'Tiada siapa boleh mengaku, saya bukan hero Lahad Datu'


  • 112
  • Khamis, 19 Sep 2024

Abdul Rashid (depan) tidak pernah menganggap dirinya sebagai hero Lahad Datu walaupun turut serta dalam satu operasi berbahaya di kawasan penempatan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

"SAYA bukan hero dan saya tak pernah anggap saya hero Lahad Datu," itu antara ungkapan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun yang juga antara figura penting di sebalik Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah 11 tahun lalu.

"Apa yang saya ingin tekankan adalah tiada seorang pun yang boleh mengaku sebagai hero dalam operasi tersebut.

"Semua anggota keselamatan telah memberikan sumbangan masing-masing. Tiada pertandingan antara unit-unit keselamatan, semua memainkan peranan mereka dengan hebat dan berjasa.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Terpaksa menyelam seawal Subuh di Semporna, kesan tapak kaki dekat dinding jerat penjenayah 'wanted' di P.Pinang

"Tragedi berdarah di Lahat Datu menunjukkan bahawa pasukan keselamatan kita tidak memilih bangsa atau asal usul.

"Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat, dan pasukan keselamatan berjuang tanpa mengira latar belakang," katanya kepada Majoriti.

553 (1)

Datuk Abdul Rashid Harun

Tambah bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu lagi, semangatnya dalam mempertahankan negara tidak pernah luntur.

"Kita sebagai rakyat Malaysia mesti bersatu dalam mempertahankan negara ini. Tidak perlu ada perasaan 'kami orang dalam' dan 'mereka orang luar'.

"Selagi kita lahir dan hidup di Malaysia, kita adalah rakyat Malaysia, dan kita harus berpegang kepada pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung," ujarnya yang telah berkhidmat bersama Sang Saka Biru sejak 1975.

Walaupun sedekad lebih sudah berlalu, namun tidak pernah terpadam dalam memori berhadapan dengan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu.

"Antara pengalaman tidak dapat dilupakan apabila saya sendiri turun padang bagi membuat tinjauan di kawasan penempatan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

"Pada waktu itu, saya perkenalkan diri sebagai Sarjan Mejar Rashid. Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya berdepan dengan musuh tetapi tak banyak yang saya boleh ceritakan kerana ia operasi sulit

"Apa yang boleh saya kongsi, waktu itu..kerja saya masuk ke penempatan itu buat pemerhatian selain bawa beras. Saya juga bawa rokok untuk diberikan kepada musuh negara.

"Tindakan ini bukanlah sekadar memberi rokok, tetapi satu cara untuk saya mengira dengan tepat jumlah pengganas yang berada di situ ," katanya.

Misi yang dijalankan oleh Abdul Rashid bukan sahaja berjaya dari segi taktikal, tetapi juga memberikan pihak berkuasa maklumat penting yang membolehkan mereka merancang serangan balas dengan lebih berkesan.

455908082_10229798023307639_2399025958152307938_n

Abdul Rashid bersama peserta kem bina semangat di tapak perkhemahan Amazing Camp Legacy: Legends By Nature.

Walaupun telah bersara, namun ia tidak menghalang Abdul Rashid untuk terus menyumbang kepada negara.

"Saya kini sibuk menguruskan tapak perkhemahan Amazing Camp Legacy: Legends By Nature yang berlokasi di Lenggong, Perak.

"Idea penubuhan tapak perkhemahan ini sebenarnya untuk mewujudkan sebuah kem bina semangat buat generasi muda dan orang awam.

"Selepas bersara, saya dan rakan-rakan daripada 69 Komando telah sepakat untuk menyumbang ilmu dan pengalaman kami kepada generasi muda, pegawai kerajaan, atlet nasional, dan juga pelajar.

"Kami berusaha memantapkan ketahanan mental dan semangat kenegaraan mereka melalui program yang kami adakan di tanah yang saya miliki sejak 2018.

"Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak kerana mereka tahu ilmu yang kami kongsikan ini sukar diperoleh di tempat lain. Kami tidak buat program hiburan, tetapi benar-benar fokus kepada peningkatan jati diri dan semangat patriotisme," katanya menutup bicara.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram