Lebih enam dekad bersahabat, 7 bekas pegawai polis imbau kenangan 'Kompeni H'


  • 112
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Tujuh sahabat Skuad Inspektor 1/1964 bergambar bersama pada Program Reunion Skuad Inspektor 1/1964 di Pulapol Kuala Lumpur.

MESKIPUN sudah enam dekad berlalu, keakraban tujuh veteran polis yang pernah menjalani latihan bersama di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada tahun 1964 tetap utuh.

Apatah lagi, tempat yang ditubuhkan pada 1904 banyak menyimpan memori lama bagi setiap anggota yang menjalani latihan di situ.

Pesara polis, Divakaran Subramaniam berkata, pertemuan semula itu amat bermakna walaupun hanya tujuh daripada 90 rekrut dapat hadir.

BACA LAGI: Guna khidmat skuad King Cobra secara percuma, siap sediakan buku manual buru ular berbisa

BACA LAGI: Ibu terharu, anak melecur teruk 75 peratus tak pernah menyesal dijulang 'unsung hero'

"Tahun ini menandakan ulang tahun berlian bagi kumpulan kami.

"Walaupun ramai yang tidak dapat hadir, kehadiran tujuh orang sudah cukup membuktikan kekuatan persaudaraan kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Reunion Skuad Inspektor 1/1964 di Pulapol awal Jun lalu.

Tambah Divakaran yang merupakan bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Johor lagi, sambutan di Pulapol Kuala Lumpur itu seakan mengimbau kembali kenangan mereka sewaktu menjalani latihan kepolisan pada 1964.

"Kesempatan ini digunakan untuk berkumpul, bertemu rakan lama yang melalui susah dan senang ketika menerima latihan selama sembilan bulan di sini.

"Kami menjalani latihan di sini pada usia 19 hingga 20 tahun.

“Ini adalah pusat latihan utama dan kita dapat melihat banyak perubahan dalam tempoh 60 tahun ini," jelasnya.

Divakaran yang merupakan bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Johor itu berkata, walaupun skuad tersebut mempunyai 90 anggota namun kehadiran tujuh pegawai terbabit dapat mengubat kerinduan kepada persahabatan mereka.

"Kita faham ada antara skuad ini sudah berusia lebih 70 dan 80 tahun serta mempunyai masalah kesihatan tetapi sanggup datang untuk berjumpa rakan-rakan lama. kita mahu tahu perkembangan mereka selain menghargai mereka.

"Walaupun Pulapol banyak berubah, memori kami di sini tetap segar, terutama ikatan persaudaraan yang terbina sepanjang tempoh latihan,” katanya.

Kumpulan veteran itu juga diberi peluang melawat berek lama mereka yang dikenali sebagai 'Kompeni H', kini telah bertukar kepada Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Selain itu, Divakaran turut menasihatkan anggota dan pegawai PDRM masa kini untuk mengikut undang-undang dalam melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan baik kepada masyarakat.

“Sebagai seorang anggota polis anda sendiri perlu ikut undang-undang dan barulah orang lain (masyarakat) akan patuhi undang-undang serta bantu orang ramai daripada segi kebajikan selari dengan slogan polis sedia berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Divakaran turut menasihatkan rekrut polis baharu agar sentiasa menghormati diri sendiri, mematuhi undang-undang, dan berkhidmat dengan penuh kehormatan.

"Tiada siapa yang berada di atas undang-undang. Hormatilah diri sendiri, dan orang lain akan menghormati anda," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Komander Pulapol, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, atas layanan mesra yang diberikan kepada mereka.

Selain Divakaran, enam lagi pegawai skuad terbabit yang diraikan ialah Datuk Syed Md Mokhtar Syed Zubair Barakbah, Kamarulzaman Mohd Nor, Datuk Michael Khor Siang Pin, Kerisnan Chinniah, Datuk Abbas Osman dan Munshir Abdullah.

Majlis perjumpaan itu turut melambangkan kekuatan persahabatan dan ikatan yang terjalin antara mereka walaupun sudah lebih enam dekad berlalu.

Pada masa sama, majlis yang pertama kali diadakan itu bagi meraikan dan menghargai jasa tujuh pegawai polis yang berkhidmat sejak 1964, mereka turut dibawa melawat ke Pusat Simulasi Taktikal (PST) dan Lapang Sasar Pulapol Kuala Lumpur. — The Star/ FARIK ZOLKEPLI