MINAT mendalam terhadap dunia perniagaan menjadikan Nur Khalida Ramlan, 38, tidak jemu bereksperimentasi dengan segala macam produk.
Tidak hairanlah anak kelahiran Jitra, Kedah ini dikenali sebagai wanita kuat semangat yang berkebolehan menjana pendapatan sendiri.
Bercerita tentang persepsi itu, Nur Khalida mengakui dirinya memang tidak gemar duduk diam, ada sahaja bisnes yang hendak dicubanya.
"Orang memang kenal saya suka berjual, suka buat duit dan tak reti duduk diam. Bak kata orang, asal barang jadi duit.
"Selain merealisasikan minat terhadap bisnes, berniaga juga membantu saya menambah pendapatan sampingan," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Selepas menjalankan beberapa jenis perniagaan sebelum ini, Nur Khalida kini memutuskan untuk memberi fokus kepada jualan taco yang diusahakan bersama rakan kongsinya, sejak Januari 2024.
Berkongsi faktor mendorong mereka memilih taco sebagai menu jualan, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, hidangan tradisi masyarakat Mexico itu agak jarang dijual di Alor Setar.
Selain keinginan untuk memperkenalkan sesuatu yang unik kepada masyarakat setempat, usahawan itu juga melihat menu tersebut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
Malah, mereka juga yakin bahawa sajian terdiri daripada tortilla diisi pelbagai inti seperti ayam, daging, sayuran dan keju yang dilipat itu juga sesuai untuk pelbagai peringkat umur.
Sajian terdiri daripada tortilla diisi pelbagai inti seperti ayam, daging, sayuran dan keju yang dilipat itu juga sesuai untuk pelbagai peringkat umur.
"Kisah bermula pada tahun 2023 apabila saya membeli taco yang dijual seorang peniaga di Alor Setar.
"Selepas menikmati makanan tersebut, terdetik di hati untuk menjualnya. Bukan sahaja sedap, malah saya berpendapat ia boleh diterima pelanggan di pelbagai peringkat umur.
"Kami juga menjualnya menggunakan resipi tidak pedas, yakni menepati cita rasa majoriti rakyat Malaysia dengan harga mampu beli.
"Jadi bermula dari situlah saya dan rakan berniaga taco dengan menyewa tapak penjaja di Jalan Pegawai, Alor Setar," kongsi lulusan Diploma dalam jurusan perbankan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis itu.
Bertugas sebagai kerani kanan pentadbiran di sebuah syarikat bekalan air di Kedah, tidak mudah untuk wanita itu membahagikan masanya.
Kekangan dari segi masa menjadi antara cabaran yang perlu ditempuhinya bagi memastikan perniagaan taco di bawah jenama J.P Street Tacos, dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
J.P Street Tacos sudah menyertai lebih 10 program yang dianjukran pelbagai pihak sejak Julai lalu.
"Saya bekerja secara sepenuh masa, jadi waktu berniaga hanya dihadkan pada malam hujung minggu sahaja.
"Bermula Julai lalu, kita dah mula berniaga dalam program anjuran pelbagai pihak dan sehingga kini sudah lebih 10 program yang kami sertai.
"Jadi kesibukan itu semakin bertambah. Jadi kami terpaksa berkorban dari segi masa. Berehat pun terpaksa dikurangkan sekarang.
"Namun bagi saya, ini adalah pengorbanan untuk merealisasikan minat dalam bisnes. Jangan ditanya soal penat," katanya sambil ketawa.
Biarpun baru setahun jagung, Nur Khalida amat berharap agar bisnes taco yang dijalankan bersama rakannya dapat berkembang maju.
Usahawan wanita itu memahami bahawa perjalanan sebagai usahawan bukanlah mudah, terutama dalam tempoh awal yang penuh dengan cabaran dan ketidakpastian.
Namun, dengan kesungguhan dan usaha berterusan, dirinya yakin bahawa setiap langkah kecil akan membawa bisnes mereka ke tahap yang lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram