peperangan tentera Hizbullah dan Zionis semakin memuncak selepas kali terakhir meletus pada 2006 yang menyaksikan Israel mengebom satu-satunya lapangan terbang Lubnan di Beirut.
Situasi tersebut menyebabkan kedutaan India menggesa rakyatnya meninggalkan Lubnan sementara penerbangan komersial masih tersedia.
Sebagai tindak balas terhadap situasi itu, Antony Blinken mengadakan panggilan persidangan dengan menteri luar G7 untuk menyelaraskan usaha diplomatik yang bertujuan meredakan keadaan semasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram