[VIDEO] Memerang serang wanita Sabah mungkin rasa terancam, hilang habitat


  • Massa
  • Khamis, 12 Sep 2024

Seorang wanita cedera di seluruh anggota badan selepas diserang sekumpulan memerang di Taman Perdana Tanjung Aru pada Rabu.

"JANGAN salahkan memerang, salahkan manusia yang menceroboh habitat mereka sehingga haiwan tersebut kehilangan tempat tinggal."

Itu antara komen pengguna Facebook, Philip Agus dalam satu video yang memaparkan sekumpulan memerang dipercayai menyerang tiga individu ketika beriadah di Taman Perdana Tanjung Aru dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.

Dalam kejadian itu, serangan sekumpulan memerang itu mengakibatkan seorang wanita cedera di seluruh anggota badan dan dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

Difahamkan, insiden tersebut adalah kes pertama seumpamanya berlaku di Sabah.

Malah, haiwan spesis mamalia itu juga sememangnya sudah hidup lama di kawasan berkenaan dan menjadi salah satu tarikan buat pengunjung yang hadir.

Susulan daripada kejadian itu juga, seorang lagi pengguna Facebook, Mac Mya Michaels mendakwa haiwan comel itu berkemungkinan bertindak ganas kerana diprovokasi dan kehilangan tempat tinggal.

"Harapnya pihak yang berkaitan atau yang tahu tentang haiwan ini boleh siasat punca sebenar.

"Memerang hanya bertindak ganas bila rasa terancam, nak lindungi 'keluarga' daripada bahaya. Tolong jangan apa-apakan binatang ini," rayunya.

[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]

Asian-small-clawed-otter

Seorang lagi warga maya, Rais Lek turut bersetuju dengan pendapat Mac Mya.

"Pernah sekali berlaku insiden seperti ini di kampung kami, memerang bawa geng mengganas hinggakan anjing pun lari.

"Semuanya berpunca sebab ada orang kampung tangkap dan kurung anak memerang. Mungkin itu salah satu punca juga.

"Kalau dilihat semula, terlalu banyak pembangunan di kawasan tersebut," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun mengesahkan pihaknya menerima laporan dan mengarahkan anggotanya menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Menurut beliau, pihaknya akan cuba menangkap dan memindahkan kumpulan memerang tersebut sekiranya ia kembali memasuki kawasan taman awam berkenaan.

“Penemuan memerang bukanlah sesuatu yang luar biasa di Sabah tetapi ini kejadian pertama kali serangan terhadap manusia.

“Kumpulan memerang itu terdiri daripada enam ekor dewasa dan dua anaknya. Haiwan ini sering dilihat memburu ikan di kawasan tasik di taman awam berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram