[VIDEO] 'Siapa tumbuk saya punya adik', lelaki mengamuk acu parang tengah jalan di Kuala Langat kena tahan polis


  • Tular
  • Ahad, 22 Sep 2024

Tangkap layar seorang lelaki bersenjata parang mencetuskan kekecohan di sebuah jalan raya dekat Sijangkang, Kuala Langat pada Sabtu.

KECOH apabila seorang lelaki bertindak mengacu senjata parang di sebuah jalan raya, dipercayai akibat pergaduhan di Sijangkang, Kuala Langat, Selangor pada Sabtu.

Mendakwa adiknya ditumbuk salah seorang individu di situ, lelaki berbaju putih dan berseluar hitam itu kemudiannya mencabar pelaku untuk tampil dan bersemuka dengannya.

Individu berkenaan cuba ditenangkan beberapa pemandu namun gagal dikawal apabila dia terus menjerit dan mengacu parang ke arah orang ramai.

BACA LAGI: [VIDEO] Bengang disuruh diam, lelaki hayun parang depan kedai burger kena cekup di Kuala Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak

Insiden itu sempat dirakamkan dan meraih perkongsian ramai di laman sosial sejak Ahad.

Dalam pada itu, individu terbabit dikatakan telah ditahan polis selepas menerima laporan daripada orang ramai.

Tiada kecederaan difahamkan berlaku dalam kejadian tersebut dan situasi cemas itu berjaya dikawal pihak berkuasa yang tiba beberapa jam selepas kejadian.

Di ruangan komen, rata-ratanya mempertikaikan tindakan individu terbabit yang dikatakan menyalahi undang-undang kerana menyimpan senjata tajam dalam kereta.

"Bukan ke dah tak boleh dan tidak dibenarkan menyimpan senjata tajam dalam kereta, ini dia siap ada parang lagi apa cerita," kata Ghazali Khidin.

"Kalau tak ada parang boleh bincang kan, kenapa mesti ada senjata tajam dan macam mana boleh simpan dalam kereta, itu je dah satu kesalahan," ujar Hamid.

"Rasanya polis memang larang pemandu simpan senjata berbahaya dalam kereta, kalau ye pun adik kena tumbuk ke apa, tak perlu mengamuk tak tentu pasal tengah jalan macam itu, sudahnya ke lokap nanti," tambah Mohd Bukhari.

Namun, belum ada kenyataan polis berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai diminta tidak mencetuskan sebarang provokasi di laman sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram