Seorang demi seorang berjangkit, anak Iban guna pengalaman askar wataniah tubuh 'task force' Covid-19


  • 112
  • Selasa, 17 Sep 2024

Walaupun menetap di Selangor, Joseph turut terlibat secara langsung terhadap pembangunan di kawasan pedalaman Sarawak.

SEJAK hari pertama pandemik Covid-19 melanda dunia, umum mengetahui petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota badan beruniform, doktor, jururawat, paramedik dan pekerja kesihatan lain, tidak pernah berhenti berjuang.

Mereka mengorbankan masa dan tenaga, malah turut menggadai nyawa tanpa menghiraukan risiko dijangkiti wabak tersebut demi merawat pesakit dan menyelamatkan nyawa.

Namun, bukan hanya barisan hadapan sahaja yang wajar diberikan pujian, tetapi juga wira komuniti yang berperanan di belakang tabir.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

Ini kerana, sukarelawan dari pelbagai latar belakang turut memainkan tanggungjawab penting dalam memastikan komuniti tempatan terus bertahan.

Mereka mengedarkan bantuan makanan kepada keluarga yang terjejas, memberikan sokongan kepada golongan warga emas dan kanak-kanak, serta membantu memastikan keselamatan komuniti terjaga dengan mempromosikan penggunaan pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Puteri, Joseph Ninting Janting antara salah seorang individu awam yang patut diberi pujian menyumbang tenaga dalam memainkan peranan mengekang penularan Covid-19 taman perumahan Desa Puteri, Bandar Tasik Puteri di Rawang, Selangor.

Joseph Ninting

Joseph Ninting Janting

Walaupun empat tahun sudah berlalu, namun bapa kepada lima anak itu masih mengingati setiap perincian tercetusnya idea menubuhkan pasukan petugas dengan bilik gerakan khas di kawasan tersebut.

"Pada 7 Oktober 2020, salah seorang penduduk kami disahkan positif Covid-19 dan virus merebak sangat cepat sehinggakan beberapa orang positif dalam masa kurang daripada lima Hari.

"Keadaan semakin tidak terkawal apabila 42 orang positif dan bermula dari situlah tercetusnya idea bilik gerakan khas, Task Force Desa Puteri, Kita Jaga Kita," katanya kepada Majoriti.

Menurut anak jati Bakong Beluru Baram, Miri, Sarawak itu lagi, inisiatif penubuhan bilik gerakan itu turut bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri Selangor pada waktu itu.

Dia yang pernah bertugas sebagai anggota askar wataniah menggunakan segala pengalamannya bagi mengelakkan wabak itu daripada terus melarat.

"Sebagai Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Puteri adalah tanggungjawab saya untuk memastikan penduduk selamat.

"Oleh itu saya memutuskan untuk membuat Lock Down (Perintah kawalan berkurung) di Taman Perumahan Desa Puteri melalui kuasa Persatuan Penduduk dan Kuasa Task Force Desa Puteri tadi.

"Kami menghadkan pergerakan semua penduduk dan hanya keluar rumah bila perlu sahaja. Bagi keluarga yang positif Covid-19, mereka di kuarantin sepenuhnya di rumah.

“Penduduk sangat memberi kerjasama yang baik, majoriti tak akan keluar rumah seandainya tiada keperluan mendesak," kata Joseph sambil memaklumkan penduduk turut menerima sumbangan seperti makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO), penduduk sekitar dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang Salehuddin Amiruddin pada ketika itu.

121699450_347815416487328_5369195648716948179_n

Joseph (Dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada penduduk Desa Puteri Rawang ketika Covid-19 melanda negara.

Lebih membanggakan lagi, menurut Joseph, bilik gerakan khas merupakan bilik gerakan komuniti pertama di Selangor yang ditubuhkan sendiri oleh persatuan penduduk yang berjaya mengekang penularan Covid-19 pada ketika itu

Katanya, semua 20 orang ahli jawatankuasa (AJK) yang terlibat telah menerima Sijil Penghargaan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Jelas beliau lagi walaupun pasukan petugas khas yang terdiri daripada sukarelawan dibubarkan secara rasmi selepas individu yang positif Covid-19 di kawasan itu pulih sepenuhnya pada 2020 namun khidmatnya menyumbang kepada masyarakat tidak terhenti disitu.

Joseph juga merupakan pengerusi sebuah NGO, Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA) yang terlibat secara langsung terhadap pembangunan di Sarawak.

"Walaupun saya berada di Semenanjung, namun ia tidak menghalang TRADA untuk membangunkan kawasan pedalaman di Sarawak terutamanya menaik taraf rumah panjang termasuklah pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

"Pada masa sama, penubuhan TRADA ini juga sedikit sebanyak menyelesaikan Konflik Tanah Adat (NCR) serta membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang dalam pentadbiran.

"Fokus TRADA ialah Pembangunan Pendidikan, sosioekonomi, kepentingan adat asal, kepentingan undang-undang adat istiadat dan kepentingan kebudayaan asal," katanya.

305108799_10228483347056485_7431518162838532073_n

Joseph (kanan) bersama Menteri Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Joseph lagi, sepanjang TRADA ditubuhkan, pihaknya terlibat secara langsung dan bekerjasama dengan Rumah Sarawak Kuala Lumpur berkaitan dengan penghantaran balik jenazah rakyat Sarawak.

"Sehingga ini, lebih 150 kes kematian sudah di uruskan oleh TRADA melalui kerjasama dengan Rumah Sarawak ini.

"Manakala terdapat juga kes kematian yang dikuburkan di Semenanjung iaitu di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. TRADA juga sangat rapat dengan komuniti Dayak dan anak Sarawak di Semenanjung," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram