SIASATAN lanjut akan dibuat susulan kematian seorang pakar perubatan di Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa dikaitkan dengan insiden bunuh diri akibat dibuli di tempat kerja.
Menegaskan perkara itu, Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sama sekali tidak akan bertoleransi dengan isu buli sejak kali pertama memegang jawatan menteri kesihatan pada tahun 2018.
Katanya, pihaknya sedang meneliti beberapa kes aduan yang diterimanya sehingga kini berhubung insiden pembulian membabitkan doktor di negara ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja 13 tahun mengaku bersalah bakar anak kucing hidup-hidup di pangsapuri Kajang
BACA LAGI: [VIDEO] Siasatlah kalau SPRM nak siasat — Dr Dzulkefly Ahmad
"Saya tiada toleransi terhadap insiden buli sejak 2018 lagi. Saya akan tetap berpegang teguh pada dasar ini," ciapnya menerusi aplikasi X pada Isnin.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, semua kakitangan Kementerian Kesihatan berhak mendapatkan suasana kerja yang selamat.
Terdahulu, seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu pada 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.
Perkara itu didedahkan adik mangsa yang dikenali sebagai YS Tay mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasannya selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya.
Tay dalam perkongsian melalui akaun Facebooknya berkata, kakaknya yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Unit Patologi Kimia di Jabatan Patologi juga terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan.
YS Tay turut mendakwa, fenomena tekanan di tempat kerja dan buli dalam kalangan doktor baharu sangat berleluasa kebelakangan ini.
Malah, dia turut mempersoalkan keadilan buat doktor muda yang terus menerus ditekan di tempat kerja sehingga terkorban. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram