Cepat-cepat habiskan sarapan, pemandu lori sampah muncul 'superhero' di mata budak 4 tahun


  • 112
  • Rabu, 18 Sep 2024

Azmi (kiri) bergambar bersama Gary dan anaknya Tylor ketika berkunjung ke rumah Gary di Taman Mutiara Rini. — Facebook/SWM Environment

PROFESION sebagai pemandu lori sampah sering dipandang rendah oleh segelintir masyarakat.

Apatah lagi kerjaya tersebut melibatkan sisa buangan dan terpaksa berhadapan dengan bau busuk.

Malah, ada yang mengangap ia bukanlah satu kerjaya.

BACA LAGI : Tak kisah dijeling orang awam, anggota RELA sanggup berhujan panas demi teruskan legasi ayah

BACA LAGI : Enggan tragedi menimpa ayah sebelum Zuhur berulang, Azizul nekad buka akademi tawar latihan CPR, AED

Namun berlainan kisahnya dengan seorang budak lelaki yang menganggap seorang pemandu lori sampah sebagai hero.

Lebih mengharukan lagi, kanak-kanak yang dikenali dengan nama Tyler Yeow akan menunggu ketibaan lori sampah tersebut di dalam rumahnya di Taman Mutiara Rini, Johor setiap pagi Khamis dan Ahad

Anak kecil itu akan berlari ke pintu apabila dia mendengar deruman jentera berkenaan memasuki jalan rumahnya dan melambai kepada para pekerja pengurusan sampah, terutamanya pemandu lori, Azmi Kadir.

Azmi 3

Tyler (kiri) bergambar kenangan bersama Azmi. — Facebook/SWM Environment

Menurut ayah kepada kanak-kanak tersebut, Gary Yeow, minat anaknya terhadap kenderaan lori sampah bermula semasa pandemik Covid-19 melanda negara.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehadiran lori sampah sentiasa menjadi sesuatu yang dinantikan oleh anak saya.

"Dia akan meminta saya mengangkatnya untuk mendapatkan pemandangan yang lebih jelas dan memerhatikan para pekerja itu melakukan kerja mereka walaupun pada waktu hujan atau panas.

“Tyler akan berasa sangat teruja apabila Azmi atau pekerja lain melambai kepadanya atau melakukan aksi lucu untuk membuatnya ketawa,” katanya dalam satu temu bual bersama The Star.

Terkesan dengan komitmen pekerja-pekerja tersebut, Gary berkata, dia memutuskan untuk menghantar e-mel kepada syarikat pengurusan sisa, SWM Environment Sdn Bhd pada akhir Jun tahun lalu untuk memuji mereka.

“Ia juga merupakan peluang yang baik untuk mendidik anak saya tentang konsep ekonomi sosial yang seimbang dan kepentingan menghargai orang yang memegang pelbagai pekerjaan,” kata Gary, yang bekerja di sebuah syarikat perisian maritim.

Gary turut mengakui dia terkejut apabila mendapat maklum balas daripada syarikat pengurusan sisa tersebut, termasuk Azmi yang memaklumkan ingin melawat mereka di rumah.

"Tyler sangat gembira bertemu dengan heronya. Pada pagi itu, dia cepat-cepat makan sarapan dan bersiap sebelum mereka tiba.

“Semasa pertemuan itu, Tyler menunjukkan model mainan lori sampahnya kepada Azmi dan bergambar bersama.

“Kami juga berpeluang duduk di dalam lori sampah tersebut dan terkejut melihat betapa bersihnya lori itu,” katanya, sambil menambah bahawa pertemuan mereka juga dipaparkan di laman Facebook syarikat berkenaan.

Bercerita lanjut, Gary berkata, perkara yang paling menyentuh hatinya ialah melihat isteri dan anak perempuan Azmi di bahagian komen hantaran tersebut, meluahkan rasa bangga terhadapnya.

“Ini menunjukkan bahawa kerja keras tidak kira apa jua pekerjaan patut diiktiraf.

“Saya berharap masyarakat akan mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap pekerja seperti ini kerana mereka juga mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga dan menyumbang kepada negara,” tambahnya.

Dalam hantaran itu, SWM Environment berkata, lawatan tersebut diatur sempena Hari Global Pengutip Sampah.

Azmi, 52, telah bekerja sebagai pemandu lori berkenaan selama 10 tahun dan kini berkhidmat di kawasan Iskandar Puteri, Johor. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram