[VIDEO] Bengang disuruh diam, lelaki hayun parang depan kedai burger kena cekup di Kuala Selangor


  • 112
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Tangkap layar seorang lelaki bertindak ganas menghayun parang di sebuah premis dekat pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Rabu.

SEORANG lelaki ditahan polis selepas didakwa mengamuk menggunakan senjata parang di sebuah premis niaga dekat pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor pada Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.50 malam itu membabitkan suspek berusia 44 tahun yang dipercayai mabuk dan berang ditegur kerana membuat bising di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan suspek di sebuah gerai burger berhadapan kedai dobi layan diri.

Jelas beliau, kekecohan itu berlaku selepas suspek ditegur seorang lelaki yang meminta supaya memperlahankan suaranya yang bising.

"Akibat tidak berpuas hati dengan teguran itu, suspek kemudian mengambil parang di dalam keretanya dan mengejar sambil menghayun parang ke arah pengadu.

"Pengadu bagaimanapun berjaya melarikan diri dan suspek bertindak menghayun parang ke atas tempat duduk sebuah sehingga terkoyak," katanya pada Sabtu.

Tambah Ramli, polis yang tiba di lokasi kejadian segera menahan suspek bagi membantu siasatan.

"Kita turut merampas senjata yang digunakan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 24 saat memaparkan seorang lelaki bertindak mengacu parang kepada pembeli dan peniaga di sebuah gerai burger sejak Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram