[VIDEO] Tentera Israel serang lebih 1,100 sasaran Hezbollah, angka korban meningkat cecah 500 orang


  • Benua
  • Selasa, 24 Sep 2024

Kepulan asap tebal memenuhi kawasan sempadan Lubnan-Israel berikutan pertempuran semakin sengit pada Isnin. — Agensi

LEBIH daripada 490 rakyat Lubnan dilaporkan terkorban kesan daripada serangan peluru berpandu Israel yang menghentam bahagian selatan negara itu.

Rejim Zionis menyerang bangunan kediaman sekitar selatan Lubnan dengan mendakwa menyasarkan senjata Hezbollah yang tersembunyi dalam kawasan tersebut.

Serangan itu berlaku ketika Israel melancarkan gelombang serangan baharu terhadap kumpulan yang disokong Iran di Lubnan.

BACA LAGI: PBT Sibu diarah pasang lebih banyak lampu jalan elak risiko kemalangan

BACA LAGI: Hampir 500 keterangan diambil dalam siasatan pusat jagaan berkait GISB — KPN

Israel memberi amaran kepada orang awam supaya melarikan diri dari mana-mana bangunan atau kawasan yang dipercayai tersimpannya senjata atau pejuang Hezbollah.

Kementerian kesihatan Lubnan berkata, serangan itu membunuh 492 orang, termasuk 35 kanak-kanak dan 58 wanita, serta mencederakan 1,645 orang.

Menteri Kesihatan, Firas Abiad berkata, sebelum ini, serangan udara Israel memaksa ribuan penduduk melarikan diri dari selatan Lubnan ke arah utara, terutamanya mereka yang berada berhampiran kawasan sempadan.

Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan mereka telah membuka sekolah dan institusi lain bagi menempatkan orang awam akibat serangan udara Israel di selatan negara itu.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Bassam Mawlawi berkata, beliau mengarahkan para gabenor untuk bekerjasama sepenuhnya dengan proses pemindahan besar-besaran dari wilayah selatan.

Tentera Israel pada Isnin mendakwa bahawa mereka menyerang lebih 1,100 sasaran Hezbollah di selatan dan timur Lubnan dalam tempoh 24 jam lepas.

Lebih 1,400 jenis peluru digunakan tentera Israel dalam 650 serangan udara melalui jet pejuang mereka di Lubnan.

Hezbollah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan perang Israel di Gaza, yang kini meragut lebih 41,400 nyawa.

Masyarakat antarabangsa memberi amaran mengenai serangan di Lubnan, yang meningkatkan risiko konflik Gaza untuk merebak ke peringkat serantau.

Pada 23 September 2024, ia menandakan hari paling berdarah dalam pertempuran antara Israel dan Hezbollah sejak 2006.

Jumlah kematian juga melebihi korban letupan pelabuhan Beirut pada 2020 yang membunuh hampir 200 orang, mencederakan ribuan dan memusnahkan seluruh kawasan kejiranan di ibu negara Lubnan.

Sebelum ini, tentera Israel berkata, sekurang-kurangnya 35 lagi roket atau dron ditembak dari Lubnan ke utara Israel, banyak daripadanya jatuh di kawasan terbuka atau dipintas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram