Makin popular gara-gara tak kenal Bill Gates, Dolly Chaiwala kini kenakan caj mahal setiap kali jadi jemputan


  • Bizz
  • Selasa, 17 Sep 2024

Gates dipercayai singgah menikmati teh susu Dolly sewaktu hadir ke majlis praperkahwinan anak orang terkaya Asia yang diadakan selama tiga hari di India.

NAMA Dolly Chaiwala menjadi sensasi di internet pada awal tahun ini selepas penjual teh susu di tepi jalan itu berkesempatan menyajikan minuman hangat itu kepada pengasas bersama Microsoft, Bill Gates.

Pertemuan tidak dijangka itu menjadikan penjual teh dari Nagpur, India kini seorang selebriti media sosial.

Insiden berkenaan lebih mencuit hati warga maya apabila Gates kelihatan lebih teruja bertemu dengan Dolly, berbanding peniaga itu yang mengakui sama sekali tidak mengenali individu kelima terkaya di dunia itu.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Pantai Timur ke benua Eropah, seni seramik raku anak kelahiran Kuala Kangsar tembusi pasaran global

Yang Dolly tahu, ada seorang lelaki berbangsa Inggeris membeli teh susu buatannya.

“Sejujurnya saya tidak tahu siapa Bill Gates. Saya fikir dia hanya lelaki Inggeris atau pelancong dari luar negeri.

“Saya pun menyajikan teh susu kepadanya seperti biasa. Keesokan harinya, selepas kembali ke Nagpur, baru saya tahu lelaki berkenaan ialah Bill Gates,” kata Dolly memetik laporan Storypick.

Gates yang sempat bergambar bersama Dolly turut memuji peniaga kecil dengan gaya penampilan yang lain daripada lain itu.

“Inilah India, anda boleh menemukan inovasi di mana saja, termasuk ketika persiapan menyiapkan secangkir teh sederhana," tutur Gates.

Gates dipercayai singgah menikmati teh susu Dolly sewaktu hadir ke majlis praperkahwinan anak orang terkaya Asia yang diadakan selama tiga hari di India.

Dolly Chaiwala3

Dolly Chaiwala menjadi sensasi di internet pada awal tahun ini.

Sejak kejadian itu tular di kebanyakan negara, permintaan terhadap jualannya menunjukkan peningkatan luar biasa.

Populariti yang diraih membolehkan Dolly kini memperoleh sumber pendapatan lumayan dengan hanya menghadiri jemputan di acara tertentu.

Pendekatan uniknya dalam menjual teh dan personalitinya yang menarik menjadikannya semakin banyak pihak berhasrat untuk menjemputnya sebagai tetamu dalam program bual bicara termasuk acara-acara lain.

Baru-baru ini, seorang vlogger makanan, AK Food Vlog, menerusi platform media sosial Instagramnya turut berkongsi pengalaman menjemput Dolly ke sebuah acara di Kuwait.

Vlogger tersebut mendedahkan bahawa pengurus Dolly telah meminta bayaran sebanyak Rs 5 lakh (lebih RM2,500) sehari serta penginapan di hotel empat atau lima bintang sebagai syarat menghadiri acara tersebut.

Vlogger itu menyatakan rasa terkejutnya terhadap permintaan tersebut, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan warga maya mengenai kemasyhuran Dolly yang semakin meningkat dan bayaran yang dikenakan pihaknya.

Dolly Chaiwala - 4

Populariti yang diraih membolehkan Dolly kini memperoleh sumber pendapatan lumayan.

Rata-rata pengguna media sosial memberikan pandangan berbeza tentang status selebriti yang kini dimiliki susuk bernama Dolly Chaiwala ini.

Beberapa individu berpendapat bahawa usahawan itu layak menerima setiap sen yang dimintanya kerana banyak pihak ketika ini yang cuba memanfaatkan kehadiran lelaki itu sebagai kandungan di laman sosial mereka.

"Semua orang sedang memperguna dan menghasilkan video daripadanya, mereka semua memperoleh pendapatan. Jadi apa salahnya jika dia (Dolly) mengambil bahagiannya juga?" tulisnya.

Dalam pada itu, ada juga yang mengatakan bahawa sekiranya pihak penganjur tidak mampu menawarkan bayaran untuk menjemput selebriti tertentu, maka tidak perlu mengundangnya.

Sebahagian pengguna pula menyifatkan vlogger berkenaan seolah-olah memandang rendah pada latar belakang Dolly yang berasal dari keluarga India yang serba sederhana.

"Dia fikir kerana Dolly berasal dari India, dia boleh mengeksploitasinya.

"Meminta hotel empat hingga lima bintang bukanlah satu permintaan, ia adalah adab asas apabila anda menjemput seseorang dari negara mereka," kata seorang pengguna lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram