PERKHABARAN mendukacitakan untuk arena sukan permotoran tanah air apabila bekas pelumba negara, Elly Idzlianizar Ilias dilaporkan meninggal dunia di negeri kelahirannya, Perlis pada Rabu.
Berita pemergian Elly Idzlianizar, 40, dimaklumkan oleh adiknya di akaun Facebook yang bernama Elly Idzliaikmal.
"Selamat jalan abang ku #16. Semoga tenang di negeri abadi abang sayangku. Moga ditempatkan di syurga. Tunggu kami di sana abang. Nanti kita jumpa di sana abang," tulis adik lelakinya itu.
BACA LAGI: Penyerang 'free agent' Jordan, peluang ikut jejak langkah Reziq, Rawabdeh?
BACA LAGI: Kem Selangor malang lagi, 3 ubi muda jadi taruhan jika Reziq Bani cedera teruk
Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan sukan permotoran, Allahyarham tidak asing lagi dalam arena tersebut terutama bagi kategori Cub Prix dengan Elly Idzlianizar pernah menjuarai pelbagai perlumbaan bersama pasukan Yamaha, Honda dan Suzuki.
Bukan hanya cemerlang mencipta nama di pentas domestik, Allahyarham juga adalah pelumba yang meraih tiket wildcard beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia di GP Malaysia dalam kategori 125 cc pada 2009 bersama satu lagi pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.
Minatnya terhadap sukan permotoran pula disambung lagi apabila Allayarham dipanggil menjadi pengacara untuk Malaysia Cub Prix pada 2018 iaitu kira-kira setahun selepas Elly Idzlianizar mengumumkan persaraannya.
Untuk rekod, Allahyarham mengambil keputusan untuk bersara dari litar perlumbaan pada 2017 kerana ingin memberi tumpuan terhadap perniagaan di kampung halamanya dekat Kangar, Perlis.
Kisah perjalanan karier Allahyarham juga boleh ditelusuri menerusi buku autobiografinya yang bertajuk 'Evolusi Elly: Daripada rempit kepada juara' yang diterbitkan pada 2010. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,