POLIS menemukan kad sim dan sebuah kereta dipercayai milik suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ketika melakukan operasi mencari bahan bukti di sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pasukan forensik diarahkan ke kebun ubi tersebut untuk mencari bukti lain pada Sabtu.
Katanya, suspek sebelum ini dipercayai mengusahakan kebun ubi berkenaan secara sambilan.
BACA LAGI: Dua lokasi jadi tumpuan polis siasat kes bunuh Nur Farah Kartini
BACA LAGI: Paras air Sungai Trolak naik, pencarian bukti kes Nur Farah Kartini ditangguhkan
Pasukan polis menemukan telefon pintar milik mangsa dalam siasatan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, pada Isnin.
"Polis sedang menganalisa kad sim dan kereta suspek yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi mencari bukti baharu untuk membantu siasatan kes," katanya.
Sementara itu, Mohd Asri berkata, operasi mencari bahan bukti di Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River oleh Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tidak dapat diteruskan berikutan keadaan cuaca dan arus sungai yang deras.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata, polis merakamkan percakapan seorang pekerja kebun terbabit yang mengesahkan kehadiran suspek dan mangsa di lokasi itu pada hari kejadian.
Katanya, polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Tanjung Malim dipercayai menjadi lokasi 'persinggahan' sebelum mangsa dibawa ke ladang kelapa sawit tersebut.
Menurutnya, terdapat rakaman CCTV yang jelas dan juga kurang memuaskan.
Sebelum ini, polis juga melakukan operasi sama di sungai terbabit pada Jumaat.
Bagaimanapun, operasi pencarian terpaksa dihentikan selepas kira-kira dua jam berikutan keadaan airnya yang keruh.
Terdahulu, polis turut menemui beg tangan dipercayai milik Nur Farah dan sebuah telefon pintar juga ditemui di ladang kelapa sawit Sri Keledang, Hulu Selangor, Selangor.
Jenazah Nur Farah selamat dikebumikan di Pekan, Pahang. — Facebook
Lokasi itu dipercayai menjadi tempat Nur Farah dibunuh oleh suspek selepas mayatnya ditemukan pada 15 Julai lalu.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lepas.
Susulan itu, polis menahan seorang suspek yang juga merupakan anggota polis ditahan dan direman selama tujuh hari.
Manakala, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram