Pereka dalaman tinggal sendirian di apartmen di Sri Damansara maut kena tikam 20 kali


  • 112
  • Isnin, 16 Sep 2024

Seorang pereka dalaman ditemukan maut dalam sebuah kediaman apartment di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

SEORANG pereka dalaman dilaporkan maut dengan 20 kesan tikaman ditemui pada anggota badannya di sebuah apartmen dekat Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 1 pagi daripada orang awam yang juga merupakan jiran mangsa.

Beliau berkata, jirannya itu bertindak menghubungi pihak polis ekoran bimbang perkara buruk berlaku kepada mangsa selepas mendengar suara pergaduhan kira-kira pukul 11 malam.

BACA LAGI: Polis jumpa kad sim suspek kes bunuh Nur Farah Kartini

BACA LAGI: Paras air Sungai Trolak naik, pencarian bukti kes Nur Farah Kartini ditangguhkan

"Pengadu memaklumkan tidak melihat jirannya itu keluar dari rumah selepas pergaduhan dan bertindak menghubungi pihak polis.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ke lokasi dan hasil pemeriksaan menemukan mangsa sudah meninggal dunia akibat ditikam dipercayai oleh individu yang belum dapat dikenal pasti.

Shahrulnizam berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.

"Hasil pemeriksaan awal, kita menganggarkan terdapat 20 kesan tikaman di beberapa anggota badan mangsa dengan lima kesan tikaman ditemui pada sebelah kiri rusuk yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

"Enam lagi tikaman ditemui pada bahagian kepala dan sembilan tikaman pada kedua-dua pergelangan tangan," katanya.

Shahrulnizam berkata lagi, hasil semakan mendapati, mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman separuh masa tinggal berseorangan di rumah itu yang baru dibelinya pada tahun lalu.

Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis," katanya.

Beliau berkata, maklumat boleh disalurkan terus dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram