[VIDEO] Kehebatan Nabi Sulaiman ada 100 isteri tidak kurangkan kehormatannya sebagai Utusan ALLAH


  • Mukmin
  • Isnin, 23 Sep 2024

Tak ucap InsyaALLAH, isteri Nabi Sulaiman melahirkan anak tidak sempurna. — Gambar hiasan/Reuters

JIKA sebut mengenai berkahwin empat, pasti rata-rata akan berasa 'triggered' mengenai isu sensitif itu terutamanya kaum wanita.

Apa yang kita tahu dalam Islam lelaki hanya dibolehkan untuk berkahwin empat.

Sekiranya kita menyelami kisah pada zaman para nabi, terdapat satu kisah yang berkemungkinan masih ramai lagi yang belum tahu mengenai Nabi Sulaiman AS yang dikatakan mempunyai isteri hampir 1,000 orang.

BACA LAGI: Islam tak ajar rotan anak berlebihan, hanya terhad kepada pelanggaran solat sahaja — Suhakam

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sah solat baca al-Fatihah sekadar angin atau dalam hati, cuma jangan sampai ganggu makmum sebelah

Namun, adakah benar kesahihan cerita tersebut? Malah, ada pandangan ulama berbeza yang menyatakan isteri Nabi Sulaiman sebenarnya cuma 100 orang, bukannya 1,000 wanita.

Memetik perkongsian dari Yufid.TV, menjelaskan Nabi Sulaiman AS dikenali dengan memiliki 100 isteri dan terdapat hikmah disebalik jumlah tersebut.

"Dalam beberapa hadis sahih, termasuk yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW menyampaikan bahawa Sulaiman bin Daud berkata, "Saya akan menggilir 100 isteri malam ini dan masing-masing akan melahirkan anak lelaki yang akan berjihad di jalan ALLAH.

"Nabi Sulaiman AS, ketika berusaha untuk memiliki anak dari kesemua isterinya, tidak mengucapkan InsyaALLAH yang menunjukkan kebergantungan kepada kehendak ALLAH.

"Akibatnya, dari semua isterinya, hanya seorang sahaja yang melahirkan dan anak yang lahir itu tidak sempurna," katanya.

Berdasarkan video berkenaan, dapat difahamkan bahawa perkara tersebut mencerminkan pentingnya berserah kepada ALLAH dalam segala usaha.

Menurut Yufid.TV, terdapat dalam riwayat lain ada menyebut bahawa Nabi Sulaiman AS 'menggilir' sembilan atau tujuh isterinya.

"Al-Hafidh Ibn Hajar menjelaskan bahawa perbezaan jumlah ini tidak saling bertentangan tetapi mungkin penyebutan angka tersebut digunakan dalam konteks tertentu seperti pengenapan.

"Hikmah di sebalik jumlah isteri Nabi Sulaiman AS menunjukkan bahawa ALLAH memberikan kelebihan kepada hamba-Nya sesuai dengan kehendak-Nya.

"Ada yang diberikan kerajaan yang besar, harta yang melimpah dan kenikmatan sesuai dengan kebijaksanaan-Nya.

"ALLAH berfirman dalam al-Quran, 'Itulah kurniaan yang ALLAH berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.' (Al-Jumu'ah, 4).

"Kelebihan Nabi Sulaiman AS termasuk kekuasaan atas jin dan binatang, kemampuan mengendalikan angin serta kekuasaan yang sangat luas.

"ALLAH berfirman, 'Dan kami tundukkan kepada-Nya angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana saja yang dikehendakinya, serta setan-setan, semuanya ahli bangunan dan penyelam.' (Surah Sa'd, 35-38).

"Kekuatan Nabi Sulaiman dalam memiliki banyak isteri tidak mengurangi kehormatannya sebagai nabi.

"Dengan semangat yang tinggi, beliau berharap memiliki seratus anak lelaki untuk menjadi pasukan yang berjihad di jalan ALLAH.

"Ini adalah cabaran bagi orang-orang kafir menunjukkan bahawa kekuasaan terhebat diberikan kepada seorang mukmin," katanya.

017929800_1712491329-umar-ben-a-OQDpaoM0A-unsplash

Terdapat pelbagai pandangan ulama dalam menentukan jumlah isteri Nabi Sulaiman. — Gambar hiasan/Liputan6

Dalam pada itu, memetik penulisan zulkiflialbakri oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada menyatakan sebenarnya bilangan terbanyak isteri Nabi Sulaiman AS yang dinyatakan dalam hadis sahih adalah seramai 100 wanita.

Katanya, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah:

قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ: لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ بِمِائَةِ امْرَأَةٍ. تَلِدُ كُلُّ امْرَأَةٍ غُلاَمًا يُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ. فَقَالَ لَهُ الـمَلَكُ: قُلْ إِنْ شَاءَ اللَّهُ. فَلَمْ يَقُلْ وَنَسِيَ. فَأَطَافَ بِهِنَّ، وَلَمْ تَلِدْ مِنْهُنَّ إِلَّا امْرَأَةٌ نِصْفَ إِنْسَانٍ. قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ قَالَ: إِنْ شَاءَ اللَّهُ، لَمْ يَحْنَثْ، وَكَانَ أَرْجَى لِحَاجَتِهِ

Maksudnya: “Nabi Sulaiman bin Dawud A.S berkata: ‘Sesungguhnya malam ini aku akan mengelillingi seratus orang isteriku. Setiap wanita akan melahirkan anak yang berperang di jalan ALLAH.’ Malaikat berkata kepadanya: Katakanlah: ‘InsyaALLAH (jika ALLAH menghendaki).’ Namun Baginda tidak mengucapkannya dan terlupa. Lalu Baginda mengelilingi wanita-wanita itu dan tiada seorang pun daripada mereka yang melahirkan (anak) kecuali seorang wanita melahirkan separuh manusia. Nabi SAW bersabda: ‘Sekiranya Baginda mengucapkan insyaALLAH, pasti Baginda tidak akan membatalkan sumpahnya, dan hajatnya itu pasti akan terkabul." Riwayat al-Bukhari (5242)

Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menyebut Nabi Sulaiman mempunyai 90 wanita.

"Dalam riwayat lain oleh Imam al-Bukhari, ada yang menyatakan 70 wanita sementara yang lain menyebut 99 wanita.

"Al-Hafiz Ibn Kathir menukilkan dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah (2/29) bahawa ulama salaf menyatakan beliau mempunyai 1,000 wanita, dengan 700 sebagai isteri dan 300 sebagai hamba, meskipun ada pandangan berbeza mengenai pembahagian tersebut," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram