SEORANG lelaki dipercayai warga Rohingya dirakam memecah masuk sebuah kediaman di Kampung Changkat Putra, Gombak, Selangor pada Selasa.
Kejadian berlaku apabila pelaku terlebih dahulu dirakam menunggang motosikal sebelum bertindak menyerbu masuk dan melarikan beberapa barang kemas dan konsol permainan video Sony Playstation 4.
Tidak dihentikan sesiapa, insiden itu dipercayai berlaku ketika tuan rumah keluar bekerja, namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakamkan kegiatan tersebut.
Meraih perkongsian ramai di laman media, penghuni rumah berkenaan menggesa agar sesiapa yang mengesan identiti ataupun aktiviti jual beli yang mencurigakan segera melaporkan hal itu ke balai polis berhampiran.
BACA LAGI: [VIDEO] Warga Rohingya ditahan cabul pelajar di pasar raya
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura salah rumah, pasangan Rohingya tersengih kena sergah 'owner' di Seremban
"Kalau ada yang dicurigai menjual barang dengan harga murah seperti gelang emas dan PS4, sila laporkan ke balai polis segera," ciapnya di laman media pada Selasa.
Warganet di ruangan komen rata-ratanya mendakwa perbuatan itu merupakan angkara warga Rohingya kerana kawasan terbabit semakin dipenuhi golongan pendatang.
"Sini memang banyak Rohingya, daripada gaya dan warna kulit memang jelas nampak itu bukan orang tempatan, bahaya kalau dibiarkan," dakwa Hazim Fuad.
"Kalau dapat ni pegang dulu buat apa yang patut, dah selesai baru hantar polis, melampau sangat dah golongan pendatang tak hormat kita," ujar Ikmal Hakimi.
"Ni mesti dia dah lama sasarkan rumah itu, boleh tahu tuan rumah tak ada rumah keluar bercuti lama, kalau tak mustahil dia boleh merompak siang hari, siap masuk ikut pintu depan lagi," tambah Matcho Genji.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pengadu mendakwa telah meninggalkan rumah pukul 8 pagi dalam keadaan berkunci.
"Pengadu tiba di rumah pada pukul 6.30 petang dan mendapati pintu jeriji dalam keadaan terbuka.
"Terdapat juga kesan umpil dan rumah dalam keadaan berselerak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati wang tunai dan barang kemas telah hilang dengan anggaran kerugian bernilai RM5,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram