PROSES untuk menyoal siasat seramai 402 kanak-kanak yang diselamatkan dari 18 rumah penjagaan yang berkaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) masih berada di peringkat awal, kata Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Negara berkata, proses tersebut dijangka mengambil sekurang-kurangnya dua minggu.
"Pada masa ini, kanak-kanak tersebut akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di mana proses soal siasat dan dokumentasi boleh dijalankan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Beliau berkata penyiasat akan mengambil langkah berjaga-jaga semasa menyoal siasat kanak-kanak yang didakwa dieksploitasi.
“Kami juga pasti akan menyiasat dakwaan serangan seksual dan liwat.
“Selain itu, kami juga akan menyemak sama ada kanak-kanak tersebut dihantar ke sekolah.
“Jika mereka tidak dihantar ke sekolah, itu adalah satu kesalahan. Jika sekolah atau pusat penjagaan yang mereka pergi tidak berlesen, itu juga merupakan satu kesalahan,” katanya.
Razarudin berkata, polis juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyediakan kaunseling dan sokongan emosi kepada kanak-kanak tersebut.
“Sekali lagi, ini masih di peringkat awal, jadi kita perlu mengambil langkah secara tertib.
“Oleh kerana ia melibatkan kanak-kanak, kita juga perlu mengambil langkah berhati-hati,” katanya.
Keadaan rumah penjagaan berkaitan GISB yang diserbu pada Rabu.
Kumpulan mangsa kanak-kanak tersebut disyaki diliwat dan dipaksa melakukan perkara yang sama kepada individu lain di rumah penjagaan di Selangor dan Negeri Sembilan yang diserbu polis pada Rabu.
Razarudin berkata, penemuan itu hanyalah permulaan kepada penderaan yang mengerikan yang dialami oleh kanak-kanak di rumah penjagaan yang dikaitkan dengan GISB.
Polis sebelum itu menyelamatkan 402 kanak-kanak, yang terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan, berumur antara satu hingga 17 tahun, dari 18 rumah penjagaan dalam operasi dikenali sebagai Ops Global.
Sementara itu, Razarudin dalam laporan berasingan berkata, kesemua 171 individu yang ditahan susulan dilakukan pada Rabu telah direman selama tujuh hari.
"Siasatan kami masih diteruskan kerana kami sedang melihat tindakan lain yang boleh diambil.
"Rumah jagaan tersebut dibuka untuk anak-anak yatim, jadi kami sedang menyemak sama ada kesemuanya berdaftar.
"Kami juga sedang menyiasat kemungkinan kesalahan lain dan akan ada saksi-saksi lain yang akan tampil (untuk membantu siasatan)," katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram