JENAMA minuman tempatan, Hausboom, semakin mencuri tumpuan dengan kejayaan luar biasa dalam menembusi pasaran global di 30 negara.
Tidak cukup dengan itu, jenama minuman tempatan itu juga kini dilihat sudah menguasai pasaran di Malaysia dengan ia didapati berada di di hampir semua rangkaian premis di dalam negara.
Pencapaian tersebut pastinya merupakan sesuatu yang cukup membanggakan apatah lagi daripada segi usianya, Hausboom belum mencecah sedekad sejak dengan ia baru bermula pada 8 tahun lalu.
Berkongsi mengenai rahsia kejayaan jenama tersebut mengukuhkan kedudukannya dalam industri minuman, Ketua Pegawai Eksekutif The Boom Beverage, Azri Zahier Azmi, syarikatnya mengambil pendekatan yang berlainan berbanding pesaing dalam memasarkan produknya.
"Cara kami memperkenalkan jenama dan memasarkan produk berbeza ber banding orang lain yang turut menjual minuman.
"Biasanya, usahawan lain melariskan produk minuman dengan menawarkan promosi harga murah manakala syarikat gergasi lain pula cenderung menggunakan platform papan iklan, saluran televisyen dan radio.
"Sementara itu, kami memilih medium berbeza antaranya elemen muzik, fesyen dan sukan ektsrem. Pendek kata, fokus pada program yang berlangsung di lapangan," katanya yang juga dikenali sebagai John Lemon.
Produk minuman Hausboom kini sudah berada di hampir kesemua rangkaian kedai di dalam negara. — Hausboom
Menurutnya, sejak awal penubuhan, Hausboom menggunakan tiga kaedah utama dalam menjual dan memasarkan produknya iaitu menerusi Hausboom Music yang kini menjadi kekuatannya disusuli Hausboom Style berkaitan fesyen dan ketiga Hausboom Extreme meliputi bidang sukan seperti larian dan renang.
"Secara ringkas, kami adalah syarikat minuman yang memasarkan produk bukan dengan cara menjual air, tetapi lebih kepada memasarkan jenama gaya hidup," ujar beliau.
Hausboom Music yang bermula sekitar 2017 mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan peminat muzik tanah air.
Ia selepas festival berskala besar itu dilihat seakan-akan sudah menjadi antara acara muzik tahunan yang ditunggu-tunggu dan berjaya menampilkan barisan artis tempatan terkemuka di pentasnya.
Menurut Azri, sewaktu awal penganjurannya sekitar, Hausboom Music berlangsung dalam skala agak kecil iaitu melibatkan antara 300 hingga 400 penonton.
Bagaimanapun bermula 2019, beliau berkata, pihaknya mengambil langkah berani apabila menambahkan skala kehadiran pengunjung mencecah lebih 10,000 orang.
"Kemudian pada 2022, kita berjaya menghimpunkan 13,000 pengunjung. Baru-baru ini (tahun 2023) jumlah pengunjung meningkat hampir 30,000 orang. Respons positif sedemikian secara tidak langsung membantu meyakinkan selebriti dan kumpulan muzik tempatan terus bekerjasama dengan Hausboom.
"Mereka menyedari standard Hausboom Music bukan sekadar atas angin. Jadi, tidak sukar untuk memujuk pemuzik lokal beraksi di pentas kami. Lebih mengharukan segelintirnya minta melibatkan diri dalam acara anjuran Hausboom.
"Ini bermakna mereka tahu kami akan berhabisan menyediakan ruang pentas untuk pemuzik tempatan khususnya anak muda mengekspresikan diri. Hausboom Music kini menjadi antara festival muzik terbesar di negara ini," kongsinya.
Sementara itu, mengulas mengenai langkah syarikat itu untuk meluaskan pasarannya ke luar negara, Azri berkata, idea itu tercetus selepas pihaknya mengalami kesukaran untuk meyakinkan pengguna di dalam negara ketika awal kemunculan produknya.
Pada waktu itu, beliau berkata, pasaran di dalam negara dilihat agak skeptikal terhadap produk yang dihasilkan lebih-lebih lagi oleh jenama tempatan.
"Jika diikutkan di Malaysia, Hausboom dijual dalam kuantiti yang sedikit kerana sebahagian pengguna tempatan skeptikal dan ragu-ragu terhadap produk lokal.
"Enggan berputus asa, kami proaktif mengeksport ke negara lain yang mana Singapura dan Brunei antara negara terawal. Tidak menyangka pelanggan di negara jiran menyukai dan menyifatkan Hausboom produk minuman berkualiti.
"Kaedah yang digunakan kami terapkan di Malaysia. Alhamdulilah, sehingga hari ini Hausboom sudah berada hampir di semua outlet, kedai serbaneka, stesen minyak dan pusat beli-belah," katanya.
Menurut Azri, bagi pasaran luar, Hausboom kini sudah berjaya menembusi hampir 30 negara antaranya Indonesia, United Kingdom (UK), Korea Selatan, Jepun, Sri Lanka, Maldives, India dan New Zealand.
Di sebalik segala pencapaian yang diperoleh itu, Azri bagaimanapun tidak mudah berpuas hati.
Ini kerana beliau menyifatkan bahawa jenama Hausboom dilihat masih kecil dalam kalangan segmen perniagaan minuman berbanding dengan syarikat antarabangsa lain yang bernilai ratusan bilion ringgit.
Ketua Pegawai Eksekutif The Boom Beverage, Azri Zahier Azmi. — John Lemmonn
"Macam Coca-Cola dan Pepsi, usia mereka lebih 100 tahun, walhal kami baru lapan tahun. Dari situ diibaratkan Hausboom hanya lapan peratus dari pada jenama-jenama tersebut.
"Perjalanan Hausboom masih jauh. Kami mahu menjadi syarikat minuman terbesar di Malaysia terlebih dahulu," ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan Hausboom dalam tempoh 10 tahun akan datang, Azri berkata, beliau antara lain menyimpan harapan untuk meletakkan syarikatnya dalam senarai Bursa Malaysia.
Menurutnya, langkah itu penting direalisasikan untuk membolehkan mereka bersaing dengan syarikat lain yang lebih besar di samping membantu memperkembangkan lagi jenamanya ke seluruh dunia.
"Insya-ALLAH dalam tempoh lima tahun Hausboom akan tersenarai di Bursa Malaysia. Selepas itu, kami akan memperhebatkan jenama Hausboom menerusi beberapa segmen lain.
"Setakat ini produk kami melibatkan jus, isotonik dan minuman tenaga. Masih banyak untuk diterokai seperti kopi, teh dan mineral. Syarikat besar menjadi semakin besar kerana mereka menggunakan semua segmen berkaitan air lalu dijadikan produk," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram