Jangan tambah trauma, pasca nasib kanak-kanak di rumah amal GISB perlu dibela — Suhakam


  • Primer
  • Rabu, 18 Sep 2024

Seramai 402 kanak-kanak rumah amal dipercayai milik GISB yang diselamatkan polis menerusi Op Global di Negeri Sembilan dan Selangor terdiri daripada 202 kanak-kanak lelaki dan 190 kanak-kanak perempuan. — PDRM

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan terus membela nasib kanak-kanak di rumah amal yang berkaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr. Farah Nini Dusuki berkata, sebenarnya kerisauan Suhakam adalah bukan sahaja pasca mereka diselamatkan pada ketika ini tetapi juga mengenai hala tuju penjagaan kesemua kanak-kanak selepas itu.

"Sekarang ini mungkin mereka mendapat perhatian yang sewajarnya kerana pelbagai agensi bekerjasama memastikan mereka dalam keadaan selamat tetapi apa yang akan terjadi pada kanak-kanak malang ini selepas isu tersebut selesai.

BACA LAGI : [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN

BACA LAGI : [VIDEO] GISB nafi dera, eksploitasi kanak-kanak di Selangor dan Negeri Sembilan

"Seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISB dan ia bukanlah angka yang kecil.

"Rumah kebajikan kanak-kanak di Malaysia ini pun sebenarnya belum tentu dapat menampung mereka," katanya dalam satu temu bual khas bersama Majoriti pada Rabu.

Children’s Commssioner Dr Farah Nini Dusuki—SHAARI CHEMAT / THESTAR

Dr. Farah Nini Dusuki

Susulan itu, beliau menyarankan agar penjagaan berdasarkan keluarga adalah disyorkan kerana penempatan di rumah kanak-kanak yang sesak berisiko menambah trauma kepada kanak-kanak.

"Selain itu, kaunseling yang berterusan perlu diberikan kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti sejauh mana impak penderaan yang berlaku memberi kesan terhadap mereka, dan mekanisme pemulihan sesuai dapat dijalankan ke atas kanak-kanak.

"Ini kerana, kebanyakan daripada mereka tidak pernah merasa dibesarkan dalam institusi keluarga dan hanya bergantung kepada sesama sendiri.

"Malah ibu bapa kepada kanak-kanak itu juga perlu diberikan kaunseling dan intervensi yang sewajarnya," tegas beliau.

Tambah beliau lagi, jenayah dan eksploitasi terhadap kanak-kanak yang berselindung di sebalik nama agama sebegini adalah amat memalukan.

Pada masa sama, bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang, Suhakam menyeru pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sentiasa memastikan agar semua pusat jagaan kanak-kanak bukan hanya perlu berdaftar, tetapi turut dipantau rapat dengan penuh bertanggungjawab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram