Produk jenama Roti Ikhwan tiada sijil halal sah — Jakim


  • Primer
  • Ahad, 15 Sep 2024

Jakim mengesahkan produk jenama Roti Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara tidak mempunyai SPHM yang sah. 

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk jenama Roti Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Jakim menerusi satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, perkara itu telah melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Jakim mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk jenama Roti Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara yang sedang tular ketika ini.

BACA LAGI: Johnny's Restaurant, Dolly Dim Sum antara 5 restoran popular bukan pemegang sijil halal — Jakim

BACA LAGI: Jabatan Perikanan sahkan gegelang sotong tiada DNA babi

WhatsApp Image 2024-09-15 at 14.30.11

Tangkap layar kenyataan Jakim berhubung sijil halal produk jenama Roti Ikhwan.

"Semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati produk tersebut tiada memiliki SPHM yang sah," katanya.

Menurutnya, Akta Perihal Dagangan 2011 tersebut menetapkan semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.

"Melainkan ia diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah terbabit," katanya.

Dalam hal ini, Jakim menjelaskan bahawa pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera.

Ujarnya, jika didapati berlaku penyalahgunaan logo atau sijil halal pada produk, pihak syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah akta tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram