Guna khidmat skuad King Cobra secara percuma, siap sediakan buku manual buru ular berbisa


  • 112
  • Rabu, 11 Sep 2024

Safiq (dua dari kanan) bersama ahli SKC yang ditubuhkan sejak 2015 dan satu-satunya pasukan pengendalian ular yang ditubuhkan JBPM dengan kekuatan 20 anggota di seluruh negara.

TANPA kemahiran dan peralatan khas, mengendalikan ular berbisa bukan sahaja berisiko kepada penangkap ular tetapi juga kepada orang sekeliling.

Pada masa sama, tidak ramai yang berani berhadapan dengan reptilia berbahaya itu.

Bukan itu sahaja, ular berbisa, seperti tedung selar dan spesis lain, mempunyai mekanisme pertahanan yang tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian.

Menyedari hakikat bukan mudah berhadapan reptilia itu, Skuad King Cobra (SKC) ditubuhkan pada 2015 satu-satunya pasukan pengendalian ular ditubuhkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

BACA LAGI: Bergaduh parkir kena halang, suspek ditahan polis, mangsa tetakan terima 35 jahitan

Sejak tahun lalu, pasukan pengendalian ular berbisa mempunyai 20 anggota di seluruh negara dan enam daripadanya ditempatkan di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai dekat Marang, Terengganu.

Menurut Ketua Jurulatih Skuad King Cobra (SKC) merangkap Pegawai Bomba Kanan ll di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Safiq Mohamad, ular adalah haiwan liar yang berpotensi untuk menyerang manusia.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa melakukan latihan snake confidence di dalam ruangan kaca di Galeri Latihan Ular di Wakaf Tapai.

"Langkah ini supaya pasukan membiasakan diri dengan ragam dan tindak tanduk ular seperti ular tedung selar (King Cobra), ular senduk (Monocled Cobra) dan ular sembur (Spitting Cobra).

“Latihan berkala juga diperlukan untuk memperoleh teknik pengendalian dan manipulasi menangkap ular.

“Apa yang menarik, ramai pihak lain juga berminat untuk menjalani latihan bersama SKC terutamanya Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di kilang dan agensi kerajaan lain.

“Mereka akan menjalani pelbagai jenis latihan termasuk aspek teori merangkumi pengenalan mengenai ular dan spesies ular lain serta rawatan awal mangsa gigitan ular,” katanya.

448889270_859321786228458_6749459723899931769_n

Safiq bergambar bersama seekor ular tedung selar. — Facebook/SKUAD KING COBRA JBPM

Tambah beliau lagi, skuad berkenaan turut mempunyai modul latihan khas yang dibukukan dan sentiasa ditambah baik setiap tahun, demi mempersiapkan ahli pasukan dengan segala ilmu berkaitan pengendalian ular berbisa dan tidak berbisa.

"Modul latihan perlu ditambah baik sekerap mungkin memandangkan ada lebih 200 spesies ular di Malaysia yang kebanyakannya belum dikenal pasti.

"Setakat ini, hanya sekitar 20 spesis dari jumlah itu yang dikenal pasti hidup dalam kawasan penempatan manusia," jelasnya.

Sehingga kini, SKC telah menyediakan latihan untuk Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Darat.

Pada masa sama, mereka juga telah bekerjasama dengan pasukan pertahanan lain termasuk Amerika Syarikat (Tentera AS) dan Brunei sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan untuk menyediakan modul dalam pengendalian ular berbisa dan haiwan lain.

361582228_663289879164984_4019855748954264351_n

SKC telah bekerjasama dengan telah bekerjasama dengan pasukan pertahanan lain termasuk Tentera AS dalam pengendalian ular berbisa dan haiwan lain. — Facebook/SKUAD KING COBRA JBPM

Sentiasa bersedia

Mengulas lanjut, Safiq berkata, terdapat 17 jenis ular berbisa dan tidak berbisa di galeri itu, antaranya ular sawa batik (Reticulated Python) dan ular kapak tokong (Wagler's Pit Viper).

Kesemua ular didaftarkan sebagai 'aset hidup' bagi membolehkan pihaknya mendapatkan peruntukan sumber makanan dan pemeriksaan kesihatan setahun sekali oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Ular ini diasingkan mengikut spesies dan ditempatkan di dalam ruangan kaca khas kerana boleh bergaduh sekiranya dikumpulkan bersama spesies berlainan.

"Ular yang biasa kita guna untuk latihan adalah ular sawa batik dan tedung selar sebab ular jenis ini yang biasa masuk ke kediaman orang awam.

"Ular ini dibiarkan menjalar dekat kaki dan badan kita ketika sesi latihan," katanya menambah, latihan teknik menangkap ular perlu kerap dilakukan.

Menjelaskan mengenai operasi menangkap ular yang diterima daripada orang ramai menerusi talian 999, Safiq berkata, kebiasaannya balai bomba berdekatan menghantar pasukan mengendalikannya apabila panggilan diterima pada waktu bertugas.

"Namun sekiranya panggilan selepas waktu bekerja, pasukan SKC membantu secara sukarela tanpa bayaran untuk menjalankan operasi berkenaan.

"Kami akan berbincang siapa yang berkelapangan segera ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi dan paling kurang mesti ada dua orang staf membuat operasi berkenaan," ujarnya.

Setiap anggota pasukan SKC menyiapkan peralatan operasi seperti snake tong untuk mengepit leher ular bersaiz kecil dan sederhana, snake pole untuk ular bersaiz besar, dan snake hoop bag sebagai beg penyimpanan sementara ular yang ditangkap.

Sehingga Ogos tahun lalu, SKC menerima 300 panggilan setahun membabitkan kes ular di sekitar Terengganu, manakala pihak JBPM menerima hampir 20,000 kes berkaitan ular.

Jangan panik bila berdepan dengan ular

276999017_1681544932188600_1870753706472055797_n

Menurut Safiq, setiap ular yang ditangkap akan dilepaskan ke habitat asal. — Facebook/SKUAD KING COBRA JBPM

Safiq turut menasihati orang awam agar tidak panik sekiranya ular masuk ke rumah.

Katanya, ular adalah haiwan bersifat defensif dan hanya mematuk sekiranya ada yang memprovokasinya.

"Jangan ganggu atau ancam ular itu dan pastikan ia dikurung di dalam ruangan tertutup.

"Ketika berhadapan terutama ular berbisa, pastikan berada pada jarak selamat iaitu sekitar dua meter dari ular dan segera menghubungi 999 ataupun pihak SKC.

"Pastikan ular berada dalam kawasan 'kuarantin' sehingga pasukan penyelamat tiba," katanya.

Menurut Safiq, sekiranya ada mangsa dipatuk ular, perkara utama perlu dibuat ialah mengecam spesies ular sama ada berbisa atau tidak, dan lebih baik sekiranya dapat menangkap gambar ular untuk dikongsi kepada pihak berwajib seperti bomba dan hospital.

"Jika dipatuk, terus bergegas ke hospital kerajaan bukan ke klinik ataupun hospital swasta. Ini kerana antivenom hanya boleh didapati di hospital kerajaan.

"Bahagian dipatuk perlu dibalut dengan kain anduh namun jangan terlalu ketat bagi mengelakkan kesan bisa patukan merebak ke tempat lain.

"Orang ramai jangan sesekali berani menyedut keluar bisa ular, biar pihak penyelamat melakukannya kerana mereka lebih terlatih," katanya menambah, ular tedung selar adalah ular berbisa jenis neurotoxin yang menyerang saraf mangsa dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat segera," tegasnya.

Safiq turut mengimbau pengalamannya apabila hampir dipatuk seekor ular tedung selar betina sepanjang dua meter ketika operasi pada 19 Mac tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Serada, Kuala Terengganu.

“Ketika itu ular itu berada di atas bumbung dan saya terpaksa memanjat untuk menangkapnya. Tiba-tiba atap zink yang saya pijak patah dan kaki kanan saya terperangkap dan ular itu hendak menyerang saya dan mujurlah saya berjaya menepis kepala ular itu dengan kaki kiri saya,” katanya sambil menjelaskan racun ular tedung selar atau neurotoksin boleh menjejaskan sistem pernafasan dan boleh membawa maut jika mangsa tidak dirawat segera.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut maklumat berkaitan ular dan melihat aksi lincah pasukan SKC menjalankan operasi boleh berbuat demikian dengan melayari YouTube dengan carian Squad King Cobra Channel. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram