'Jangan fikir bila saya tidak ada', Allahyarham Tun Hanif 'mastermind' di sebalik kebijaksanaan UTK


  • 112
  • Khamis, 19 Sep 2024

Tun Hanif merupakan individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara dalam PDRM. — Facebook/PDRM

NAMA bekas Ketua Polis Negara (KPN), Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar sememangnya cukup dikenali di dalam negara dan juga antarabangsa.

Manakan tidak, anak jati Teluk Intan, Perak ini merupakan individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Mengimbau kembali perjalanan Tun Hanif, beliau dilantik memegang jawatan Ketua Polis Negara keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh ditembak komunis.

BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

Setahun selepas memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara, Tun Hanif mengasaskan unit anti-pengganas elit, Unit Tindakan Khas (UTK) pada 1 Jan 1975 serta mengambil bahagian dalam operasi menyelamat dalam krisis tebusan bangunan AIA pada Ogos, tahun sama.

438216792_831108599049362_8931936549594476287_n

Allahyarham Tun Hanif Omar meninggal dunia pada 20 April lalu. — Facebook/PDRM

Bekas Komander UTK, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin berkata, kebijaksanaan Tun Hanif dalam menjangkakan sesuatu perkara telah membawa kepada penubuhan UTK pada waktu itu.

"Pada waktu itu, berlakunya ancaman keganasan antarabangsa di Timur Tengah yang berkemungkinan turut merebak ke Malaysia.

"Ketika itulah beliau cadangkan untuk wujudkan UTK bagi membanteras kegiatan keganasan dan jangkaan itu terbukti betul apabila pada 1975 negara telah dikejutkan dengan krisis tebusan Bangunan AIA," katanya.

Meor berkata demikian pada majlis A Tribute to Tun Hanif Omar di Maktab Polis Diraja Malaysia dekat Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Tambah beliau lagi, Tun Hanif yang meninggal pada 20 April lalu ketika berumur 85 tahun bukan sahaja seorang figura yang berwawasan tetapi juga sangat tekun, sentiasa merancang lebih awal untuk masa depan unit.

"Saya masih ingat ketika taklimat peristiwa krisis Penjara Pudu, Allahyarham mahukan butiran yang sangat terperinci tentang operasi berkenaan seperti berapa jarak di antara satu pintu ke satu pagar di kawasan penjara tersebut, bagaimanakah keadaan lantainya dan jika licin, bagaimana untuk mengelakkannya.

"Beliau sangat teliti kerana tidak mahu menerima sebarang kegagalan. Pernah satu ketika saya ubah satu daripada perancangannya tetapi tidak membuahkan hasil dan esoknya Hanif mempersoalkan tindakan saya.

"Tun Hanif berkata, jangan fikir bila saya tidak ada. Kamu fikir bila saya ada dan kemudian kita putuskan bersama," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kejayaan UTK, Meor berkata, Allahyarham juga sangat mementingkan kebajikan pegawai dan anggota pasukan itu bagi memastikan mereka dapat berfungsi dengan baik terutama latihan, aset dan kelengkapan yang mencukupi.

"Pada mulanya, anggota UTK dilatih di sini oleh Special Air Service (SAS) dari United Kingdom. Kemudian ramai anggota yang dihantar untuk berlatih dengan pasukan khas di Amerika, Perancis dan Jerman.

"Setelah mereka pulang ke tanah air, kita olah semula latihan yang mereka terima untuk disesuaikan dengan keadaan di sini," katanya.

Majlis A Tribute to Tun Hanif Omar itu turut dihadiri balu Allahyarham, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid dan keluarga serta kira-kira 100 pegawai kanan, anggota lain-lain pangkat serta pesara polis.

Turut hadir tiga bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Tan Sri Ismail Omar. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram