SEORANG wanita warga emas berusia 75 tahun maut selepas sebuah feri dua tingkat yang dinaiki karam di pulau Blue Lagoon di Bahamas pada Selasa.
Feri yang membawa kira-kira 100 penumpang itu dilaporkan dalam perjalanan dari lokasi pelancong yang terletak di timur laut Nassau ke pulau tersebut.
Ketua Polis Diraja Bahamas, Superintendan Chrislyn Skippings berkata, kejadian tersebut telah meragut nyawa seorang warga emas yang merupakan pelancong dari Colorado, Amerika Syarikat.
Menurutnya, feri itu meninggalkan dok kira-kira pukul 9.30 pagi dengan rata-rata penumpang turun dari kapal cruise untuk melawat pulau tersebut.
"Kapal tersebut melalui kawasan laut bergelora yang sekali gus menyebabkan ia dinaiki air dan tenggelam di lokasi kejadian.
"Setakat ini, identiti dan punca kematian mangsa tidak dapat dipastikan," katanya.
Pada masa sama, beberapa penumpang juga sempat merakam kejadian ketika itu.
Menerusi video yang tular di media sosial sejak Selasa, para penumpang kelihatan cemas dengan ada beberapa orang daripada mereka dilihat melompat keluar daripada feri tersebut.
Video sama itu juga kedengaran suara salah seorang penumpang yang panik sambil menjerit untuk meminta bantuan pertolongan.
Menurut salah seorang penumpang yang dikenali sebagai Schissel, pada waktu itu, feri berada dalam keadaan tidak stabil dan terhuyung-hayang di kawasan pulau.
Sementara itu, pasukan keselamatan dilaporkan segera tiba menghulur bantuan di lokasi kejadian.
Selain itu, pihak pulau tersebut dikatakan sudah memaklumkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat berhubung kemalangan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram