Hanya tulang 'terbaring' di tilam, rangka warga emas ditemui dipercayai meninggal dunia 4 tahun lalu


  • 112
  • Isnin, 09 Sep 2024

Mayat warga emas lelaki ditemukan dalam keadaan menyedihkan hanya tinggal tengkorak dan tulang reput di sebuah pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur pada Isnin.

MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan cukup menghibakan apabila hanya tinggal tengkorak dan tulang di sebuah pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mayat lelaki warga emas berusia 60-an terbabit ditemukan anaknya yang ke rumah berkenaan mencari bapanya yang tidak dapat dihubungi sejak 2020.

Menurut jurucakap Balai Polis Kepong, mayat warga emas itu yang sudah mereput kira-kira empat tahun itu ditemui anak lelakinya.

"Ya memang ada kes (jumpa mayat reput dalam rumah). Anak mangsa membuat laporan polis pada petang tadi (Isnin).

BACA LAGI : 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

BACA LAGI : Bergaduh parkir kena halang, suspek ditahan polis, mangsa tetakan terima 35 jahitan

"Maklumat lanjut akan kami kongsikan dalam masa terdekat," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis menerima laporan daripada lelaki yang juga anak mangsa pada 5 September lalu.

"Berdasarkan laporan, pengadu sampai di rumah mendapati pintu dalam keadaan berkunci.

"Selepas memecahkan pintu kelihatan mayat ayahnya sudah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, soal siasat mendapati mangsa tinggal berseorangan selepas bercerai dengan ibu pengadu dan kali terakhir pengadu berhubung dengan bapanya pada 2020.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga namun tempoh kematiannya tidak dapat dipastikan.

Terdahulu, tular satu gambar memaparkan keadaan mayat yang tinggal rangka di hadapan ruang tamu rumah tersebut.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan di media sosial, mangsa tinggal seorang diri di pangsapuri berkenaan.

"Mangsa seorang lelaki berusia umur lingkungan 60-an, tinggal seorang diri dipercayai kerana sudah bercerai.

"Arwah mengajar anak-anak mengaji di kuarters. Tiada siapa yang tahu dia meninggal dalam empat tahun ini.

"Komuniti pun tak sedar, mangsa pernah maklum dengan orang surau yang hajat nak balik ke kampung, dengan makluman tersebut rakan dan orang surau beranggapan arwah berehat panjang di kampung halaman," tulis individu berkenaan.

Pihak Majoriti sedang cuba untuk menghubungi waris dan surau tempat mangsa bagi mendapatkan maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram