BERASAL dari Kota Kinabalu, Sabah, milliner (pereka dan pembuat topi) ini berhijrah ke Kuala Lumpur seawal usia 18 tahun dan memulakan kariernya dalam bidang pemasaran.
Sehinggalah menginjak ke usia pertengahan 30-an, bekas Pengurus Pembangunan Perniagaan Tekstil untuk Pasaraya Carrefour itu memutuskan untuk mengubah haluan kerjaya.
Ingin keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu. Itu pendekatan yang perlu diambil Bremen Wong, bisik hati kecilnya detik itu.
BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa
Hasil karya sentuhan Bremen, Fungus dan Mao Mao terhadap aktres, Fazura sempena sebuah kempen kecantikan. — Instagram/bremenwong_millinery
"Jadi saya berhenti kerja dan mula menjual pengikat kepala DIY (do-it-yourself), klip rambut, pakaian dan aksesori di bazar dan pasar lambak sekitar Kuala Lumpur.
"Perniagaan pakaian yang saya ceburi tidak begitu memberangsangkan sebaliknya hiasan kepala yang saya hasilkan mendapat perhatian luar biasa.
"Biarpun pendapatan saya daripada hasil jualan itu tidak begitu stabil tetapi, inilah minat saya. Ya, minat saya yang sangat mendalam!” ujarnya membuka bicara.
Ikuti wawancara bersama Bremen, milliner kreatif dengan adicipta yang mengagumkan!
Bremen berkata, dunia seorang milliner kaya dengan ilham yang cukup fantastik. — Instagram/bremenwong_millinery
Mengapa memilih mereka hiasan kepala?
Saya seorang pembuat topi dengan karya penuh berdikari. Saya menyukainya kerana dunia seorang milliner kaya dengan ilham yang cukup fantastik. Kaya dengan teknik dan helah dalam penggunaan material yang berkemungkinan dalam menghasilkan topi.
Milliner profesional berkebolehan menghasilkan karya dengan apa jua termasuklah kemeja, aksesori, anting-anting dan juga selendang untuk lelaki dan wanita. Rekaan saya bukan sekadar fesyen malah, boleh dijadikan hiasan kediaman juga.
Anak kelahiran Kota Kinabalu ini mengubah haluan daripada kerjaya dalam bidang pemasaran ke pereka dan pembuat topi.
Siapa sumber inspirasi anda dan mengapa?
Selalunya saya mendapat ilham daripada trend dan fesyen semasa. Jujur, saya melakarkan inspirasi dan kreativiti berdasarkan pengalaman peribadi dan apa yang berlaku di sekeliling.
Ada juga disuntik dengan elemen politik, yang menzahirkan sayang yang kuat kepada negara saya, Malaysia. Rasa itu semakin menebal sehinggakan apa sahaja isu mengenai Malaysia cukup mudah menyentuh perasaan ini.
Saya juga gemar membaca dan mendengar kisah-kisah kehidupan di sekitar saya dan menjadikan ia sebagai manifesto kepada karya. Pengalaman bersama orang baik dan sebaliknya, semua itu membentuk siapa saya pada hari ini.
Rumusannya, inspirasi saya berdasarkan pengalaman masa lalu, masa mendatang dan pandangan serta perasaan tentang kehidupan secara amnya.
Ingatkah lagi hiasan kepala pertama yang anda hasilkan? Ia diperbuat daripada material apa dan untuk siapa ia dihasilkan?
Karya hiasan kepala pertama saya hasilkan untuk majlis Mercedes-Benz Stylo International Grand Prix 2009 dan pada masa sama, saya diundang untuk mempersembahkan karya berkenaan.
Ia diperbuat daripada pinggan stirofoam dan saya membentuk lima abjad ejaan STYLO untuk digayakan oleh peragawati ketika majlis sidang akhbar.
Bremen menghasilkan karya mahkota untuk ahli perniagaan kosmetik, Datuk Seri Vida. — Instagram/bremenwong_millinery
Apakah cabaran sebenar sebagai pereka aksesori hiasan kepala?
Modal dan wang! Tujuh tahun lalu, saya hampir berputus asa. Tetapi Tuhan kurniakan kita dengan perkara tidak terjangka. Ketika itu, saya kehabisan wang simpanan dan ia membuatkan saya bertanya pada diri, bagaimana mahu meneruskan hidup?
Tak disangka-sangka, seorang pereka fesyen menempah pesanan dan saya juga mendapat komisen dari luar negara. Sokongan daripada keluarga juga cukup kuat untuk diri ini bertahan.
Saya tidak mengharapkan imbalan yang lebih asalkan dapat meneruskan minat saya, itu sudah memadai dan membuatkan saya puas. Impian saya hanya kecil tetapi pencapaian saya agak membanggakan!
The Peacock Throne dipakai oleh pelakon dan model, Thanuja Ananthan untuk sebuah acara di ibu kota pada tahun 2014. — Instagram/bremenwong_millinery
Selain hiasan kepala dan aksesori telinga, aksesori apa lagi yang ingin anda hasilkan pada masa depan?
Tahun ini saya dalam persediaan mengeluarkan produk terbaru yang mana ke arah seni hiasan dinding dan arca badan. Sekarang, saya bertugas sebagai Penasihat di jenama pakaian Private Stich dan juga pensyarah undangan mengajar pelajar tahun akhir di Malaysia Institute Of Arts.
Saya ingin menyambung pengajian saya dalam ijazah pemasaran fesyen. Banyak lagi impian saya tetapi saya juga tidak lupa merancang masa depan supaya boleh bersara dengan tenang kelak. Mengapa? Sebab hidup adalah proses pembelajaran yang tidak pernah berpenghujung.
Bangun dan jatuh, ambil iktibar dan pengajaran penting sepanjang kehidupan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram