JARI-jemari Helen Manjan Atong tangkas menenun selembar benang sehingga terhasilnya sehelai kain yang menjadi kebanggaan dan identiti masyarakat Iban.
Kain yang panjangnya mencapai 2 1/2 meter dan lebar hampir 1 1/2 meter itu dipanggil kain pua atau pua kumbu. Ia merupakan warisan budaya kaum Iban yang membentuk populasi terbesar di Bumi Kenyalang.
Sambil Helen, 63, leka menenun, mulutnya becok bercerita mengenai asal usul pembuatan pua kumbu yang dimulakan proses tenun ikat. “Pembuatan tenun ikat dilakukan melalui teknik menenun apabila pola kain dibuat dengan mengikat benang pada benang penahan celup.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
“Benang yang diikat itu kemudian dicelup berkali-kali untuk memperoleh pola yang diingini,” ceritanya kepada Majoriti.
Namun di sebalik proses itu, Helen turut berkongsi mengenai Ritual Ngar iaitu ucapara khusus yang dijalankan pada awal proses pembuatan pua kumbu. Generasi ketiga daripada keturunan Jebau itu berkata, dirinya merupakan antara yang telah beberapa kali menyertai dan mengetuai Ritual Ngar dalam masyarakat Iban.
Benang kapas perlu ‘dimandikan’ di Sungai Kain, Kapit, Sarawak sewaktu matahari terbenam. — Facebook/ Ben Foo
Mimpi
Wanita yang berasal dari Kapit, Sarawak itu menggalas tanggungjawab besar untuk memimpin proses Ngar dan memastikan ia dijalankan mengikut prosedur yang betul.
Ngar ialah ritual khas untuk wanita Iban, tetapi tidak semua wanita berpeluang melakukan upacara berkenaan.
Kecuali dia didatangi roh nenek moyang atau dewa-dewi dalam mimpi yang mengarahkan mereka untuk melaksanakan ritual tersebut.
“Dahulu, dewa akan muncul dalam mimpi wanita Iban untuk mengajar mereka seni tenun bermotif.
“Kerja-kerja ini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa mendapat arahan daripada mana-mana kuasa luar biasa tersebut.
“Sekiranya seorang wanita Iban mengepalai upacara tanpa memperoleh arahan dalam mimpi terlebih dahulu, ia mendatangkan risiko yang boleh mengakibatkan kematian,” katanya.
Menurut Helen, upacara yang melibatkan sebahagian besar wanita dalam masyarakat Iban itu meliputi beberapa peringkat.
Jelas bekas guru di sebuah sekolah menengah itu, kebiasaannya ia dilakukan dalam tempoh kira-kira satu minggu bergantung pada hasil celupan benang.
Sorang wanita Iban yang mengepalai upacara perlu memperoleh arahan dalam mimpi terlebih dahulu. — Facebook/ Ben Foo
Jika Helen terkenal dengan kemahiran tenunan pua kumbu, lain pula kisahnya dengan Crisna Mojupi. Pakar kraf tangan berasal dari Kudat, Sabah berusia 54 tahun itu antara figura yang dikenali dengan kepakarannya dalam menjahit sulaman pis.
Sulaman pis dikenali sebagai kain tinohian dalam kalangan masyarakat Rungus. Ia adalah sejenis kain berukuran satu meter persegi yang bahagian depan dan belakangnya disulam dengan motif flora dan fauna berwarna-warni.
Menurut Crisna, kain sulaman tersebut dibuat menggunakan kain kapas dengan latar belakang berwarna hitam dan oren atau hitam dan merah.
“Selepas dilipat dengan teknik tertentu, kain ini kebiasaannya digunakan sebagai penutup kepala masyarakat lelaki suku kaum Rungus,” ujar ibu kepada empat cahaya mata itu.
Mula meminati cabang seni ini sejak berusia sekitar lapan tahun, Crisna pada awalnya hanya mempelajari kemahiran tersebut setelah melihat ibu dan neneknya menjahit rekaan rumit menggunakan jarum serta benang.
Dek kerana cintanya terhadap seni ini, beliau sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya setiap hari demi memastikan teknik yang dipelajari dapat dikuasai sehabis baik.
“Saya mula berlatih menjahit di bawah pengawasan nenek. Semakin banyak kemahiran dipelajari, saya mula bereksperimen dengan variasi motif dan warna yang berbeza,” tambah penerima anugerah berprestij Adiguru Kraf Sulaman Pis 2022 daripada Kraftangan Malaysia itu.
Crisna sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya setiap hari demi memastikan teknik yang dipelajari dapat dikuasai sehabis baik.
Pendeta
Tidak terhad kepada tekstil, seni warisan Borneo turut meliputi aksesori seperti rantai yang menjadi pelengkap kepada pakaian tradisional. Etnik Bidayuh di Sarawak misalnya memiliki keunikan tersendiri menerusi pembikinan rantai manik daripada buah dalai.
Sementara itu, artisan Sarawak, Lucille Awen Jon, 39, berkata, perubahan penggunaan manik pada rantai tersebut kini dimodenkan menerusi penggunaan bahan kontemporari seperti kaca bingkai bagi memberikan kesesuaian kepada pemakai.
Lucille berkecimpung dalam bidang pembuatan rantai manik tradisional selama 10 tahun dengan pembelajaran membuat rantai manik Bidayuh itu diperturunkan daripada nenek dan ibunya sejak berumur enam tahun.
“Selepas kedatangan pedagang dari Eropah, Arab dan China pada tahun 1400-an, perubahan sedikit demi sedikit berlaku. Kini, manik pun sudah boleh dibuat menggunakan mesin dan kebanyakan manik saya diperbuat daripada tanah liat Sarawak,” katanya.
Lucille mampu menghasilkan seutas rantai manik Bidayuh dalam tempoh enam ke lapan jam.
Lucille mampu menghasilkan seutas rantai manik Bidayuh dalam tempoh enam ke lapan jam. Namun dia juga mengatakan tempoh tersebut adalah disebabkan tahap kemahirannya yang sudah lama.
“Bagi kategori permulaan, selalunya akan ambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kesukaran reka bentuk rantai tersebut,” jelasnya.
Di sebalik pembuatan rantai Bidayuh, ada kisahnya tersendiri. Rantai ini pada asalnya dicipta dan hanya boleh dipakai oleh golongan pendeta atau dayang-dayang pendeta bersama baju tradisi.
Bersyair
Menjadi pantang larang besar jika ia dipakai oleh orang biasa. Ini kerana pemakaian tersebut bertujuan untuk melaksanakan ritual bagi menyembuhkan orang sakit atau membuang roh jahat.
“Kanak-kanak pun tidak boleh menyentuhnya sebab rantai itu penuh dengan kerohanian dan ada semangat dalamnya,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Lucille memberitahu, dalam kalangan golongan pendeta, rantai tersebut tidak boleh dipakai sembarangan. Pemakai perlu mendapat petunjuk mimpi yang mengatakan seseorang itu sudah dilantik sebagai pendeta dan boleh memulakan ritual.
Sungguhpun begitu, individu yang mendapat mimpi dan terpilih itu perlu memulakan beberapa langkah sebelum menjadi pendeta yang sebenar.
Lucille berkata, perubahan penggunaan manik pada rantai tersebut kini dimodenkan menerusi penggunaan bahan kontemporari
“Mereka yang terpilih perlu berlatih untuk bersyair. Sehingga satu tahap sudah mahir, barulah boleh ikut ajaran ritual sebenar, itu pun sebagai pengikut dahulu bukan ketua ritual,” ujarnya.
Sementara itu, dalam arus kemodenan yang dikecapi ketika ini, Lucille turut berkongsi alasan seni warisan tradisi ini hampir pupus dan ditinggalkan.
“Antara sebab mengapa ramai yang tinggalkan kepercayaan ini kerana unsur spiritual yang tinggi bertentangan dengan ajaran agama yang mereka anuti,” kongsinya.
Dari kiri: Lucille, Crisna dan Helen bergambar bersama kain Pua Kumbu sewaktu menyertai program Immersive Knowledge And Textile (IKAT 2.0) yang diadakan di The Godown Arts Centre, Kuala Lumpur, pada Januari tahun ini.
Pua Kumbu
- Benang kapas ‘dimandikan’ di Sungai Kain, Kapit, Sarawak sewaktu matahari terbenam.
- Benang dibilas dan rendam semalaman dengan air halia di atas dulang yang besar.
- Gantung dan tos benang keesokan hari.
- Melalui proses nakar (menyukat bahan mentah), benang direndam bersama campuran air halia berserta bahan utama iaitu minyak buah kepayang, garam apung dan lengkuas yang dicincang serta ditumbuk halus.
- Wanita Iban perlu mandi di sungai untuk membuang sifat negatif dalam diri sebelum mula menenun.
Manik Rungus
- Motif tradisional seperti tinonggiling (sisik temu), kinorinipon (gigi) dan tinabid sulug (ikan) dilukis pada kain kapas.
- Bahagian paling sukar ialah memastikan kekemasan setiap jahitan.
- Bahan sulaman pis berkembang menjadi selendang, beg tangan dan barang hiasan dinding.
Manik Buah Dalai
- Buah dalai yang digunakan untuk dijadikan manik lebih tulen kerana melalui proses tersendiri.
- Di Sarawak, terdapat komuniti tempatan yang menanam sendiri buah dalai untuk dijadikan sebagai sumber bahan mentah manik.
- Manik buah dalai lebih mahal kerana selain sumbernya asli, ia tidak merosakkan baju bahkan rantainya mampu bertahan sehingga 10 tahun.
- Harga seutas rantai manik buah dalai bermula dari RM250 dan mampu mencecah lebih RM1,000 (bergantung kepada reka bentuk dan saiz). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram