JIKA kebanyakan usahawan terpaksa gulung tikar ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 kira-kira empat tahun lalu, lain pula ceritanya buat pengeluar makanan sejuk beku, Akmal Food Global Sdn Bhd (AFGSB).
Pengarah Urusannya, Khairiah Abdul Kadir, 44, ketika ditemui berkongsi pengalamannya membangunkan syarikat, selepas mengambil alih perusahaan tersebut daripada pemilik lama, pada Disember 2019.
Bermula sebagai stokis pada tahun 2014, ibu kepada lima cahaya mata itu sama sekali tidak menyangka dirinya kini menggalas tanggungjawab untuk mengemudi syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2010 itu.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
"Pengasas sebelum ini maklumkan dia mahu menjual syarikat ini kepada saya kerana dirinya ingin berkecimpung dalam bisnes lain.
"Pada awalnya memang saya agak takut, bimbang tidak mampu menanggung amanah sebagai pemimpin, namun memikirkan saya juga sudah mulai sayang akan produk ini dan respons yang diberikan pelanggan semuanya positif.
"Pada masa sama, saya juga melihat makanan sejuk beku ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk dikembangkan," katanya kepada Majoriti.
Selepas perbincangan dibuat bersama suami, Khairiah akhirnya bersetuju mengambil alih syarikat tersebut, sebelum memutuskan untuk menukar nama daripada Akmal Food Industry kepada Akmal Food Global Sdn Bhd.
"Saya tidak mengubah nama Akmal kerana jenama ayam kebab Akmal sudah dikenali ramai.
"Selain itu, resipi juga kita kekalkan sama, cuma ada beberapa penambahan dari segi rempah ratus bagi menaikkan lagi keenakan rasa," ujarnya sambil memberitahu bahawa roti serta patti ayam dan daging diproses sendiri oleh kilang mereka yang beroperasi di Kuala Selangor, Selangor.
Aktiviti utama syarikat tersebut adalah mengeluarkan produk kebab berasaskan daging lembu dan ayam yang dijamin berkualiti tinggi dan halal.
Hutang
Nak dijadikan cerita, katanya, sejurus mengambil alih bisnes yang dimiliki oleh 100 peratus pegangan bumiputera itu, Khairiah perlu memberi sepenuh perhatian untuk menyelesaikan hutang syarikat sebanyak lebih RM500,000.
Enggan menyerah sebelum berjuang, anak kedua daripada lapan beradik itu nekad untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses jualan, bagi membolehkannya melunaskan hutang berkenaan.
Penularan wabak Covid-19 pada tahun 2020 tidak menghalang wanita berasal dari Shah Alam, Selangor itu untuk mengembangkan perniagaan makanan sejuk bekunya.
"Memang saya akui pada awalnya agak sukar untuk berniaga ketika PKP, ada masa saya juga rasa down.
"Namun rezeki ALLAH SWT nak beri, status sebagai usahawan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar membolehkan kami memohon untuk menjalankan servis secara cash on delivery (COD) dari rumah ke rumah.
"Kebenaran itu digunakan kami sehabis baik. Mungkin disebabkan ramai tak boleh keluar rumah ketika itu, ramai yang memilih untuk membeli makanan sejuk beku,
"Jadi Alhamdulillah tempahan diterima pun tidak putus-putus," kongsi pemegang Diploma jurusan Tekonologi Maklumat dari Universiti Selangor (Unisel) itu lagi.
Pelakon, Jasmin Hamid (kanan) antara pelanggan yang pernah membeli produk keluaran AFGSB.
Kerja keras Khairiah dan pasukan membuahkan hasil apabila dia berjaya menyelesaikan hutang piutang syarikatnya dalam tempoh masa enam bulan sahaja.
Akuinya, dia turut terkejut dengan perkembangan itu, namun bersyukur segala urusannya dipermudahkan Yang Maha Esa.
Ditanya cabaran pada masa kini pula, dia yang menjadikan tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan jutawan internet, Irfan Khairi sebagai idola dalam bisnes berkata, sama seperti individu lain, kenaikan harga barang menjadi antara dugaannya dalam berniaga.
"Harga barang sama ada kering atau mentah, sentiasa naik.
"Jadi, sebagai peniaga mahu tidak mahu kita juga terpaksa menaikkan sedikit harga untuk menampung kos perniagaan.
"Namun saya tetap bersyukur kerana pelanggan masih setia meskipun dengan kenaikan harga, kerana mereka percaya dengan kualiti dan keenakan rasa produk kami," tuturnya yang turut aktif mempromosikan jualan di aplikasi TikTok @akmalfoodglobal_hq.
Roti serta patti ayam dan daging jenama Akmal diproses sendiri di kilang yang beroperasi di Kuala Selangor.
Produk
Berkongsi mengenai AFGSB, Khairiah menjelaskan, aktiviti utama syarikat tersebut adalah mengeluarkan produk kebab berasaskan daging lembu dan ayam yang dijamin berkualiti tinggi dan halal.
Tambah usahawan itu lagi, produk keluaran syarikat akan menerima bahan mentah daripada pembekal yang mempunyai persijilan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Kita akan melalui proses pengilangan di kilang kami dengan persekitaran yang sesuai dan selamat untuk produk makanan.
"Antara produk kami termasuk sate kebab ayam berperisa lada hitam, pedas dan beriani serta sate kebab daging berperisa asli.
"Selain itu, kami juga menjual burger kebab mini ayam dan daging berperisa lada hitam dan pedas," katanya sambil menambah, selain menempah secara dalam talian, produk keluaran AFGSB juga boleh didapati di beberapa rangkaian kedai terpilih di seluruh negara seperti di Bangi, Shah Alam, Kangar, Tanah Merah dan Senawang.
Sebelum menutup bicara, Khairiah menyuarakan hasrat untuk menjadikan Akmal Food Global sebagai satu jenama yang dikenali di setiap peringkat umur setanding dengan jenama antarabangsa.
"Kami turut berharap agar produk keluaran syarikat yang beroperasi lebih satu dekad itu diangkat menjadi salah satu produk makanan yang bertaraf dunia dan boleh didapati di setiap pelusuk negara," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram