Asalnya ramai tak percaya, anak jati Kampung Baru bina hotel mewah di perkampungan Melayu


  • Bizz
  • Ahad, 15 Sep 2024

Panorama langit cerah di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang diambil dari tingkat 23 di Hotel Tamu, Kampung Baru.

BERDIRI megah antara Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Alang, struktur Hotel Tamu & Suites setinggi 42 tingkat itu nyata mencuri tumpuan.

Hanya terletak kira-kira dua kilometer dari Menara Berkembar Petronas (KLCC), hotel patuh syariah ini dibina dengan kos belanja RM200 juta dan dimajukan oleh Zikay Group, sebuah syarikat bumiputera yang diasaskan sejak tahun 1994.

Selain lokasinya yang strategik dan berhadapan Masjid Jamek Kampung Baru, konsep patuh syariah yang diketengahkan oleh hotel bertaraf empat bintang itu turut memiliki elemen penarik tersendiri.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Pantai Timur ke benua Eropah, seni seramik raku anak kelahiran Kuala Kangsar tembusi pasaran global

WhatsApp Image 2024-09-13 at 12.09.53

Mohd Khay (kiri) membangunkan kumpulan Zikay Group bersama adiknya, Datuk Iszhar Ibrahim (kanan).

Pengasas dan Pengerusi Zikay Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim, 66, yang berkongsi pandangannya mengenai konsep hotel mesra Muslim itu mengakui, tidak banyak hotel bertaraf empat hingga lima bintang di negara ini memiliki kriteria tersebut.

Kata pemegang Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1979 itu, konsep mesra Muslim berpotensi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke premis hotel untuk bercuti.

“Pelancong domestik memiliki ‘kuasa beli’ tinggi untuk membuat tempahan percutian dan peluang ini perlu diberi penekanan oleh pemain dalam industri perhotelan tempatan.

“Majoriti rakyat di negara ini terdiri daripada masyarakat beragama Islam dan ia memberi peluang pulangan pendapatan yang baik kepada pemain hotel tempatan,” katanya.

Mohd Khay yang juga peneraju sektor pembangunan hartanah, pembinaan dan hartanah di bawah kumpulan Zikay Group menjelaskan, kebanyakan rangkaian hotel enggan menerapkan konsep sedemikian kerana terdapat garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi.“

tamu

Hotel Tamu & Suites berdiri megah antara Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Alang setinggi 42 tingkat.

Hotel mesra muslim menerapkan pendekatan seperti tidak menyediakan pub dan bar serta menjual alkohol di samping penyediaan rangkaian makanan dan minuman (F&B) halal di restoran dan hotel.

“Bagi saya, konsep ini tidak sukar untuk diterapkan dan saya sendiri tidak mahu ada perkara syubhah dalam hotel.

“Saya juga memilih untuk menyediakan peluang pekerjaan dalam industri perhotelan yang mesra syariah,” kata penerima Tokoh Korporat Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Oktober tahun 2022.

Penerima Tokoh Anugerah Khas Individu sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M lalu, berhasrat untuk mengetengahkan jenama hotel sendiri berbanding jenama antarabangsa kerana tidak mahu terikat dengan piawaian yang ditentukan pihak berkenaan.

“Saya meletakkan diri sebagai fundamentalis Muslim dan sering menekankan tiga pegangan utama untuk berjaya selain perlu bekerja keras mencapai objektif dalam perniagaan.

“Pertama, perlu bersikap amanah, tawaduk dan tawakal. Bersedekah juga sangat penting sebagai umat Islam kerana dengan ini, dapat membawa seseorang melangkah lebih jauh,” ujarnya yang berminat dalam sektor perniagaan sejak berusia sembilan tahun.

4

Konsep kolam renang terbukanya turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan yang menginap di hotel berkenaan.

Tanah rizab

Menyentuh tentang keunikan hotel berkenaan, anak jati Kampung Baru itu berkata, kedudukan restoran Suasana@27 yang memperlihatkan 80 peratus panorama Kuala Lumpur, dari aras 27 Hotel Tamu & Suites, pastinya menjadi antara daya menarik buat pengunjung.

Pengalaman penginapan di hotel itu juga luar biasa dek pemandangan setiap bilik yang tidak terhalang oleh bangunan pencakar langit di persekitarannya.

Akui anak ke 12 daripada 14 beradik itu, tidak kurang menarik adalah konsep kolam renang terbukanya yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan yang menginap di hotel ala resort, di tengah kota metropolitan

Turut dikenali sebagai jutawan low profile, Mohd Khay yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) mengakui, banyak cabaran perlu dihadapi dalam usaha membangunkan tanah rizab atau pegangan Melayu kerana ia dinilai lebih rendah berbanding tanah pegangan bebas.

Pun begitu, kehadiran Hotel Tamu & Suites membuatkan nilai hartanah di kawasan itu meningkat sebanyak 50 peratus.

3

Mohd Khay juga merupakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

“Sebelum ini, ada yang tidak percaya saya mampu membina hotel di tengah kawasan perkampungan Melayu memandangkan Kampung Baru adalah lebih kepada konsep pemegangan aset dan penyewaan.

“Berbekalkan pengalaman 30 tahun dalam bidang hartanah, saya nekad untuk meneruskan strategi perancangan saya,” katanya yang juga sering terlibat secara aktif dalam pelbagai pertubuhan dan acara amal melalui Yayasan ZIKAY.

Berkongsi kisah tercetusnya ilham untuk membina hotel berkenaan, kata bapa kepada lima cahaya mata terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan itu, pada permulaannya, beliau hanya berhasrat untuk menjalankan operasi syarikat dinamakan Bangunan Zikay.

Bagaimanapun perancangannya bertambah apabila membeli tanah seluas kira-kira 0.8 hektar dimiliki enam beradik untuk membina Hotel Tamu & Suites.

“Saya mahu berikan perubahan dari segi pemikiran masyarakat sekali gus memberikan kesedaran bahawa tanah rizab ini juga boleh dibangunkan sebagai aset bernilai tinggi.

“Kita perlu kerja keras untuk berjaya. Pada pandangan saya, pemilik tanah rizab boleh cuba bangunakan tanah mereka jika mahu keuntungannya boleh mencecah ratusan juta ringgit,” katanya yang turut membangunkan kumpulan Zikay Group bersama adiknya, Datuk Iszhar Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram