JIKA berbicara tentang konsep usia bukan bukan penghalang melakukan perkara yang disukai, Ngot Bi adalah orang yang tepat untuk menggambarkannya.
Mencecah usia 91 tahun tidak menghalang wanita berasal dari Kampung Semera Ulu, Sadong Jaya, Asa Jaya, Sarawak itu untuk meneruskan seni anyaman tikar yang dijalankan sejak dulu.
Semangat itu juga menjadikan warga emas ini begitu disegani dan dihormati bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitar, malah penggiat kraf anyaman tempatan.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Tikar mengkuang anyaman berlubang buatan tangan yang dihasilkan oleh Ngot.
Memiliki pengalaman lebih 80 tahun dalam bidang tersebut, Ngot merupakan antara segelintir penganyam tikar tradisional yang masih ada di Bumi Kenyalang, seterusnya diangkat sebagai pakar rujukan utama bagi tikar buatan tangan dalam komuniti itu.
"Ketika masih muda, saya belajar menganyam di kampung, berlatih perlahan-lahan, siang dan malam. Lama kelamaan, saya menjadi mahir dalam anyaman.
"Saya terus menganyam kerana hati saya sudah sebati dengannya, tetapi kini saya sudah tua dan mudah letih.
"Proses menganyam tikar ini sangat sukar. Selalunya, badan sakit selepas berjam-jam menganyam, tetapi saya terus melakukannya kerana seronok menganyam. Perlahan-lahan tetapi pasti saya boleh menyiapkan tikar buatan tangan ini," kata Ngot menerusi video yang diterbitkan oleh Yayasan Hasanah.
Walaupun Ngot mahir dalam teknik menganyam seperti twinning (teknik yang digunakan untuk membuat bakul) dan interlacing (digunakan untuk membuat tikar dengan motif tradisional), namanya terkenal dengan sebagai salah seorang penganyam tikar pandan bergerang (anyaman berlubang daun pandan) Sarawak.
Ngot juga diangkat reputasinya sebagai antara penganyam tikar pandan bergerang yang terakhir di Sarawak.
Daun pokok mengkuang dipotong menjadi jalur untuk menghasilkan pelbagai barangan termasuk beg, tikar lantai dan hiasan dinding.
Pada September lalu, wanita itu dianugerahkan gelaran Best Traditional Weaving (Plaiting) pada Anugerah Benang Emas Hasanah Yayasan Hasanah, acara yang meraikan kecemerlangan dan inovasi dalam tekstil warisan dan teknik di Malaysia.
"Saya mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan hasil kerja untuk memenangi anugerah ini disebabkan tikar tersebut mempunyai begitu banyak corak bunga," jelas Ngot, yang mempelajari seni itu daripada seorang penganyam tua dari Betong, Sarawak pada tahun 1999.
Anugerah tersebut adalah salah satu daripada beberapa penghargaan yang diterima ibu kepada tujuh cahaya mata ini sepanjang mengabdikan dirinya sebagai penganyam mahir.
Pada tahun 2005, Ngot menerima anugerah Seal Of Excellence for Handicraft Products in Southeast Asia daripada Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Sembilan tahun kemudian (2014), nenek kepada lapan cucu itu menerima gelaran Adiguru Kraf Anyaman oleh Kraftangan Malaysia.
Ngot (kedua dari kanan) menerima anugerah Best Traditional Weaving (Plaiting) di Anugerah Benang Emas Hasanah daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. — Tanoti
Anyaman tradisi
Anyaman pandan bergerang, warisan masyarakat Melayu di Saribas, Sarawak, merupakan anyaman tikar berlapis yang rumit dengan motif diilhamkan oleh kepercayaan tradisional.
Tikar buatan tangan tersebut berfungsi untuk pelbagai kegunaan dalam masyarakat Melayu, misalnya digunakan untuk solat, perkahwinan, sebagai hadiah dan semasa upacara perkahwinan.
Beberapa komuniti Orang Asli di Semenanjung menggunakan teknik anyaman berlubang ini untuk membuat cekak rambut, beg dan penanda buku.
Proses teliti ini bermula dengan memilih dan memotong daun pandan dengan saiz yang sama, melicinkannya dengan alat yang dipanggil jangat, merebusnya, kemudian meluruskan, merendam dan menjemur daun tersebut.
Kongsi Ngot, tempoh masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu produk adalah berbeza.
Ia boleh mengambil masa sehingga setahun untuk tikar bersaiz besar, manakala projek yang lebih kecil boleh memakan masa kira-kira sebulan.
Bercerita tentang cabaran sepanjang menghasilkan tikar, Ngot mengakui, baginya, memastikan keseragaman dalam anyaman adalah cabaran utamanya.
Ngot memiliki pengalaman lebih 80 tahun dalam bidang anyaman tikar.
"Menganyam bukan sahaja mencabar tetapi juga memerlukan kesabaran.
"Cabaran tertentu yang dihadapi termasuk jika terdapat perbezaan saiz, saya perlu membuka semula kerja yang sudah dibuat dan menganyamnya semula untuk mendapatkan saiz yang sama," tuturnya.
Seiring pembabitan lebih lapan dekad dalam bidang ini, usahawan berkenaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan teknik anyaman tradisional itu.
Ngot sedar bahawa dedikasi dan kesabaran tinggi yang diperlukan untuk menguasai kraf tersebut, menyebabkan sukar untuk menarik minat golongan muda terutamanya ketika mendepani dunia yang serba pantas ini.
"Saya cuba mengajar anak-anak dan cucu-cucu saya, tetapi malangnya, mereka tidak berminat dengan kraf ini.
"Ramai orang tidak berminat kerana ia memakan masa dan pendapatannya juga tidak seberapa," kata moyang kepada seorang cicit itu.
Walaupun begitu, dirinya masih berharap agar generasi muda akan mula berminat dan menghargai keindahan proses menganyam ini.
"Pada masa hadapan, saya berharap lebih banyak organisasi akan menganjurkan bengkel untuk menggalakkan golongan ini berminat dengan kraf tikar bergerang," ujarnya penuh harap. — The Star/ SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram