Isteri mengandung susah cari kerja, 'Abang Lori' nekad berniaga nasi lemak belakang bonet kereta


  • Bizz
  • Rabu, 18 Sep 2024

Mohamad Jamil memutuskan untuk menjalankan perniagaan nasi lemak selepas melihat cabaran hidup terutamanya dari segi ekonomi yang semakin sukar.

MUNGKIN bagi kebanyakan orang, berniaga nasi lemak dianggap sebagai satu usaha kecil, namun bagi sesetengah individu, ia adalah sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga.

Segala-galanya bermula pada 2018, apabila Mohamad Jamil Othman, 39, memutuskan untuk menjalankan perniagaan nasi lemak selepas melihat cabaran hidup terutamanya dari segi ekonomi yang semakin sukar.

Pada awalnya, Mohamad Jamil yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang perabot dekat Sungai Buloh, Selangor, hanya menjadikan bisnesnya sebagai pendapatan sampingan.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Mengakui gaji sebagai pemandu lori tidak lagi mencukupi untuk menampung kos sara hidup keluarga kecilnya, peniaga itu enggan berdiam sebelum mula mencari jalan untuk menambah pendapatan.

Ceritanya, idea untuk menerokai bidang perniagaan tercetus ketika isteri, Rohana Mansor, 32, sedang mengandungkan cahaya mata sulung mereka.

nasi lemak

Peniaga itu belajar membuat nasi lemak daripada kakaknya yang juga menjual makanan tersebut di sekitar Shah Alam.

"Dorongan utama untuk memulakan perniagaan sendiri adalah faktor kewangan, apatah lagi selepas berkahwin dan isteri saya mengandung anak pertama.

"Ketika itu, isteri tidak bekerja dan mengalami kesukaran untuk mencari kerja baharu disebabkan statusnya yang sedang mengandung.

"Dalam keadaan ini, saya fikir perniagaan nasi lemak boleh menjadi salah satu pembuka jalan untuk memastikan kelangsungan hidup keluarga kami," katanya kepada Majoriti.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, setiap pagi dirinya akan berniaga nasi lemak sebelum memulakan tugas sebagai pemandu lori.

Menjalani dua pekerjaan bukanlah suatu hal yang mudah, namun semangat dan dorongan bapa ini untuk mencari rezeki buat keluarga tercinta mendorongnya meneruskan usaha tersebut.

"Selepas kira-kira setahun berniaga, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja di kilang untuk memberi fokus terhadap perniagaan.

"Selepas berbincang dengan isteri, kami kemudian membuka tapak niaga di dua lokasi berlainan sebagai strategi untuk menarik lebih ramai pembeli.

"Isteri berniaga nasi lemak di Dataran Prima, manakala saya di Phileo Damansara 1, Petaling Jaya," bicaranya sambil menambah kini mereka berhasil meraih anggaran RM500 jualan nasi lemak dalam tempoh sehari.

lori

Mohamad Jamil pernah bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang perabot dekat Sungai Buloh, Selangor selama sembilan tahun. — Gambar hiasan

Pengaruh keluarga

Jelas anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu lagi, berniaga sememangnya bukanlah sesuatu yang asing dalam keluarganya.

Ini kerana sejak kecil, Mohamad Jamil sudah terdedah kepada dunia bisnes apabila ibunya juga merupakan seorang peniaga kuih, manakala kakaknya juga kini berniaga nasi lemak di sekitar Shah Alam.

"Saya belajar memasak nasi lemak pun daripada kakak sendiri," ujarnya sambil memberitahu bahawa isterinya kini hamil lima bulan.

Akuinya lagi, menguruskan perniagaan sambil menjaga keluarga bukanlah tugas yang mudah.

Ditanya antara momen paling sukar dilupakan sepanjang menelusuri bidang penuh risiko ini, Mohamad Jamil memberitahu, dia pernah memperoleh hasil jualan sebanyak RM1.50 sahaja pada minggu awal berniaga.

"Masa itu ALLAH...hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan ini. Mungkin juga kerana ramai yang tidak tahu kami berniaga pada waktu itu.

"Namun saya bernasib baik kerana ketika itu saya masih ada pekerjaan tetap. Jadi dapatlah saya gunakan gaji tersebut sebagai modal untuk berniaga pada hari lain," katanya.

WhatsApp Image 2024-09-17 at 15.08.21

Mohamad Jamil turut memasang impian untuk membuka kedai makannya sendiri.

Jaga anak

Mohamad Jamil dan isteri masing-masing akan membawa anak-anaknya setiap hari ke lokasi perniagaan mereka.

"Memang kami akan bawa anak-anak setiap hari berniaga. Setakat ini langsung tidak terfikir untuk menghantar anak ke mana-mana pengasuh.

"Apatah lagi, terlalu banya kes penderaan yang dilaporkan ketika ini, buat kami bimbang akan keselamatan mereka.

"Jika anak ada depan mata, jadi makan, minum dan sakit anak-anak kami boleh terus bertindak pantas. Tetapi jika hantar ke penjaga, misalnya ketika kami berniaga, anak tiba-tiba demam panas, kita tak boleh nak ambil tindakan pantas, sebab jauh," jelasnya.

Sama seperti peniaga lain, Mohamad Jamil turut memasang impian untuk membuka kedai makannya sendiri, jika diberi kesempatan.

Dia berpendapat, memiliki kedai sendiri akan lebih meyakinkan pelanggan untuk menikmati sajiannya, di samping kebebasan dalam menguruskan masa perniagaan.

Meskipun komitmen kewangan masih tinggi, beliau tetap optimis bahawa usaha ini akan membuahkan hasil yang lebih baik pada masa hadapan.

"Perancangan sudah lama bermula cuma mungkin sekarang terlalu banyak komitmen, Insya-ALLAH sikit-sikit kita cuba," katanya mengakhiri perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram